Bicara Agama

A collection of articles discussing Islam, and religious belief and practice

Wednesday, August 09, 2006

MUKADDAM

Kaedah MUKADDAM dapat pengiktirafan pelbagai pihak

SEPERTI mana yang dimaklumi sebelum ini, MUKADDAM adalah satu kaedah cepat untuk menguasai perbendaharaan kata Bahasa Arab. Ia diambil daripada sempena singkatan huruf-huruf awal yang membawa pengertian “Membandingkan Unsur-unsur Kalimah Arab Dengan Dialek Alam Melayu”.

Berdasarkan kajian yang dibincangkan dua minggu lepas, pendekatan MUKADDAM didapati berkesan meningkatkan pencapaian pelajar dalam pemahaman perbendaharaan kata bahasa Arab berbanding pendekatan tradisional atau pendekatan biasa.

Oleh kerana kajian mengikut disiplin ilmiah tersebut menunjukkan pendekatan MUKADDAM berkesan terhadap pencapaian pelajar dalam pemahaman perbendaharaan kata bahasa Arab, maka dicadangkan supaya ia dijadikan pendekatan alternatif dalam pengajaran bahasa Arab di sekolah-sekolah. Ia tidak lain dan tidak bukan bertujuan meningkatkan pemahaman perbendaharaan kata dalam kalangan pelajar.

Seandainya cadangan ini diterimapakai, pelaksanaan pendekatan modul MUKADDAM ini boleh dikatakan tidak melibatkan perbelanjaan yang banyak berbanding modul-modul pengajaran lain. Bahan-bahan yang diperlukan hanyalah senarai daftar kata Arab yang diserap ke dalam bahasa Melayu untuk digunakan dalam latihan dalaman. Seterusnya untuk memudahkan pelajar, senarai daftar kata tersebut telah disusun sehingga menjadi sebuah kamus dwi bahasa (Arab-Melayu) dan (Melayu-Arab).

Program latihan

Dapatan kajian ini pada hakikatnya memberi maklumat yang berguna kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Jabatan Pelajaran Negeri untuk merangka dan menggubal program latihan perguruan atau Kursus Dalam Perkhidmatan (KDP) bagi guru-guru dan kursus motivasi teknik pembelajaran yang berkesan kepada pelajar.

Selain itu, dapatan kajian ini mempunyai beberapa implikasi terhadap amalan pendidikan yang berhubungkait dengan pengajaran perbendaharaan kata bahasa bukan ibunda khasnya bahasa Arab. Sehubungan itu, adalah diharap pihak-pihak yang berkenaan agar mengambil sikap positif, proaktif dan responsif terhadap implikasi-implikasi tersebut.

Antara pihak yang mengambil tindakan proaktif dan berkesan ialah KPM, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Bahagian Buku Teks, Lembaga Peperiksaan Malaysia, Jemaah Nazir Persekutuan, pengetua sekolah, guru bahasa khasnya guru bahasa Arab dan pelajar.

Di peringkat KPM, misalnya, usaha Lembaga Peperiksaan Malaysia merangka format baru PMR bagi subjek bahasa Arab mulai tahun 2005 amat dialu-alukan. Ini kerana format baru sangat mengambil kira kelebihan seseorang yang menguasai perbendaharaan kata bahasa Melayu. Sehubungan itu modul MUKADDAM yang diperkenalkan pada tahun 2004 banyak membantu para pelajar menjawab soalan dengan betul.

Selain itu, peranan Bahagian Buku Teks (BBT) tidak harus dilupakan. Ini kerana buku teks bahasa Arab Tingkatan 3 yang mula digunakan pada tahun 2005 turut mengambil kira perbendaharaan kata Arab yang juga digunakan dalam bahasa Melayu. Ini banyak membantu pelajar ketika belajar di dalam kelas.

Ekoran keberkesanan pendekatan alternatif ini, Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) KPM mengiktiraf sebagai satu daripada inovasi baru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran pada tahun 2006. Sehubungan itu, pihak BTP sangat mengalu-alukan mana-mana pihak swasta yang berminat membantu menguar-uarkan, mengembangkan dan mengkomersialkan inovasi tersebut.

Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberi pengiktirafan tinggi terhadap inovasi ini iaitu sebagai salah satu anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan tahun 1427 Hijrah. Inovasi ini didapati memberi manfaat kepada umat Islam dalam memahami bahasa al-Quran. Ia juga selaras dengan salah satu prinsip Islam Hadhari yang dikemukakan oleh kerajaan Malaysia.

Dalam hal ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Utusan Malaysia yang memberi ruang secara bersiri untuk membicarakan satu inovasi baru dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa al-Quran. Maklumat tentang inovasi ini yang tersebar luas ke seluruh pelosok negara diharap dapat menyuntik semangat baru untuk rakyat Malaysia belajar dan menguasai bahasa antarabangsa tersebut. Adalah diharap usaha murni Utusan Malaysia dicontohi oleh akhbar-akhbar lain.

Selain akhbar, MUKADDAM juga mula mendapat tempat di hati para pendengar radio yang berminat mempelajari bahasa al-Quran dengan lebih mudah. Sebagai contoh, rancangan belajar bahasa Arab di radio IKIM.fm Haiyya bil Arabiah musim baru mulai 3 Julai lalu juga berdasarkan pendekatan MUKADDAM. Rancangan ini dikendalikan oleh penerbit Deejay Mona Jasman dan penulis sendiri. Rancangan belajar bahasa al-Quran ini ke udara selama 10 minit setiap hari iaitu Isnin hingga Jumaat pukul 8.30 pagi dan ulangannya pada pukul 6.30 petang.

As-hala qamusin

Konsep yang ingin diketengahkan cukup mudah. Setiap hari cuma satu kata pinjaman sahaja yang akan dihuraikan. Inilah yang dikatakan, sehari sehelai benang, lama-kelamaan menjadi selembar kain. Begitu juga dalam konteks belajar bahasa Arab yang mudah ini. Sehari satu kata pinjaman lama kelamaan as-hala qamusin. Apa yang dimaksudkan dengan as-hala qamusin ialah sebuah kamus yang paling mudah difahami.

Selain itu, Jabatan Pelajaran Negeri turut membantu mengembangkan usaha murni ini. Bantuan kewangan dan sokongan kebenaran dalam membuat kajian tindakan di beberapa sekolah terutama di Negeri Sembilan amat dihargai.

Beberapa sekolah terutamanya di Lembah Kelang, Negeri Sembilan dan Melaka turut melahirkan minat yang mendalam terhadap pelaksanaan teknik MUKADDAM dalam pembelajaran bahasa Arab. Walaupun baru diuar-uarkan, MUKADDAM dapat dilaksanakan di pelbagai jenis sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Kebangsaan Kelas Aliran Agama (KAA), Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Bantuan Modal dan Kelas Agama Petang (KAP).

Respons yang diterima setakat ini cukup memberansangkan. Buktinya terdapat orang perseorangan dari masjid dan surau berminat menjadikan program belajar bahasa Arab sebagai salah satu aktiviti mingguan untuk para jemaah. Antara yang aktif dalam mengendalikan program bahasa Arab berteraskan pendekatan MUKADDAM yang mudah ini ialah Masjid Jamek Tampin, Surau At-Taufiqiah Taman Pinggiran Senawang dan Surau Taman Rasah Kemayan Seremban 2 di Negeri Sembilan.

Beberapa orang perseorangan yang turut serta dalam program ini juga yakin dengan pendekatan baru dalam menguasai pemahaman bahasa al-Quran. Mereka juga berminat untuk menguruskan beberapa seminar, bengkel, kolokium, kursus dan wacana separuh hari dalam mempromosikan pendekatan MUKADDAM yang didapati berkesan meningkatkan pembelajaran bahasa al-Quran.

Setakat ini beberapa seminar berkaitan program ini diuruskan oleh individu berminat berdasarkan permintaan daripada pihak sekolah dan swasta. Sehubungan itu mana-mana pihak sama ada kerajaan, swasta mahupun individu yang berminat menganjurkan seminar pendekatan MUKADDAM secara lebih terperinci boleh menghubungi Ustaz Abu Faiz di 019-3862140 untuk maklumat lanjut.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home