Bicara Agama

A collection of articles discussing Islam, and religious belief and practice

Thursday, August 10, 2006

Sikap tercela rosakkan potensi diri

RASULULLAH SAW bersabda yang maksudnya: “Kemiskinan membawa kepada kekufuran dan hasad mengatasi qada dan qadar.” (Hadis riwayat Abu Naim)

Manusia yang mempunyai sikap tercela (mazmumah) sering dibenci orang ramai. Ia boleh merosakkan potensi diri hingga adakalanya turut mengganggu masyarakat setempat. Sikap inilah yang menjauhkan hati daripada mengingati Allah.

# Hasad dengki adalah antara sifat mazmumah. Oleh itu, awasilah diri daripadanya kerana ia adalah dosa yang pertama sekali dilakukan oleh iblis laknatullah yang menolak perintah Allah supaya sujud kepada Nabi Adam.

Begitu juga Qabil yang membunuh Habil, juga disebabkan perasaan dengki.

# Sifat dengki itu ialah ‘apabila melihat orang lain lebih daripadanya maka dia akan cuba menjatuhkannya’. Inilah dengki dilarang Islam.

Seharusnya apabila seorang mukmin melihat orang lain berjaya, dia harus lebih berusaha kuat untuk menjadi sepertinya. Inilah dengki yang dibenarkan oleh Islam.

# Dengki (yang dilarang Islam) harus dicegah dengan memupuk sifat qana'ah (puas hati dengan apa yang ada selepas berusaha), reda serta bersyukur dengan pemberian Allah bukan melakukan perkara yang membawa kekufuran terhadap-Nya.

# Takdir yang ditentukan Allah terhadap hamba-Nya tidak sama, sesetengahnya di luar kehendak hamba itu sendiri.

Ada yang dapat memiliki rumah besar, berpangkat tinggi serta dapat menikmati makanan yang enak. Ada juga yang hanya duduk di pondok buruk dan makan sekadar untuk mengalas perut.

Namun, Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya. Jika seseorang itu dapat menghadapi setiap ujian dan takdir Allah itu dengan reda, berharap dan takut pada kemurkaan-Nya, tentulah setiap takdir itu akan menguntungkannya.

Jika dikurniakan kekayaan, maka dengan kekayaan itu dia dapat membantu orang yang susah, anak yatim, fakir miskin serta melakukan kebajikan lain sehingga dia menjadi lebih hampir kepada Allah dan mendapat rahmat serta kasih sayang-Nya.

Sebaliknya, jika ditakdirkan menerima nasib yang kurang baik seperti miskin dan sebagainya, tetapi dia sanggup bersabar di samping berusaha, maka Allah akan membalasnya dengan seribu rahmat.

Petikan e-hadis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home