Bicara Agama

A collection of articles discussing Islam, and religious belief and practice

Tuesday, November 07, 2006

Tiga perkara membatalkan akidah

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

IBN Jauzi berkata: “Sebahagian ulama berpendapat ayat yang sebelum ini telah dinasakhkan dengan pengecualian pada ayat ini, dan ini bukanlah dinamakan nasakh kerana pengecualian maksudnya mengeluarkan sebahagian dari semuanya yang membawa kepada takhsis.”

Sayid Qutub berkata: “Adapun orang-orang yang terus berdegil (di atas kesalahan mereka) dan tidak bertaubat sehingga peluang itu terlepas dari tangannya dan tempoh (yang diberikan Allah) telah berakhir, maka mereka akan menghadapi laknat yang diancamkan kepada mereka sebelum ini dengan huraian yang lebih terperinci dan tegas lagi.”

Benarlah firman Allah s.w.t: Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan mati di dalam keadaan kafir, mereka ditimpa laknat Allah dan laknat para malaikat dan manusia seluruhnya.

Mereka kekal di dalam laknat itu dan azab itu tidak akan diringankan dan tidak pula diberi tempoh kelonggaran. (Al-Baqarah: 161-162)

Firman Allah s.w.t: Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan mati di dalam keadaan kafir. Sesungguhnya disyaratkan mati dalam kufur kerana hukumnya mengikut bagaimana keadaan mati.

Abu al-`Aliyah berkata: “Ini pada hari kiamat di mana orang kafir didirikan kemudian Allah melaknatnya seterusnya manusia dan malaikat juga melaknatnya. Inilah yang dinukilkan oleh Imam al-Baghawi di dalam tafsirnya.”

Sebenarnya terlalu banyak perkara yang boleh membawa kepada keluarnya seseorang dari daerah keimanan kepada kufur. Disebut secara umum di sini antara sebab-sebab tersebut:

Ulama berpendapat perkara yang membatalkan akidah dan iman terbahagi kepada tiga:

* Iktikad.

* Perbuatan.

* Perkataan.

Ulama menyebut dalam kitab masing-masing secara terperinci jenis-jenis perkara di atas yang boleh mengeluarkan daripada daerah keimanan sehingga membawa kekufuran. Secara ringkasnya seperti berikut:

* Beriktikad adanya Tuhan yang lain selain Allah atau kuasa yang setara dengannya.

* Beriktikad makhluk boleh memberi kuasa.

* Percaya kepada kuasa-kuasa yang lain daripada Allah, seperti jin dan lain-lain.

* Melakukan perbuatan ibadah seperti orang kafir, contohnya tunduk dan patuh kepada berhala dan memakai salib dan sebagainya.

* Menghina al-Quran.

* Menghina Rasulullah s.a.w dan sunahnya termasuk melukis karikatur yang menjatuhkan martabat Nabi Muhammad.

* Menganggap syariat tidak sesuai pada zaman sekarang.

* Menganggap undang-undang Islam sudah lapuk, kejam dan zalim.

* Merasa syak dan ragu atas kebenaran Islam.

* Menafikan perkara yang menjadi maklum dalam agama atau perkara yang diketahui umum.

* Menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

* Mengaku adanya Nabi selepas Nabi Muhammad s.a.w.

* Menganut fahaman isme-isme yang lain seperti liberalisme dan lain-lain.

Seterusnya firman Allah s.w.t: Mereka ditimpa laknat Allah dan laknat para malaikat dan manusia seluruhnya. Ayat ini yang dimaksudkan dengan laknat tiga wajah. Pertama, mereka melaknatnya di hari akhirat. Kedua, dikehendaki dengan manusia di sini ialah di kalangan orang yang beriman seperti pendapat Ibn Mas’ud, Qatadah dan Muqatil. Ketiga, bahawa laknat daripada orang yang ramai.

Firman Allah s.w.t: Mereka kekal di dalam laknat itu dan azab itu tidak akan diringankan dan tidak pula diberi tempoh kelonggaran. Maksud kekal di dalamnya atau padanya ada dua pendapat. Pertama, kembali kepada laknat seperti pendapat Ibn Mas’ud dan Muqatil. Kedua, kembali kepada neraka.

Ayat ini tidak menyebut suatu azab yang lain dari laknat yang menyerkup mereka, malah ia menyifatkan laknat ini sebagai suatu azab yang tidak akan diringankan dari mereka dan tempoh azab itu tidak akan ditangguhkan.

