Bicara Agama

A collection of articles discussing Islam, and religious belief and practice

Sunday, August 13, 2006

Peristiwa bersejarah bulan Syaaban

PERISTIWA paling bersejarah yang berlaku pada bulan Syaaban ialah peristiwa pertukaran kiblat. Allah s.w.t. mengarahkan Rasulullah s.a.w. memindahkan kiblat sembahyang daripada masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis ke Kaabah di Mekah.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada seorang sahabat al-Bara' bin Azib maksudnya: Apabila Rasulullah s.a.w. tiba di Madinah, Baginda bersolat di dalam keadaan menghadap ke arah Baitul Maqdis selama 16 atau 17 bulan. Nabi s.a.w. bersolat menghadap Kaabah buat kali pertamanya adalah pada solat Asar bersama para sahabat. Peristiwa pertukaran kiblat berlaku di dalam Masjid Qiblatain.

Peristiwa ini berlaku pada tahun kedua Hijrah dalam bulan Syaaban. Kebenaran daripada Allah s.w.t. untuk kembali berkiblatkan Kaabah adalah contoh doa Rasulullah yang dikabulkan oleh Allah s.w.t.. Ini kerana Rasulullah sudah lama mengangkat tangannya berdoa dan memandang ke langit meminta pertukaran kiblat ke Kaabah. Permintaan Rasulullah itu diperkenankan oleh Allah s.w.t. pada bulan Syaaban. Peristiwa ini dirakamkan oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 144 hingga 147.

Pengajaran yang boleh kita peroleh daripada peristiwa ini salah satunya ialah cerminan sikap Baginda dan para sahabat yang melaksanakan perintah Allah. Mereka dengan serta-merta tanpa menangguhkannya dengan menghabiskan dahulu solat yang sedang dilakukan dan menunggu solat berikut untuk menghadap ke arah kiblat yang baru.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home