Bicara Agama

A collection of articles discussing Islam, and religious belief and practice

Thursday, August 10, 2006

Bicara Haji: Memohon rahmat di Arafah paling baik

Oleh Nukman Fadzil

enam rukun perlu dipatuhi jemaah ketika laksana suruhan disyariatkan

BERSESUAIAN dan bertepatan dengan kedudukan agama yang mulia dan tinggi, Islam menggariskan panduan khusus untuk melaksanakan semua suruhan yang disyariatkan kepada kita. Bicara Haji kali ini membincangkan perkara utama dalam melaksanakan ibadat haji iaitu Rukun Haji.

Rukun Haji ialah pekerjaan yang mesti ditunaikan jemaah haji. Jika tidak ditunaikan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, maka tidak sah hajinya.

Perkara ini perlu diberi perhatian oleh setiap jemaah haji. Ada enam Rukun Haji iaitu:

1. Niat
2. Wukuf
3. Tawaf
4. Sai
5. Bercukur atau bergunting
6. Tertib pada kebanyakan rukun

# NIAT

Apakah yang kita faham berhubung niat? Niat iaitu niat mengerjakan haji, selepas berbuat demikian maka diharamkan ke atas jemaah haji melakukan semua perkara larangan ihram sehingga terhasil tahallul.

Niat haji boleh dilafazkan sama ada dalam bahasa Arab, Melayu, Cina, India dan sebagainya. Contoh niat haji: “Sahaja aku mengerjakan haji dan aku berihram dengannya kerana Allah Taala."

Sebelum berniat ihram ada beberapa amalan sunat yang boleh dilakukan oleh jemaah haji iaitu :

1. Mengerat kuku.
2. Merapikan atau mencukur janggut, misai dan rambut.
3. Menanggalkan bulu ketiak, ari-ari dan sebagainya.
4. Mandi sunat ihram.
5. Mengambil wuduk.
6. Memakai minyak rambut.
7. Memakai wangi-wangian.

Begitu pun, jemaah haji diperingatkan berhati-hati supaya tidak berlebihan dan menimbulkan pula perasaan bermegah-megah, takbur, was-was dan sebagainya. Pastikan wangian yang digunakan tidak dibuat daripada bahan dilarang syarak.

8. Memakai kain ihram berwarna putih.
9. Solat sunat ihram.

Sebelum menunaikan solat sunat ihram, pastikan ia tidak dilaksanakan pada waktu dilarang melaksanakan solat sunat kecuali di Masjidil Haram.

Amalan sunat ketika niat ihram.

1. Mengadap ke arah kiblat.
2. Berada dalam keadaan berwuduk.

Selain itu, ada amalan sunat selepas berniat ihram yang boleh dilakukan oleh jemaah haji iaitu perbanyakkan bertalbiah, doa dan zikir.

# WUKUF

Wukuf bererti berada di Arafah walaupun seketika dalam sebarang keadaan apabila masuk waktunya iaitu bermula dari gelincir matahari (masuk waktu Zuhur) pada 9 Zulhijah sehingga seketika terbit fajar (masuk waktu Subuh) 10 Zulhijah. Pada 9 Zulhijah juga dikenali sebagai Hari Wukuf.

Waktu yang terbaik untuk kita berwukuf dengan menggabungkan sebahagian waktu siang pada 9 Zulhijah dengan sebahagian waktu malam pada 10 Zulhijah.

Kelebihan wukuf

Wukuf mempunyai kebesaran dan fadilatnya.

Daripada Abdul Rahman Ibnu Ja'mur, sesungguhnya Rasulullah SAW memerintahkan untuk memberitahu, haji adalah wukuf di Arafah. (Hadis riwayat Ahmad dan Ashabus Sunan)

Diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah, bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tidak ada hari yang lebih ramai Allah membebaskan hamba-hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada Hari Arafah (Hari Wukuf) dan sesungguhnya Allah menghampiri hamba-Nya) dan berbangga dengan mereka di kalangan malaikat serta berfirman apa yang dikehendaki oleh mereka.”

Rasulullah SAW bersabda: “Hari ini (Arafah) siapa yang menguasai pendengaran, penglihatan dan lidah, maka dosanya diampuni Allah.” (Hadis riwayat Ahmad)

Demikianlah kelebihan wukuf di Arafah. Oleh sebab itu, ulama sepakat mengatakan bahawa wukuf adalah salah satu rukun haji.

Syarat sah wukuf

1. Telah berihram dengan niat haji.
2. Dalam keadaan seorang yang layak menunaikan ibadat (tidak gila, pengsan, mabuk dan hilang akal sepanjang masa wukuf).
3. Berada di Arafah walaupun seketika dalam waktu wukuf.