Itulah azab yang mengecilkan segala azab yang lain. Itulah azab diusir, dibuang dan dilayan dengan kasar dan tiada hati yang menaruh belas kasihan, tiada mata yang memandang dengan simpati dan tiada lidah yang mengucap kata-kata hormat.

Mereka dikutuk, diusir dan dibuang oleh para hamba Allah dan oleh Tuhan sekalian hamba-Nya sama ada di bumi dan di alam al-Mala`ul-A’la. Inilah azab yang amat pedih dan amat menghinakan.

Firman Allah: Mereka kekal di dalam laknat itu dan azab itu tidak akan diringankan dan tidak pula diberi tempoh kelonggaran. Balasan itu disebabkan mereka telah menutup pintu yang terbuka itu kepada diri mereka sendiri dan membiarkan peluang itu terlepas dari tangannya dan tempoh (yang diberikan Allah) itu berakhir begitu sahaja, sedangkan mereka terus berdegil dengan sikap menyembunyikan kebenaran, memilih kekufuran dan kesesatan.

Iktibar dan pengajaran ayat:

1. Kebahagiaan yang hakiki ialah mati dalam husnu al-Khatimah apatah lagi diakhiri dengan kalimah tauhid.

2. Laknat yang datang daripada Allah, para malaikat dan manusia seluruhnya menjadi dalil ia termasuk dalam dosa besar.

3. Beriman dengan hari balasan seperti adanya azab neraka adalah benar.

* DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM)

Wednesday, November 01, 2006

Membina kemahiran berfikir

Oleh: PROF. DR. SIDEK BABA

BERFIKIR tidak saja suatu kegiatan akal tetapi ia boleh dibentuk sebagai suatu kemahiran. Kemahiran berfikir tidak datang begitu saja tetapi memerlukan latihan dan juga persiapan.

Berfikir sekadar berfikir melihat sesuatu seadanya tidak mendatangkan apa-apa kemahiran. Tetapi sesuatu itu apabila ditanggapi berasaskan perspektif tertentu maka kemahiran mula terbentuk.

Melihat silih gantian siang dan malam, hujan dan panas, angin dan ribut seadanya tidak membimbing seseorang kepada kemahiran berfikir.

Tetapi apabila seseorang mula bertanya hikmah di sebalik hal-hal tersebut, kemahiran berfikir mula wujud. Mengagumi sumber-sumber alam yang banyak, keindahan pemandangan, debur ombak dan kicau burung boleh menjadi fenomena biasa. Ia akan menjadi suatu kemahiran apabila seseorang mula mengkaji secara tafakur dan tadabbur hikmah di sebalik kejadian tersebut. Ia mendorong tidak saja melihat sesuatu itu sebagai fenomena biasa tetapi ada rahsia yang boleh dikongsi tidak saja untuk menafaat kehidupan tetapi ada menafaat yang lebih tinggi dan murni.

Berfikir secara tafakur dan tadabbur tidak saja melihat sesuatu secara zahiri atau gambaran luaran seadanya tetapi ia membimbing manusia bertanya di sebalik adanya sesuatu tentu adanya proses penciptaan. Dan sesuatu itu tidak dicipta atau dijadikan atau wujud dengan begitu saja tetapi tentu bersebab. Walau pun keupayaan berfikir tidak mungkin mampu menjawab semua perkara tetapi ada pedoman asas yang membolehkan seseorang menghubungkan faktor kewujudan dengan faktor penciptaan dan faktor penciptaan sebagai sumber hikmah.

Oleh itu sebagai pemikir yang Islami, proses berfikir harus ditautkan dengan asas tauhid. Faktor tauhid menghubungkan kejadian sebagai ciptaan Allah. Sesuatu tidak terjadi tanpa hikmah tetapi sesuatu terjadi dan dicipta mempunyai maksud tertentu. Maksud itu boleh dikaji oleh akal manusia dalam batasan yang termampu. Dalam batas yang termampu manusia boleh sampai kepada suatu titik tentang keperkasaan dan kebesaran Allah s.w.t..

Apabila al-Quran dalam surah al-Alaq menyebutkan tentang kejadian manusia dari sebutir nutfah, ayat terawal dari Allah itu sudah membuka ruang fikir manusia tentang sains embriologi atau kejadian manusia. Apabila surah al- Mukminun: 12-14 mengisahkan bagaimana Allah menciptakan manusia dari pati yang berasal dari tanah, meletakkan air benih ‘pada tempat penetapan yang teguh kukuh’, kemudian menjadi sebuku darah beku, kemudian menjadi seketul daging, kemudian beberapa tulang, kemudian dibalut dengan daging-daging dan menjadi manusia yang sempurna.

