Bicara Agama

A collection of articles discussing Islam, and religious belief and practice

Monday, August 14, 2006

Muzik Islam perlu disokong

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

MUZIK mampu menghiburkan hati yang duka, merawat jiwa yang lara dan menjadi pengubat kecewa. Begitulah besarnya implikasi muzik dalam mempengaruhi pembentukan emosi seseorang. Namun, kala menghayati muzik, kita sering terkandas dan terleka dek alunan irama dan lagu yang membuai perasaan.

Hiburan adalah elemen yang tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan manusia. Misalnya, lagu-lagu berunsur motivasi yang membawa kepada kebaikan mampu memberikan signifikan yang cukup besar untuk pembangunan diri yang positif. Dalam hal ini, ditegaskan bahawa tidak semestinya nasyid boleh disifatkan sebagai muzik yang bersifat Islamik.

Selagi muzik yang dibawa dalam apa jua versi dan rentak yang tidak bertentangan dengan syariat serta memenuhi kriteria sebagai lagu yang mendorong kepada kebaikan, maka Islam membenarkan. Umat Islam pada asasnya tidak dihalang menikmati muzik malah untuk menceburkan diri secara serius dalam arena muzik.

Sememangnya terdapat beberapa genre muzik yang diharamkan dalam Islam. Namun, apabila wujud pemikiran yang ekstrem dan tidak boleh menerima semua bentuk seni muzik moden, ia akan menyebabkan kegagalan pemulihan nilai-nilai murni terhadap seni muzik.

Pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid membentangkan kertas kerja ‘Islamisasi Seni Muzik Sebagai Hiburan Alternatif: Satu Analisis Dari Perspektif Pendekatan Dakwah’ memberi pendekatan berbeza dalam konteks seni muzik.

Islamisasi, menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas, ialah pembebasan manusia daripada tradisi tahyul, mitos, animis, kebangsaan dan kebudayaan dan selepas itu (pembebasan) akal dan bahasa daripada pengaruh sekularisme. Pengaruh sekular yang semakin menular menyebabkan seni muzik yang dinikmati bukan bertujuan mencari ketenangan atau pengabdian kepada Allah s.w.t. tetapi menjadi hiburan yang melalaikan dan mendorong kebebasan daripada kongkongan agama. Akhirnya seni muzik beginilah yang membawa kepada maksiat dan hilang matlamat asalnya.

Mohamad Kamil berkata, islamisasi seni muzik mengambil kira kaedah-kaedah fiqh. Antaranya kaedah al-Asl fi al-Ashya’ al-Ibahah hatta Yadull al-Dalil ‘ala al-Tahrim (hukum sesuatu itu adalah harus sehingga terdapat dalil yang jelas mengharamkannya) atau al-Asl fi al-Ashya’ wa al-A’yan al-Ibahah illa in Dall lil al-Khatar Dalil Faya’mal Bih dan Dar’ al-Mafsadah Awla ‘ala Jaib al-Masalih (menolak kemudaratan lebih baik daripada mengambil manfaat).

Kaedah fiqh al-Awlawiyyat pula ialah Taghyir al-Anfus Qabl Taghyir al-Anzamah (mengubah individu lebih utama daripada mengubah institusi atau organisasi) dan Awlawiyyat al-Ma’rakah al-Fikriyyah (keutamaan kepada melawan pemikiran).

“Dengan berpandukan kepada kaedah fiqh di atas, umat Islam mempunyai ruang yang cukup jelas untuk memahami seni muzik moden dengan mendalam.

“Muzik boleh dinikmati sekiranya ia berlangsung dalam suasana yang baik. Yang menjadi masalahnya, apabila kalangan orang dakwah tidak cuba mendekatkan diri dengan muzik dan mereka hanya menyatakan ia haram.

“Kalangan para budayawan pula berpendapat unsur-unsur Islam amat penting dalam seni muzik,” katanya semasa membentangkan kertas kerja pada Seminar Serantau Dakwah dan Kesenian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.

Agenda islamisasi seni muzik tidak akan berjaya sepenuhnya tanpa sokongan daripada penggiat seni. Mereka mempunyai kepakaran dalam bidang muzik dan lebih memahami kehendak yang bersesuaian dengan Islam. Senario ini akan berlaku sekiranya penggiat seni memiliki kesedaran mengenai keperluan islamisasi dan penguasaan ilmu yang tinggi.

Dalam konteks Islam, muzik boleh dibahagikan kepada tiga tahap pemikiran mengikut tiga golongan manusia iaitu Awam, Khawas dan Khawas al-Khawas (golongan atasan iaitu intelek, ulama, para awliya dan nabi-nabi).

