Bicara Agama

A collection of articles discussing Islam, and religious belief and practice

Sunday, August 13, 2006

Syaaban bulan persediaan menyambut Ramadan

Oleh ZUARIDA MOHYIN

PERSOALAN yang sering timbul apabila membicarakan tentang amalan-amalan pada bulan Syaaban terutama yang menyentuh malam Nisfu Syaaban ialah amalan merayakan malam tersebut dengan amalan-amalan tertentu seperti membaca Yasin sebanyak tiga kali diikuti dengan solat sunat Nisfu Syaaban.

Setelah itu dilakukan pula bacaan doa memohon dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan sebagainya. Begitu juga dengan puasa sunat khusus pada siang hari Nisfu Syaaban.

Hakikatnya kebanyakan hadis yang menyebut tentang amalan-amalan yang khusus seperti solat dan doa seperti di atas adalah hadis-hadis daif dan bukannya hadis yang sahih, demikian dijelaskan oleh Pensyarah Bahasa Arab dan Pengajian Islam, Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd. Zamri Mohd. Zainuldin.

Menurut beliau, tidak terdapat hadis sahih yang menyebut Nabi s.a.w. menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan amalan-amalan khusus seperti solat sunat khas atau doa-doa tertentu.

Malah semua hadis tersebut adalah lemah atau daif. Contohnya, hadis yang diriwayatkan daripada Ali r.a.: Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, maka bangunlah kamu (menghidupkannya dengan ibadah) pada waktu malam dan berpuasalah kamu pada siangnya, kerana sesungguhnya Allah s.w.t. akan turun ke langit dunia pada hari ini bermula dari terbenamnya matahari dan berfirman: Adakah sesiapa yang memohon ampun daripada-Ku akan Ku ampunkannya.

Adakah sesiapa yang memohon rezeki daripada-Ku, akan Ku kurniakan rezeki kepadanya. Adakah sesiapa yang sakit yang meminta penyembuhan, akan Ku sembuhkannya. Adakah sesiapa yang yang meminta daripada-Ku akan Ku berikan kepadanya, dan adakah begini, adakah begitu dan berlakulah hal ini sehingga terbitnya fajar.

Namun ia bukan bererti malam itu tidak mempunyai kelebihannya. Bahkan terdapat hadis-hadis yang menyebut akan fadilat dan kelebihannya tetapi tidak dinyatakan tentang amalan ibadat khas yang perlu dilakukan. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah s.w.t. akan turun ke langit dunia setiap malam pada satu pertiga yang akhir, lalu berfirman: Sesiapa yang memohon kepada-Ku, nescaya akan Ku-tunaikan untuknya, sesiapa yang meminta kepada-Ku, akan Ku-berikan kepadanya, sesiapa yang memohon keampunan daripada-Ku, akan Ku-ampunkan baginya. (Muttafaqun ‘alaih)

Serta diperkukuhkan lagi hadis riwayat daripada Muaz bin Jabal r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: Allah s.w.t. akan turun kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan akan memberikan keampunan kepada sekalian hamba-Nya kecuali yang melakukan syirik dan yang bermusuh-musuhan. (Riwayat al-Tabrani) Sanad hadis ini adalah sahih.

Lantaran itu, kata Mohd. Zamri, amalan-amalan sunat seperti membaca al-Quran, berzikir, solat sunat, beristighfar, bersedekah, bertaubat dan yang seumpamanya haruslah dilaksanakan pada malam Nisfu Syaaban, bahkan kita dituntut beristiqamah melaksanakan amalan-amalan kebajikan tersebut pada waktu-waktu yang lain.

Katanya, apabila dapat melaksanakan sesuatu amalan dengan penuh keikhlasan dan ia pula bertepatan dengan hukum syarak, manusia akan tergolong dalam umat Islam yang menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat.

“Jangan pula kita menganggap amalan itu jatuh kepada sesuatu yang mesti atau wajib dilakukan ataupun beriktikad bahawa perbuatan itu disuruh oleh Nabi.

“Perlu diingatkan bahawa tidak berhak bagi manusia untuk mencipta mana-mana jenis ibadat mengikut kemahuannya kerana yang berhak menentukan bentuk penyembahannya hanyalah Allah,” kata beliau sewaktu ditemui di Kuala Kubu Baru, Hulu Selangor baru-baru ini.

Berbalik kepada bulan Syaaban, kata Mohd. Zamri, ia adalah antara bulan yang mulia dan mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Sungguhpun bulan Syaaban tidak termasuk bulan-bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab) namun Rasulullah ada mengajarkan dan menyarankan umatnya tentang amalan-amalan yang Baginda sering lakukan pada bulan tersebut.

Aisyah telah berkata: Adalah Rasulullah s.a.w. sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa Baginda berpuasa berterusan dan Baginda sering berbuka sehingga kami menyangka bahawa Rasulullah akan berbuka seterusnya. Aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya pada bulan Syaaban. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sementara itu, hadis yang diriwayatkan oleh Al-Nasaei daripada Usamah bin Zaid r.a. berkata: Aku bertanya Rasulullah tentang bulan Syaaban kerana aku tidak pernah lihat baginda banyak berpuasa sunat sebagaimana baginda berpuasa dalam bulan Syaaban. Baginda menjawab: Bulan yang banyak manusia lalai padanya ialah bulan di antara Rejab dan Ramadan. Pada bulan Syaaban akan diangkatkan catatan amalan hamba kepada Allah.

Dengan itu aku amatlah suka supaya diangkatkan amalanku ketika aku berpuasa. Sebenarnya amal ibadat hamba diangkat oleh malaikat tiap-tiap hari manakala amal ibadat bulan Syaaban ini bolehlah dikatakan laporan tahunan bagi amalan hamba. (Riwayat Ahmad dan Nasai)

Oleh itu, kata Mohd. Zamri, antara hikmah digalakkan banyak berpuasa sunat pada bulan Syaaban ialah kerana selepasnya dituruti oleh bulan Ramadan yang diwajibkan berpuasa keseluruhannya.

“Sebab itulah kita melihat Rasulullah membuat persediaan menyambut Ramadan dengan berpuasa sunat pada bulan Rejab dan Syaaban. Dengan itu puasa pada bulan Syaaban adalah perintis dan latihan membiasakan diri bagi menunaikan kewajipan puasa Ramadan sepenuhnya.

“Sebagai muslim sudah tentu kita menyambut dengan rasa syukur apatah lagi kelebihan orang yang berpuasa itu mustajab doanya,” jelasnya.

Pun begitu, ada hadis yang melarang berpuasa selepas 15 Syaaban bagi sesiapa yang tidak biasa berpuasa selain berpuasa pada hari-hari syak iaitu sehari atau dua hari sebelum Ramadan.

“Ia kerana dibimbangi seseorang itu keletihan apabila berhadapan dengan puasa sebenar,” kata Mohd. Zamri. Katanya, sebaik-baik puasa ialah puasa Nabi Daud iaitu puasa selang sehari.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home