Hikmah yang terungkap dari al-Quran ini mendorong pemikir mengembangkan pemikirannya dengan mengambil perspektif sains sebagai asas. Perspektif sains mendapati ungkapan al-Quran itu tidak bercanggah dengan kaedah dan dapatan sains moden.

Al-Quran, dalam Surah al-Mukminun ayat 18, menyebutkan tentang bagaimana Allah s.w.t. menurunkan hujan dengan sukatan yang tertentu serta ditempatkan air hujan itu tersimpan di bumi dan sesungguhnya Allah Maha Berkuasa melenyapkannya. Ayat ini memberi perspektif berfikir mengenai matematik, geologi dan juga memahami kekuasaan Allah. Ayat ini kalau dikembangkan dalam pemikiran secara tafakur dan tadabbur, ia mampu membimbing seseorang kepada pemikiran sains yang Qurani.

Oleh itu kemahiran berfikir secara Islami tidak saja memanfaatkan potensi akliah dan indrawiah sebagai sumber mendapatkan ilmu dan maklumat yang berbagai tetapi apabila asas maklumat, ilmu itu dilihat menerusi jendela tafakur dan tadabbur, ia mampu membimbing pemikiran manusia di tahap tinggi. Pemikiran tahap tinggi inilah yang sering menghubungkan kemahiran berfikir tidak secara lepas bebas tetapi kemahiran berfikir yang ditautkan dengan memahami dan menginsafi tanda-tanda kebesaran dan keperkasaan Allah.

Bezanya orang-orang Islam dengan orang-orang bukan Islam dalam membangun tradisi pemikiran ialah kemahiran berfikir, baik ia bersifat rasional, logik, reflektif, kreatif, lateral, kritikal atau saintifik tidak saja berkembang dalam potensi akal dan inderawi seadanya menerusi proses pemerhatian dan pengamatan serta uji kaji bagi melahirkan hipotesis, teori dan andaian tentang sesuatu tetapi ia dipandu oleh sumber naqliah atau wahyu sebagai pedoman memahami perkara yang nyata dan juga perkara yang ghaib.

Para remaja Islam perlu memahami asas kemahiran berfikir yang sifatnya integratif. Tidak mungkin remaja Islam mampu berfikir di tahap tinggi tanpa memahami al-Quran sebagai sumber dan sunah Nabi sebagai manifestasi amal Islami. Prasyarat untuk mengembangkan kemahiran berfikir walau dalam apa bentuk pun bermula dengan penguasaan ilmu.

Dengan mendalami ilmu tafsir dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya para remaja boleh membina kemahiran berfikir yang tidak saja mengambil pendekatan akliah dan inderawiah sebagai asas tetapi boleh dilanjutkan lebih jauh lagi supaya asas naqliah dapat dijadikan pedoman dalam membina kemahiran berfikir dalam perspektif yang berbagai.

Alam dan kehidupan, peristiwa dan kejadian adalah sumber-sumber yang amat relevan dalam mengembangkan kemahiran berfikir. Kemahiran berfikir akan subur kerana sentuhan pemikiran tidak saja kepada asas yang tersurat tetapi menjurus kepada hal-hal yang tersirat. Asas berfikir tidak saja melihat kepada fenomena sesuatu yang nyata tetapi juga merasakan nikmat iman mengenai sesuatu yang ghaib. Darinya mendekatkan pemikir kepada Pencipta dan Pengurus alam ini dan darinya lahir jiwa-jiwa yang muttaqin.

Asas berfikir tidak saja menanggapi sesuatu secara zahiri tetapi faktor batini juga diambil kira. Darinya lahir jiwa ihsan yang merasakan kemurnian makna kehidupan yang membolehkan remaja hidup secara sejahtera dan menginsafi bahawa remaja dijadikan oleh-Nya sebagai hamba dan khalifah untuk melaksanakan misi ibadullah dan ibadur rahman.

Jiwa iqra’ yang menjadi asas kepada ditanzilkan al-Quran harus mendorong remaja tidak saja berfikir dalam perspektif yang dangkal. Berfikir secara zahiri yang tidak ditautkan dengan faktor batini menjadikan hasil pemikiran hambar. Jiwa iqra’ harus memandu remaja melihat sesuatu dari jendela yang zahiri dan batini serta mendorong perspektif pemikiran didukung oleh nilai dan etika dan menyebabkan remaja merasai bahawa memahami faktor zahiri saja tidak cukup untuk mencari makna diri, kehidupan dan alam.