Golongan Awam yang berada di tahap paling bawah hanya menghasilkan muzik untuk berhibur. Khawas pula ialah golongan pertengahan yang mengikut aliran muzik semasa. Golongan Khawas al-Khawas yang melihat muzik sebagai sumber ketenangan mempunyai mesej berguna kepada masyarakat. Bagaimanapun, golongan ini amat kurang menghasilkan karya mereka sebaliknya dikuasai oleh golongan Awam.

“Perlu difahami bahawa seni muzik boleh menjadi medan dakwah paling relevan hingga ke hari ini. Dakwah menjadi lebih lancar dan segar-bugar dengan adanya unsur-unsur seni muzik yang menyegarkan.

“Kita tidak boleh menolak kadang-

kadang khalayak terutama remaja mudah bosan dengan khutbah dan ceramah,” ujar Mohamad Kamil.

Pendekatan dakwah melalui islamisasi seni muzik terbahagi kepada dua sandaran utama. Melalui pengiktirafan budaya masyarakat, Islam menerima sebahagian daripada budaya kaum lain yang tidak bercanggah dengan agama yang boleh dianggap sebagai suatu proses islamisasi.

Rentetan daripada asas inilah, Rasulullah s.a.w. membawa pendekatan dakwahnya melalui pengiktirafan sebahagian daripada budaya masyarakat khususnya seni muzik untuk menarik minat orang ramai memeluk Islam.

Nyanyian syaitan

Sikap toleransi ini diterangkan dalam hadis yang bermaksud: “Diriwayatkan daripada Aishah r.a katanya, Aku telah diziarahi oleh Abu Bakar r.a. di rumahku. Ketika itu di sampingku ada dua orang jariah iaitu gadis daripada golongan Ansar sedang mendendangkan syair golongan Ansar pada Hari Bu’ath iaitu hari tercetusnya peperangan antara golongan Aus dan Khazraj. Aishah berkata: Sebenarnya mereka berdua bukanlah penyanyi. Abu Bakar r.a. berkata: Patutkah ada nyanyian syaitan di rumah Rasulullah s.a.w. dan pada hari raya pula? Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, “Wahai Abu Bakar! Sesungguhnya setiap kaum itu mempunyai hari raya dan ini adalah hari raya kami.”

Sikap keterbukaan Rasulullah s.a.w. terserlah setelah baginda membenarkan dua gadis golongan Ansar menyanyi walaupun mendapat sedikit teguran daripada Abu Bakar pada peringkat awalnya. Ini menjadi bukti bahawa Islam mengiktiraf seni muzik kaum lain selagi ia tidak bercanggah dengan syariat Islam. Pengiktirafan tersebut menunjukkan Rasulullah s.a.w. mengislamisasikan seni muzik kaum Ansar.

Budaya sesebuah bangsa mempunyai potensi dan kekuatan tersendiri untuk dijadikan sebagai media dakwah. Sekiranya budaya mereka dipinggirkan, maka minat untuk memahami ajaran Islam akan bertukar kepada kebencian. Antara contoh paling relevan ialah tindakan Wali Songo di Indonesia yang telah mengislamkan seluruh Jawa dengan strategi pemanfaatan jalur seni dan budaya. Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Jawa amat menggemari seni pertunjukan wayang kulit, seni suara dan seni ukir.

Menariknya, mereka tidak menekankan aspek hukum taklifi sebaliknya menerapkan unsur-unsur tauhid dan nilai-nilai keislaman dalam batas kemampuan masyarakat setempat. Maulana Malik Ibrahim dikatakan tidak mencemuh segala kepercayaan dan pegangan lama penduduk tempatan. Sunan Kalijaga pula memasukkan cerita-cerita Islam melalui wayang kulit bagi menggantikan hikayat Hindu yang diwarisi daripada nenek moyang.

Terdapat lagu-lagu yang dicipta oleh Kalijaga, Bunang, Kudus, Muria dan Drajat. Melalui seni suara yang diucapkan, mereka secara halus mengajak orang Hindu-Buddha kepada Islam.

Seperti mana yang berlaku di negara ini, terdapat usaha pihak tertentu yang lebih cenderung menampilkan konsep baru seni muzik walaupun secara dasarnya tidak dinamakan islamisasi seni muzik. Antaranya Konsert Sinar Maulidur Rasul pada 7 April lalu. Usaha sebegini perlu diperhebatkan bagi memperkayakan hiburan bercorak alternatif dan seni muzik Islam tidak terhad kepada nasyid sahaja.

“Proses islamisasi seni muzik memerlukan penglibatan daripada semua pihak terutamanya golongan penggiat seni. Kita ingin melahirkan seorang artis yang kukuh nilai-nilai keislamannya. Walaupun sesetengah pihak menyatakan program realiti tidak mendatangkan manfaat tetapi sekiranya ia dijalankan dalam acuan Islam, maka hasrat untuk mengislamisasikan seni muzik akan berjaya,” tegas beliau.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home