Bicara Agama

A collection of articles discussing Islam, and religious belief and practice

Monday, August 14, 2006

Jangan tamak harta

SERTA kamu pula sayangkan harta secara tamak haloba. (al-Fajr: 20)

Huraian
Harta benda dan wang ringgit merupakan asas bagi segala urusan hidup di dunia ini. Justeru, Islam menggalakkan umatnya berusaha mengumpul harta sebaik mungkin di samping melarang umatnya bersikap meminta-minta.

Walau bagaimanapun, dalam pada bertungkus lumus mencari kekayaan itu mereka perlu mengikut lunas-lunas yang ditetapkan oleh syarak. Mereka dilarang mengamalkan riba, menipu, mendapat hasil yang haram dan sebagainya.

Golongan fakir dan miskin yang memerlukan bantuan juga tidak boleh diabaikan. Golongan kaya hendaklah membantu mereka dan dilarang bersikap tamak dan kedekut kerana dalam harta mereka itu ada hak orang miskin yang perlu diagihkan (zakat yang wajib dikeluarkan). Sikap takbur dan sombong hendaklah dikikis. Harta kekayaan yang dimiliki hanya bersifat sementara dan boleh ditarik semula oleh Allah s.w.t. pada bila-bila masa yang dikehendaki-Nya.

Seseorang yang kaya harta tetapi miskin budi pekerti juga tidak dipandang tinggi dalam masyarakat. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Bukanlah kekayaan itu kerana mempunyai banyak harta, tetapi kekayaan yang sebenarnya ialah kaya jiwa.

Kesimpulan

Umat Islam dilarang bersikap tamak, takbur dan bakhil dengan harta kekayaan yang dimiliki. Sesungguhnya harta dunia tidak akan kekal dan tidak dibawa mati. Oleh itu, belanjakanlah harta tersebut sebaik mungkin agar mendapat keredaan daripada Allah s.w.t. ketika hidup di dunia mahupun di akhirat kelak.

- Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

0 Comments:

Post a Comment

<< Home