Berpandukan sumber nilai yang sifatnya Qurani, ia bakal memberikan kemahiran berfikir yang Islami dan remaja bakal menjadi pemikir yang tidak saja mampu menukil ilmu dan maklumat hasil adanya proses berfikir tetapi ilmu dan maklumat itu sifatnya mempedoman remaja ke arah jalan berfikir yang lebih fitrah.

- DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Muhammad Ibrahim Ravi peluk Islam selepas puas mengkaji

Oleh: ZUARIDA MOHYIN

JURUTERA Sistem Teknikal di Vallent Software System (Malaysia), Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor, Muhammad Ibrahim Ravi bin Gobi, 36, dibesarkan dalam keluarga Hindu yang sederhana. Ayahnya seorang pengurus ladang, manakala ibunya, suri rumah beserta dua adik perempuan.

Akui Muhammad Ibrahim, sejak kecil beliau percaya kewujudan Tuhan dan yakin Tuhan itu Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, Maha Adil dan amat menyayangi ciptaan-Nya. Malah beliau juga percaya semua perkara dalam penciptaan-Nya adalah logik (dapat diterima akal) dan rasional (wajar).

Lantaran itu, timbul pelbagai persoalan yang mendesaknya untuk mengkaji tentang agama Hindu, Kristian dan Islam.

Ikuti pengakuan beliau bagaimana hidayah Illahi menerpa sehingga bertapak kukuh dalam hatinya pada pertemuan yang dirancang sebelum Syawal lalu.

“Saya selalu tertanya-tanya, Tuhan dikatakan satu tetapi kenapa ada banyak agama dan amalan yang bercanggah. Apa lagi, dalam agama Hindu banyak amalannya bercanggah sesama sendiri dan ini mengelirukan. Jika ditanya, jawapannya tidak memuaskan.

“Situasi ini membuat saya kurang selesa dan jarang pergi ke kuil. Bila ditanya, saya jawab, Tuhan ada di mana-mana, tak perlu saya pergi ke kuil untuk sembahyang. Selalunya, saya memandang ke langit bila berdoa kepada Tuhan kerana saya percaya Tuhan ada di atas sana,” katanya.

Pada usia 18 tahun, keinginan mengetahui perbezaan agama-agama lain tercetus. Saya mula mencari dan membaca. Bermula dengan Hinduism dengan membaca majalah Hinduism Today (bukan satu punca agama Hindu yang betul), satu usaha yang tanpa arah dan memakan masa kerana saya langsung tidak mengetahui tentang kitab-kitab dalam agama.

Alhamdulillah, peluang mengkaji lebih terbuka apabila saya melanjutkan pengajian ke United Kingdom (UK) dalam bidang Kejuruteraan Electronik di University of Brighton. Semuanya dilakukan menerusi Internet dan buku-buku.

Baru saya sedar agama-agama ini mempunyai kitab mereka sendiri dan mereka mengaku kitab itu adalah wahyu atau khabar yang dinyatakan oleh Tuhan Yang Maha Kuasa.

Kitab agama Hindu yang terkenal dalam bahasa Sanskrit adalah Veda (Rigveda, Samaveda, Yajurveda dan Atharaveda), Upanishad, Purana, Manusmriti, Ramayana dan Bhagavad Gita manakala kitab Hindu yang terkenal dalam bahasa Tamil adalah Thirumurai (Thevaram), Thirukural dan Thirumantira.

Sementara itu, dengan bantuan paderi gereja Angelican di universiti, beliau mempelajari agama Kristian menggunakan kitab Bible. Begitu juga dengan agama Islam melalui Islamic Propagation Center International (IPCI) di UK serta melalui buku-buku dan video Allahyarham Sheikh Ahmed Deedat, Dr. Zakir Naik, Gary Miller (Abdullah Ahad Omar) dan Harun Yahya.

Walaupun pada awalnya saya kurang memahami serta agak keliru kerana tidak faham konsep Tuhan sebagai pencipta dan makhluk sebagai ciptaan Tuhan, konsep wahyu (revelation) dan proses penurunan wahyu dan pesuruh atau Nabi Tuhan.

Sekarang, setelah mengkaji kitab pelbagai agama, saya mula memahami bahawa kitab-kitab agama lain juga diwahyukan oleh Tuhan yang Satu cuma tidak semua kitab dipelihara oleh Tuhan dan hanya al-Quran sahaja terpelihara.