Panduan ketika wukuf

Pada kebiasaannya jemaah haji akan berangkat menuju ke Arafah pada 8 Zulhijah, hari itu dikenali sebagai Hari Tarwiyah. Di Arafah semua jemaah haji dari segenap penjuru dunia berkumpul pada waktu yang sama.

Sepanjang berada di Arafah, jemaah haji diharapkan benar-benar melaksanakan ibadat dengan penuh khusyuk dan ikhlas kerana Allah. Penuhi masa berada di Arafah dengan solat sunat, berdoa, berzikir, membaca al-Quran dan sebagainya.

Imam Syafie pernah berkata: “Doa yang paling baik adalah ketika di Arafah.

Jemaah haji dinasihatkan jauhi perkara khurafat, jauhi sifat mazmumah, khususnya ketika berwukuf, banyakkan bersabar, bertolak ansur, hormat menghormati di antara satu dengan lain ketika berada di Arafah.

“Kita bimbang dan takut sekiranya kehadiran kita di Arafah untuk wukuf tidak mendatangkan apa-apa kesan pada jiwa dan di sisi Allah. Ia kerana Hari Wukuf adalah hari yang agung.

“Kedudukan orang yang berwukuf adalah mulia di sisi Allah. Dikatakan bahawa Allah memberitahu akan kedatangan orang yang berada di Arafah kepada malaikat di langit.

Ia seperti disebut dalam hadis Qudsi yang bermaksud firman Allah: Lihatlah kepada hamba-Ku di Arafah yang lesu dan berdebu. Mereka datang ke sini dari seluruh penjuru dunia. Mereka datang memohon rahmat-Ku sekalipun mereka tidak melihat Aku. Mereka meminta perlindungan daripada azab-Ku sekalipun mereka tidak melihat Aku.”

Begitulah hebatnya rukun haji yang kedua.

# TAWAF

Tawaf adalah rukun haji yang ketiga. Tawaf ialah mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh pusingan bermula dari sudut Hajarul Aswad dan berakhir pada sudut sama menurut syaratnya.

Ketika melaksanakan tawaf, jemaah haji hendaklah memastikan semua syarat sah tawaf dipatuhi iaitu:

1. Menutup aurat.
2. Suci daripada hadas
3. Suci badan, pakaian dan tempat tawaf daripada najis.
4. Bermula dan berakhir di sudut Hajarul Aswad.
5. Menjadikan Kaabah di sebelah kiri dan berjalan hadapan.
6. Dilakukan dalam Masjidil Haram dan di luar binaan Kaabah, Hijr Ismail dan Shazarwan.
7. Mengekalkan niat tawaf.
8- Cukup tujuh pusingan dengan yakin.

Sekiranya salah satu daripada syarat sah tawaf tidak dipatuh, maka tawaf yang dilakukan adalah tidak sah. Maka, tidak sempurnalah rukun haji.

Amalan sunat ketika tawaf iaitu:

1. Berjalan kaki.
2. Beridhtiba' (memakai ihram dalam keadaan bahu kanan dinampakkan) hanya bagi tawaf yang diikuti oleh sai. Ia bagi lelaki saja.
3. Mengucup Hajarul Aswad pada permulaan tawaf.
4. Istilam Hajarul Aswad dan kemudian mengucup tapak tangan atau isyarat dengan tapak tangan ke arahnya sambil bertakbir lalu mengucup tapak tangan itu pada setiap permulaan tawaf.
5. Istilam Rukun Yamani dan tidak mengucup rukun itu.
6. Melakukan ramal (berlari-lari anak) pada tiga pusingan pertama, bagi tawaf yang diikuti dengan sai. Ia bagi lelaki saja.
7. Mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh pusingan secara muwalat (berturutan).
8. Solat sunat tawaf dua rakaat selepas selesai melakukan tawaf. Lebih afdalnya di belakang Makam Ibrahim (sekiranya tidak berkemampuan boleh dilaksanakan dalam Hijr Ismail atau mana-mana tempat dalam Masjidil Haram.)
9. Berdoa, berzikir dan membaca al-Quran.

Perlu diperingatkan bahawa ini hanya amalan sunat. Sah tawaf sekiranya melakukannya tanpa beramal dengan amalan sunat ini. Namun, sekiranya berpeluang beramal dengan amalan sunat ini ia adalah lebih baik. – Bersambung Jumaat depan.


PENULIS ialah Pengurus (Bimbingan), Lembaga Tabung Haji, Artikel dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home