Bicara Agama

A collection of articles discussing Islam, and religious belief and practice

Wednesday, August 16, 2006

Nabi Muhammad utusan Allah

KATAKANLAH (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu; diwahikan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Satu; maka hendaklah kamu tetap teguh di atas jalan yang betul lurus (yang membawa kepada mencapai keredaan-Nya) serta pohonlah kepada-Nya mengampuni (dosa-dosa kamu yang telah lalu). Dan (ingatlah), kecelakaan besar bagi orang-orang yang mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu yang lain).” (Fussilat: 6).

HURAIAN

Nabi Muhammad merupakan rasul terakhir yang diutuskan oleh Allah s.w.t. kepada seluruh umat manusia di muka bumi ini bertujuan menyebarkan ajaran Islam dengan menyeru mereka mengesakan Allah s.w.t., tiada tuhan yang layak disembah melainkan-Nya. Manusia diseru supaya mematuhi segala suruhan-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang oleh-Nya.

Sebagaimana nabi-nabi dan rasul-rasul yang diutuskan sebelum ini, baginda juga adalah dalam kalangan manusia. Walaupun baginda seorang yang ummi (tidak tahu membaca) tetapi baginda dapat mempelajari dan mendalami al-Quran dengan sebaiknya dengan dibantu oleh malaikat Jibril a.s.

Baginda juga terkenal dengan akhlak terpuji dan budi pekerti yang tinggi sehingga menjadi idola dan contoh tauladan kepada manusia sejagat di sepanjang zaman.

Setelah melalui pelbagai rintangan ketika mengembangkan agama Allah s.w.t., baginda dapat melembutkan hati-hati yang keras agar memeluk Islam dengan menggesa mereka agar bertaubat terhadap kesalahan dan dosa yang lampau. Mereka juga diberi peringatan bahawa sesiapa yang mempersekutukan Allah s.w.t. dengan sesuatu yang lain akan mendapat balasan azab di akhirat kelak. Akhirnya, jadilah mereka orang yang sanggup berkorban dan mempertahankan Islam hingga ke titisan darah yang terakhir.

KESIMPULAN

Kejayaan Rasulullah s.a.w. menyebarkan agama Allah s.w.t. sungguh mengkagumkan. Sehingga kini kita masih mampu merasai kemanisan iman yang dibawa oleh baginda. Sebagai generasi Islam masa kini, kita hendaklah meneruskan dakwah Islamiah bagi memperjuang dan menyambung usaha baginda dalam menegak dan mengembangkan syiar Islam di serata dunia.

- Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home