Al-Quran juga memberitahu bahawa Tuhan mencipta manusia sebagai khalifah, satu jawatan yang dikhususkan untuk mengawal agama Tuhan dan mentadbir dengannya. Sehubungan itu, saya berpendapat Tuhan asalnya memberi tanggungjawab pemeliharaan kitab kepada manusia tetapi manusia gagal memelihara kitab-kitab kerana nafsu dan godaan syaitan. Oleh itu, al-Quran adalah kitab yang terakhir dan memeliharanya.

Seperkara lagi yang saya keliru pada awalnya ialah tentang Tuhan dan makhluk ciptaan Tuhan. Saya ingatkan setiap agama mempunyai Tuhan masing-masing dan Tuhan mereka mencipta kaum-kaum mereka.

Jawapannya saya temui dalam surah al-Hujurat ayat 13 bermaksud: Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada sepasang lelaki dan perempuan, dan menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu saling kenal-mengenal.

Kebenaran ini dapat dilihat melalui kisah Adam di dalam kitab, Thasmad Adama naamaasou Pathnee Havyavathee smritha (Sanskrit) bermaksud: “Manusia bernama Adama (Adam) ingin bertemu dengan isterinya Havyavati (Hava)" [Bhavishya Purana, Prathisarga Parva 4:28]

“Adam menamakan isterinya Hawa, kerana perempuan itu menjadi ibu seluruh umat manusia.” [Bible, Old Testament, Genesis 3:20]

Dan Kami berfirman: Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu di syurga ini. (Al-Baqarah: 35)

Tuhan begitu teliti dalam penyusunan ayat supaya manusia dapat perkhabaran-Nya dan keadilan ditegakkan. Firman Allah, Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walaupun sebesar zarah. (Al-Nisa’: 40)

Memang benar kata Tuhan, nama-nama tersebut merujuk kepada Tuhan yang Satu. Perkataan Allah datang dari dua perkataan asas bahasa Arab, iaitu Al dan ilah yang bermaksud satu-satunya dan yang patut disembah. Maka, Allah bermaksud satu-satunya yang patut disembah, Tuhan kepada semua makhluk, manusia (Islam dan bukan Islam), jin (Islam dan bukan Islam), malaikat, binatang dan seluruh alam ini. Nama Allah juga disebut di dalam Allo Upanishad dan Bible.

Tuhan (Allah) juga menjelaskan bahawa Dialah juga telah menghantar nabi-nabi-Nya kepada semua kaum, menyeru mereka menyembah Tuhan yang satu. Firman Allah: Dan bagi tiap-tiap kaum (yang lalu) ada Nabi yang memberi petunjuk ke jalan yang benar. (Al-Ra’d: 7)

Dan tidak ada suatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya seorang Nabi pemberi ingatan dan amaran. (Fatir: 24)

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyeru): Sembah Allah (sahaja) dan jauhilah Taghut (yang disembah selain dari Allah). (Al-Nahl: 36)

Allah memberi pengakuan Rasul (Nabi) yang dihantar oleh-Nya akan menyeru menyembah Tuhan yang satu, itulah kriteria untuk mengenal Nabi Allah.

Bukti kebenaran kenyataan Tuhan di dalam al-Quran boleh ditemui di dalam kitab Hindu dan Bible seperti berikut; “Ekam evad vitiyam” (Sanskrit) dan “Dia hanya Satu dan bukan dua.” [Chandogya Upanishad 6:2:1]. Nabi Musa berkata: “Saudara-saudara, ingatlah! Hanya TUHAN, dan TUHAN saja Allah kita!” [Bible, Old Testament, Deuteronomy 6:4]

Akulah TUHAN, tak ada lainnya, Aku Allah Yang Maha Esa (Satu). [Bible, Old Testament, Isaiah 45:5]

Dan al-Quran mengulangi kebenaran, Katakanlah: Dialah Allah, Yang Maha Esa (Satu). (Al-Ikhlas: 1) dan Dan Tuhanmu adalah Tuhan yang Maha Esa (Satu), tidak ada Tuhan melainkan Dia. (Al-Baqarah: 163)

Selepas menghayati kebenaran Allah, saya tertanya, mungkinkah Krishna, Rama, Buddha adalah Nabi-nabi Allah dan kenapa nama-nama mereka tidak disebut di dalam al-Quran. Sekali lagi, saya temui jawapannya: Dan (Kami telah mengutuskan) Rasul-rasul yang telah Kami ceritakan tentang mereka kepadamu dan Rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan tentang mereka kepadamu. (Al-Nisa’: 164)

