Bicara Agama

A collection of articles discussing Islam, and religious belief and practice

Wednesday, August 16, 2006

Pendekatan ibu bapa didik anak pengaruhi pembentukan peribadi

Bersama Prof Dr Sidek Baba

Kemahiran urus masalah, tekanan wajar jadi unsur ketrampilan utama


KAEDAH membimbing dan mendidik adalah sesuatu yang amat fitrah dalam binaan watak dan peribadi anak. Mereka belajar daripada tidak tahu kepada tahu. Anak mengenal sesuatu daripada yang dekat kepada yang jauh, daripada yang konkrit kepada yang abstrak.

Mereka mengalami pertumbuhan minda, perkembangan emosi dan aktif jasmani. Potensi ini perlu dibimbing supaya ia subur dalam keadaan seimbang.

Pembimbing tentu orang yang lebih dewasa, tahu dan berpengalaman mengenai sesuatu. Pembimbing awal anak ialah ibu bapa. Mereka yang mempunyai ilmu dan pengalaman keibubapaan yang tinggi bakal membimbing anaknya dengan baik.

Kualiti keibubapaan mesti ada untuk menjadi pembimbing yang baik. Ibu bapa mesti berilmu dan peka terhadap perubahan.

Kaedah membimbing mengambil pendekatan psikologi yang serasi dengan jiwa anak. Ia mesti bermula sejak dari perut ibu, anak lahir ke dunia, sehingga akil baligh adalah tempoh kritikal bagi membimbing anak. Tempoh ini anak menempuh proses bimbingan awal yang memerlukan perhatian, jagaan rapi, belaian dan kasih sayang serta tunjuk ajar yang membina. Pada waktu ini juga memberikan input asas kepada anak kerana naluri ingin tahunya berkembang, perasaan mencuba tinggi, rasa ingin dibelai dan disayangi subur serta kecenderungan mencontohi selalunya aktif.

Oleh itu, memberi bimbingan terhadap bahasa badan menerusi agahan dan bisikan positif, timangan, pelukan dan kelekan erat adalah corak bimbingan yang amat berkesan membina kasih sayang dan rasa kepercayaan. Anak kemudiannya memerlukan bimbingan untuk bersuara, bercakap, mengenal sesuatu, berkomunikasi dan bersosialisasi secara sihat.

Pembimbing harus tahu mengenai proses bertatih, mencuba, jatuh dan bangun. Mereka juga perlu tahu kaedah menghargai kejayaan anak dan memberi ?pembetulan? mendidik apabila berlaku kesilapan. Hal ini supaya bimbingan yang diberi membolehkan proses pembelajaran anak berlaku secara bersahaja dan fitrah. Anak jangan dipaksa melakukan sesuatu kerana paksaan bukan jalan bimbingan.

Anak perlu diberi peluang melakukan sesuatu, kesilapannya diperbetulkan dengan bijaksana, kejayaannya walaupun sedikit dihargai dengan rangsangan yang baik. Bakatnya terus digilap supaya nilai positif sentiasa menjadi pedoman dalam perubahan dirinya.

Pendekatan psikologi bukan bermakna kita memberikan rasa mua dan manja sehingga anak tidak ditegur mahupun diberi peringatan.

Kaedah Rasulullah SAW dalam mendidik mengambil pendekatan wa bisyira wanazeera ? memberi khabar gembira dan peringatan. Khabar gembira dalam erti kata yang luas ialah bimbingan yang memberi celik akal, keceriaan serta merangsang minda dan emosi supaya sentiasa segar dan gembira, riang dan tenang.

Ada ketikanya anak melakukan kesalahan dan kesilapan. Di sinilah perlunya bimbingan dengan jiwa mendidik tinggi yang tentunya menuntut kesabaran, kebijaksanaan dan contoh baik supaya proses belajar anak sentiasa membawa perkembangan positif.

Kaedah mendidik adalah satu aspek lain yang amat perlu bagi anak. Mendidik tidak sama dengan mengajar. Mendidik adalah kaedah bagaimana sesuatu yang baik, berfaedah, memberi kesan positif, membangun nilai mulia, menyuburkan akhlak dan adab mulia menjadi pedoman.

Anak mungkin belajar sesuatu dari televisyen atau contoh tidak baik daripada seseorang yang menyebabkan kesan negatif terhadap minda dan emosinya.

Kaedah mendidik mendedahkan anak kepada benda atau pengalaman baru yang memberi kesan minda dan emosi, tetapi sifatnya membentuk sesuatu yang positif. Contohnya, pembentukan tabiat, gelagat, tingkah laku, kebiasaan dan kelaziman adalah asas yang amat penting. Ia juga selalu dirujuk kepada contoh terdekat iaitu ibu bapa.

Jiwa mendidik dan pendekatan mendidik ibu bapa amat diperlukan pada tahap ini supaya proses pembangunan minda, emosi dan gelagat anak berada dalam pendedahan yang fitrah.

Cara ibu bapa berbahasa, bersuara, berkomunikasi, melakukan sesuatu, ketawa dan marah, ceria dan riang amat memberi kesan kepada anak. Keinsafan bahawa ibu bapa adalah pendidik, maka cara berbahasa ibu bapa haruslah santun, lembut serta memberi keceriaan dan rangsangan terhadap yang mendengar.

Perlakuan ibu bapa adalah contoh kerana anak adalah pemerhati yang amat teliti dan tekun serta mudah dipengaruhi. Ketawa dan marah mestilah berpada-pada supaya unsur melampau tidak dirasakan. Ceria dan riang adalah sesuatu yang menjadi amalan dan pancaran hidup ibu bapa kerana ia tentunya amat menyumbang kepada keceriaan dan keriangan anak.

Masalah dan tekanan pada ibu bapa jangan ditampilkan di hadapan anak. Kemahiran mengurus masalah dan tekanan seharusnya menjadi ketrampilan yang wajib. Ia supaya ibu bapa tidak membawa suasana masalah dan tekanan di rumah yang menyebabkan ketegangan, kemurungan, konflik atau suasana yang tidak kondusif bagi anak.

Bimbingan dan mendidik adalah suatu pendekatan fitrah dan penting dalam mendidik anak kerana mereka ibarat tepung yang perlu diuli dan diolah dengan lembut serta bijaksana supaya acuan yang dibina bakal menghasilkan kuih yang enak dan sedap rasanya.


INTI PATI:

# Ibu bapa mesti berilmu dan peka terhadap perubahan. Kaedah membimbing perlu mengambil pendekatan psikologi yang serasi dengan jiwa anak.

# Memberi bimbingan terhadap bahasa badan adalah corak bimbingan yang berkesan membina kasih sayang dan rasa kepercayaan.

# Anak perlu diberi peluang melakukan sesuatu, kesilapannya diperbetulkan dengan bijaksana, kejayaannya walaupun sedikit dihargai.

# Perlakuan ibu bapa adalah contoh kerana anak adalah pemerhati yang teliti dan tekun.

# Bimbingan dan mendidik adalah suatu pendekatan fitrah dan penting dalam mendidik anak.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home