Bicara Agama

A collection of articles discussing Islam, and religious belief and practice

Wednesday, August 16, 2006

Jihad bukti kesungguhan, keteguhan iman

JIHAD adalah satu istilah yang cukup mulia dan agung dalam Islam. Allah dan rasul-Nya sering menghubungkaitkan kalimah jihad dengan istilah iman dan hijrah. Dalam erti kata lain, salah satu petunjuk utama kekuatan iman seseorang terletak pada kesediaannya untuk berjihad dan berhijrah meninggalkan segala perbuatan yang dilarang Allah.


Sehubungan itu, Allah berfirman bermaksud: ?Sesungguhnya orang yang beriman dan orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihiani.? (Surah al-Baqarah, ayat 218)

Rasulullah SAW juga pernah bersabda bermaksud: ?Sesiapa yang meninggal tanpa berjuang dan tidak pernah bercita-cita untuk berjuang, maka dia mati dalam sifat kemunafikan.? (Hadis riwayat Muslim)

Jelas di sini bahawa jihad amat penting dalam kehidupan seorang Muslim yang beriman kepada Allah. Lebih-lebih lagi, ada lebih 70 ayat yang membicarakan mengenai jihad pada jalan Allah. Ini adalah petanda yang mengisyaratkan kepentingan jihad dan keutamaannya di sisi Islam sebagai salah satu paksi utama yang menegakkan Islam. Dengan jihad, tiang agama Allah dapat ditegakkan.

Jihad dari sudut etimologi syariah bermaksud berjuang dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mempersembahkan yang terbaik ketika melaksanakan perintah Allah demi mencapai sesuatu matlamat yang disasarkan dan untuk menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini. Berdasarkan definisi itu, jihad amat memerlukan pengorbanan sebagai bukti kepada keteguhan imannya dan kesungguhannya untuk merealisasikan cita-cita Islam.

Jihad dalam bidang ekonomi, misalnya, melaksanakan segala kegiatan ekonomi seperti pengeluaran produk baru, pengedaran dan jual beli yang bebas daripada unsur penipuan. Ia juga bermaksud bebas daripada riba, perlakuan zalim serta memanfaatkan institusi zakat dan wakaf sebagai saluran utama untuk memaksimumkan pelaksanaan zakat, infaq, sedekah dan wakaf ke arah menjana ekonomi umat Islam.

Jihad dalam bidang pendidikan pula menuntut kesungguhan untuk membina generasi ulul albab yang memiliki minda kelas pertama, berakhlak mulia dan berupaya memberikan sumbangan yang bermakna kepada agama, bangsa dan negara. Demikianlah pula jihad dalam bidang lain yang mampu memartabatkan kembali umat Islam sebagai umat terbaik.

Malah, berbuat baik kepada ibu bapa juga dinilai oleh Rasulullah sebagai salah satu jenis jihad yang amat dituntut kepada umatnya.

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, Ketua Program Ijazah Sekolah Pengajian Islam Universiti Darul Iman Malaysia, kampus Kusza Gong Badak, Terengganu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home