Dan sesungguhnya telah Kami utus beberapa orang Rasul sebelum kamu, di antara mereka ada yang Kami ceritakan kepadamu dan di antara mereka ada yang tidak Kami ceritakan kepadamu. (Ghafir: 78)

Allah juga mengaku bahawa Dia mengelar pengikut nabi-nabi dahulu sebagai Muslim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang Islam (Muslim) dari dahulu. (Al-Hajj: 78)

Maha suci Allah tidak jemu memberi tunjuk ajar kepada manusia. Walaupun jarak di antara kitab-kitab ini beratus dan beribu tahun bezanya tetapi Tuhan mengulangi kebenaran supaya manusia terselamat. Saya sedar betapa sayangnya Tuhan kepada kita.

Bila dikaji sejarah, kuil Hindu pertama dibina 2000 tahun selepas wahyu diturunkan. Sama juga dengan Buddha, patung pertama dibuat selepas 500 tahun pemergian Buddha. Konsep Tuhan 3 dalam satu di dalam Bible wujud selepas 325 pemergian Nabi Isa (Jesus). Maka dalam tempoh sebelum penyelewengan, manusia memang beribadat dengan cara yang betul.

Terlalu banyak persamaan antara agama dari segi hukum seperti pengharaman arak, tidak boleh makan babi, wanita kena pakai penutup kepala, puasa, zakat dan sebagainya tetapi kenapa amalan mereka terpesong?

Setelah mengkaji, saya dapati punca utamanya adalah tidak faham proses wahyu. Saya ketahui melalui kajian saya bahawa Allah menurunkan wahyu melalui nabi-nabi-Nya. Pada waktu itu, bukan nabi yang berkata tetapi Tuhan yang Maha Esa yang berkata. Manusia pada masa tersebut faham perkara ini, sebab itulah mereka tidak menyembah nabi dan tidak membuat patung berhala untuk nabi.

Selepas beberapa waktu, apabila mereka membaca kitab dengan tiada ilmu mengenai proses penurunan wahyu, mereka menyalah anggap dan menyangka Nabi itu mengaku Tuhan.

Sebenarnya ada ayat-ayat yang lain di dalam kitab yang menerangkan bahawa nabi itu bukan Tuhan, tetapi sebab mereka keliru tentang ayat yang bercanggah ini, maka mereka meninggalkannya.

Beginilah proses wahyu diturunkan, ada ayat-ayat yang menjelaskan satu sama lain. Bila dikaji, jelas semua mereka adalah manusia, utusan Tuhan yang Maha Tinggi.

Benarlah kitab-kitab lain tidak terpelihara sebagaimana al-Quran. Maka wajarlah untuk kita mengikutinya.

Allah juga memberi jaminan bahawa al-Quran adalah petunjuk, dan Dia tidak memaksa sesiapa tetapi menggalakkan manusia mengkaji kitab-Nya. Dia juga sediakan banyak fakta sains yang boleh kita kaji dan pastikan kebenarannya, supaya boleh kita percaya kepada wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Ini terbukti dalam firman Allah bermaksud: Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertakwa. (Al-Baqarah: 2)

Hal ini diperkukuhkan lagi dengan firman Allah yang bermaksud: Tidak ada paksaan dalam agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang salah. [Al-Baqarah: 256]

Proses mencari kebenaran ini mengambil masa sekitar sembilan tahun sehingga saya tidak ada lagi timbul keraguan. Sekembali dari UK, saya teruskan kehidupan dengan agama asal sehinggalah pada 23 September 2003 saya melafazkan syahadah di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). Itupun selepas mendalami Islam dari segi amal ibadat kira-kira enam bulan sebelum pengislaman.

Pada waktu itu kegembiraannya sukar digambarkan dengan kata-kata dan semacam perasaan terselamat. Keyakinan saya bertambah kuat apabila sesuatu yang mustahil berlaku itu dimakbulkan Allah. Namun, sebagai manusia kita perlu sentiasa beringat dan menerima setiap ujian-Nya kerana kejayaan mengharunginya, menjadi kemanisan Islam.

Saya mengambil masa dua tahun untuk memberitahu keluarga dan apabila semuanya terlerai, ia menjadi kejutan besar buat mereka.

Saya melihat kini tidak ramai daripada kalangan mualaf yang menjadi pendakwah. Oleh itu, ruang inilah perlu diisi dan ada keperluannya.