Bicara Agama

A collection of articles discussing Islam, and religious belief and practice

Thursday, August 10, 2006

Guna ubat gigi, sabun mandi wangi harus selepas pakai ihram

Soal Jawab Umrah dan Haji

APAKAH hukum seseorang yang dalam ihram memakai songkok, baju atau menggunakan air wangi dengan terlupa atau tidak sengaja.

Hukumnya ia tidak dikenakan dam dan tidak berdosa, tetapi hendaklah dia menanggalkan segera selepas ingat atau diperingatkan.

Adakah kain ihram lelaki boleh diikat dengan tali atau disemat dengan pin.

Kain ihram lelaki yang dipakai sebelah bawah yang wajib dipakai untuk menutup barang yang di antara pusat dan lutut harus diikat dengan tali atau dibuat lubang, untuk dimasukkan kancing. Kain ihram yang dipakai sebelah atas sunat dipakai untuk menutup seluruh tubuhnya tidak boleh diikat dengan tali atau disemat dengan pin.

Jemaah haji lututnya lemah dan uzur sakit. Bolehkah dia memakai sarung lutut (knee guard) di dalam ihram untuk melegakan sakit lututnya.

Boleh, tetapi dikenakan Dam Takhyir dan Takdir dan tidak berdosa.

Apakah hukumnya seorang yang berihram menyeluk beg tangan atau uncang batu lontaran.

Tidak mengapa.

Apa hukum kalau seseorang yang dalam ihram memotong kuku atau mencabut rambut atau bulu pada kepala atau badannya dengan terlupa atau tidak sengaja.

Hukumnya tidak berdosa, tetapi dikenakan dam walaupun perbuatan itu dilakukan dalam keadaan lupa tidak sengaja atau tidak diketahui akan haramnya.

Apakah hukumnya seseorang yang berihram umrah, memakai pakaian biasa dengan tidak sengaja selepas tawaf sebelum sai dan bercukur.

Tidak mengapa, jika dia tidak tahu (jahil) atau lupa, tetapi hendaklah menanggalkannya dengan segera, kalau tidak dikenakan Dam Takhir dan Taqdir.

Apakah hukumnya, seseorang yang dalam ihram mengucup Hajarul Aswad yang diketahui berlumuran dengan minyak wangi.

Seorang yang berada dalam ihram mengucup Hajarul Aswad yang diketahui berlumuran dengan minyak wangi, hukumnya haram dan dikenakan Dam Takhyir dan Taqdir.

Bolehkah merokok dalam ihram dan apakah hukum menghisap paip yang diwangikan tembakaunya.

Menghisap rokok hukumnya makruh. Sama ada dalam ihram atau tidak, sebaik-baiknya tinggalkanlah menghisap rokok. Ada pun menghisap paip atau rokok yang diwangikan tembakaunya dikenakan Dam Takhyir dan Taqdir jika disengajakan.

Apakah hukum seseorang dalam ihram memakai ubat gigi minyak ubat dan sabun mandi yang ada berbau wangi.

Ubat gigi dan minyak ubat, hukumnya adalah harus walaupun jika ada berbau wangi kerana penggunaannya bukan kerana berwangi-wangian. Begitu juga sabun mandi jika digunakan semata-mata dengan maksud membersih adalah harus.

Fatwa diambil daripada Darul Ifta' Mesir, bermaksud: “Apa yang diharuskan bagi orang yang dalam ihram"

Sesudah berihram (niat ihram) harus mandi, menukar pakaian ihram, menggunakan sabun untuk membersih, sekalipun yang ada wangi dan bagi perempuan membasuh rambutnya, mengurai dan menyikatnya.

Apakah hukum membunuh binatang buruan yang halal dimakan pada masa berihram.

Haram membunuh binatang atau menghalau binatang buruan itu dari tempatnya. Dikenakan Dam Takhyir dan Ta'dil sekiranya binatang itu binasa.

Ketika ke masjid, seorang jemaah haji di dalam ihram umrah terpijak belalang hingga mati. Adakah ia dikenakan dam

Belalang termasuk dalam kategori binatang buruan dan dikenakan dam mengikut nilai belalang yang mati.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home