Bicara Agama

A collection of articles discussing Islam, and religious belief and practice

Sunday, August 13, 2006

Malaikat sahabat orang beriman

Tajdid Iman
Oleh Dr Juanda Jaya

BERUNTUNGLAH orang yang beriman kerana perbuatan mereka sentiasa dipuji dan menjadi perhatian malaikat.

Sesungguhnya makhluk Allah yang tidak terhitung banyaknya ini sentiasa menjadi sahabat orang beriman.

Mereka sentiasa mendoakan kita, memberi ilham berupa lintasan dalam hati manusia, menyaksikan ibadat kita dan memuji segala kebaikan yang dilakukan. Hal ini pernah diceritakan Rasulullah SAW dalam hadisnya: "Sesungguhnya syaitan itu ada pengaruh dalam lintasan hati anak Adam dan malaikat juga ada pengaruhnya. Pengaruh syaitan adalah mengilhamkan manusia supaya berbuat kejahatan dan menolak kebenaran. Ada pun lintasan malaikat adalah mengilhamkannya melakukan kebaikan dan membenarkan yang hak. Maka barang siapa yang mendapat ilham kebaikan, hendaklah dia mengetahui bahawa itu adalah daripada Allah. Dan siapa yang mendapat sebaliknya hendaklah dia meminta perlindungan kepada Allah daripada syaitan." (Hadis riwayat at-Tirmizi, al-Nasa'i dan Ibnu Hibban).

Adakah kita merasakan kehadiran mereka pada setiap langkah dan gerakan? Sayangnya kebanyakan manusia lebih mempercayai adanya hantu di setiap sudut rumah yang boleh mengganggu penghuninya.

Pada hal Rasulullah SAW pernah menyatakan jumlah malaikat yang memenuhi ruang dengan sabdanya: "Langit telah bersuara dan sememangnya ia berhak mengeluarkan suara, kerana tidak ada suatu tempat sekadar empat jari melainkan ada di atasnya malaikat yang sujud." (Hadis riwayat at-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Bazzar)

Perbuatan yang kita lakukan semuanya mesti menjadi perhatian makhluk yang tidak pernah bermaksiat ini. Mereka ditugaskan untuk merekod setiap pergerakan manusia. Hal ini bukan bermakna bahawa Allah perlukan pertolongan dan Allah tidak berkuasa untuk kerja itu.

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala yang ghaib dan ilmu-Nya meliputi seluruh alam semesta. Hakikat penciptaan malaikat ini adalah menjadi syarat bagi kelulusan iman seseorang. Iman anda tidak sempurna tanpa mengakui kewujudan malaikat sebagai wakil Allah yang menguruskan hal ehwal dunia dan akhirat.

Ibnu al-Qayyim pernah menyatakan dalam kitabnya Ighothatul Lahfan min Mashayidis Syaithan': "Malaikat diwakili bagi mengurus kejadian manusia sejak penciptaan nutfah hingga sempurna kejadiannya, mereka mencatat rezeki manusia, amalannya, ajalnya, kecelakaannya atau kebahagiaannya, mereka bersama manusia setiap masa dan keadaan, menjaganya ketika hidup dan mencabut rohnya ketika mati, membentangkan amalan manusia di hadapan Tuhannya. Mereka adalah utusan Allah yang menyambungkan antara Allah dan hamba-Nya. Mereka membawa turun perintah Allah ke seluruh Alam dan membawa naik laporan kepada Allah."

Bagaimanakah perasaan anda jika mengetahui ada seseorang yang mencintai, mendoakan dan sentiasa mengharapkan kebaikan untuk diri anda. Tentunya kita gembira dan mahukan apa yang diharapkan untuk kita termakbul. Hargailah kecintaan malaikat Allah dengan menyukai apa yang mereka suka dan membenci apa yang mereka benci.

Rasulullah SAW menceritakan bagaimana kecintaan dan kebencian malaikat itu menaungi manusia. Sabda Rasulullah SAW: "Tiada suatu hari pun yang seorang hamba hidup melainkan dua malaikat turun kepadanya. Salah satu daripadanya berkata: Wahai Tuhanku berikanlah kepada orang yang bersedekah gantian balasannya. Dan yang satu lagi berkata: Wahai Tuhanku berikanlah kepada orang yang bakhil kebinasaan perbuatannya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kemudian sabda Baginda lagi: "Dan malaikat berdoa kepada orang yang berada di tempat sembahyangnya, ya Tuhanku kasihanilah dia, ya Allah ampunilah dia, maafkanlah dia. Selama orang itu tidak menyakiti orang lain dan selama ia tidak berhadas di tempat itu." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Siapakah yang akan membawa berita gembira pada saat sakaratul maut? Yang membuka kubur seluas-luasnya untuk diperlihatkan syurga kepada kita? Yang berbaris bersaf-saf bersama orang beriman yang menghadap Allah di akhirat nanti?

Sesungguhnya malaikat mengajar kita untuk sentiasa taat kepada Allah. Jangan takut dan gentar ketika menghadapi musuh yang amat jahat.

Syaitan tidak akan mampu mengalahkan kita. Ini kerana pada setiap zikrullah dan saat membaca al-Quran ada malaikat yang memenuhi langit memberi naungan kepada kita, ketika menuntut ilmu, berjalan ke masjid, bersedekah, puasa di hari yang panas, menghidupkan malam dengan tafakur dan menghisab diri. Mereka menyaksikan apa yang kita lakukan dengan pandangan rahmat.

Jadi mengapa kita berasa berputus asa ketika melawan nafsu yang ganas padahal ada makhluk Allah lain yang sentiasa mendoakan keselamatan kita. Jangan bersedih sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berserta orang beriman.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home