Bicara Agama

A collection of articles discussing Islam, and religious belief and practice

Monday, September 11, 2006

Michael Wolfe

Keinginan mengembara bawa Michael Wolfe kepada Islam
Susunan ZUNAIDAH ZAINON

SELEPAS 25 tahun menjadi penulis di Amerika Syarikat (AS), Michael Wolfe ingin mencari sesuatu yang berupaya melembutkan perasaan sinisnya dalam melihat prospek kehidupan. Lahir dalam keluarga yang mempunyai dua pegangan agama lantaran ayahnya berketurunan Yahudi manakala ibunya penganut Kristian menyebabkan Wolfe agak tertekan apabila membicarakan isu perkauman dan kebebasan.

Untuk mencari dimensi baru dari sisi hidup yang berbeza, Wolfe mengambil keputusan mengembara ke Afrika Utara sejurus tamat pengajian universiti. Akhirnya beliau yang ketika itu berusia awal 20-an memutuskan menetap di benua tersebut selama tiga tahun.

Pergaulan dengan masyarakat Arab dan Eropah yang kebanyakannya beragama Islam menguak perasaan Wolfe tentang obsesi orang Barat terhadap kelas sosial. Apa yang diperhatikannya, Islam tidak pernah membezakan umatnya berdasarkan kaum ataupun warna kulit tetapi berpandukan kepada ajaran dan kepercayaan agama.

“Saya ingin mencari satu laluan yang boleh melepaskan diri daripada pengasingan istilah budaya materialistik tetapi fahaman konvensional yang saya ikuti sejak kecil terlalu rapat.

“Tambahan pula latar belakang saya yang bercampur aduk menyebabkan saya mempunyai dua pegangan (agama) berbeza. Namun, kedua-duanya sangat meragukan,” kata Wolfe yang mengikuti kisah perjuangan Malcolm X yang sentiasa menegaskan bahawa orang Amerika perlu memahami Islam kerana ia satu-satunya agama yang boleh mengikis perasaan antiperkauman dalam masyarakat.

Bagi Wolfe, semakin beliau berkeinginan mencari prospek baru dalam kehidupannya, pengalaman hidup masyarakat Islam di Afrika Utara akan dirujuk.

Selepas melalui dua kali perjalanan ke Maghribi pada 1981 dan 1985, Wolfe berpendapat, Afrika Utara adalah benua yang dapat memberi keseimbangan dalam kehidupannya. Wolfe menegaskan, beliau bukannya mahu menukar budaya tetapi semata-mata ingin mencari makna baru kehidupan.

Beliau turut menceritakan pengalamannya dalam satu penerbangan ke Maghribi. Setelah selesai menikmati makan malam, Wolfe ke bilik air. Semasa ketiadaannya, penumpang beragama Islam mengambil peluang membentuk satu barisan untuk mendirikan sembahyang di bahagian luar pintu. Bagaimanapun, kemunculan Wolfe dari bilik air tiada sesiapa menyedarinya. Beliau berjalan antara lorong kerusi untuk mencari sendiri jawapannya.

Memuji Tuhan

Ketika itu Wolfe hanya mampu berdiri dan memandang bahagian belakang jemaah. Mereka memegang sebuah buku sebesar tapak tangan yang kemudian meletakkannya di dada seperti sedang memuji Tuhan.

“Saya hanya memerhatikannya dari pintu bilik air sehingga mereka selesai dan kemudian berjalan duduk ke tempat saya semula. Kami mendarat di Brussels.

“Semasa menaiki semula kapal terbang, saya menemui keratan surat khabar berbahasa Yiddish di atas dulang makanan. Apabila dalam penerbangan menuju ke Maghribi, saya lihat mereka sudah tiada,” cerita Wolfe atau nama Islamnya Michael Abdul Majeed Wolfe. Beliau memeluk Islam selepas 20 tahun mengembara ke negara-negara Islam.

Rentetan peristiwa itu, beliau tidak menyifatkan kehidupannya baru bermula. Pada peringkat awal, sekitar 1981, beliau begitu teruja untuk mengembara dan Maghribi menjadi negara pilihan utama.

Perasaan ini membawa Wolfe mengenali penulis terkenal seperti Freya Stark. Ketika itu beliau benar-benar ingin mencari agama yang tidak berkaitan dengan sebarang ritual ataupun pemujaan dan tidak mempunyai misteri di sebaliknya. Dalam hal ini, semakin banyak beliau mendalami tentang Islam, semakin kuat tarikannya dalam diri Michael Wolfe.

Namun, rakan-rakan yang terdiri daripada ahli akademik Barat mengaitkan agama dengan perasaan penuh syak wasangka. Mereka mengkelaskan agama sebagai alat untuk memanipulasi politik ataupun konsep yang dibawa dari abad pertengahan.

Beliau mendapati majoriti 650 juta orang Islam yang berada di 44 negara sedang mendalami ilmu agama manakala 400 juta adalah minoriti di negara-negara Eropah, Asia dan Amerika. Dibantu dengan sistem ekonomi selepas penjajahan, Islam menjadi pegangan utama kumpulan minoriti itu selama 30 tahun di negara-negara Eropah Barat.

“Rakan-rakan politik saya terkejut apabila mendengar minat baru saya. Boleh dikatakan semuanya keliru dengan Islam yang telah diputarbelitkan dengan kejahilan dan sebagainya.

“Buku yang mereka baca dan rancangan televisyen yang mereka lihat menyebabkan mereka berpendapat pegangan agama hanyalah sebagai fungsi politik,” kata Wolfe menceritakan reaksi rakan-rakannya.

Kata Wolfe, ajaran Islam berasaskan kepada lima rukun. Beliau percaya sebagai orang Islam yang berkemampuan, mereka perlu mengerjakan fardu haji sekurang-kurang sekali seumur hidup.

Sebagai individu yang memilih Islam, beliau berasa perlu untuk memenuhi rukun Islam kelima iaitu menunaikan fardu haji ke Mekah.

“Setiap tahun umat Islam akan berpuasa sebulan diikuti mengerjakan fardu haji yang mengambil masa kira-kira 40 hari. Saya sudah mendalami banyak buku berkenaan Islam dan melibatkan diri dengan aktiviti masjid di kediaman saya di California dan juga sudah mengamalkan ajaran Islam.

“Sekarang saya berharap dapat mendalami apa yang dipelajari mengenai Islam yang sudah tersemai sejak sekian lama,” ujar Wolfe yang ingin memulakan semula kembaranya ke Maghribi.

Profil Michael Wolfe

Michael Wolfe ialah penulis puisi, fiksyen, kisah pengembaraan dan sejarah. Karyanya banyak disiarkan dalam majalah dan mendapat penghargaan daripada Academy of American Poets, National Endowment for the Arts, California Arts Commission dan American Travel Writers Association. Beliau ialah perunding Macdowell Colony dan penerima Amy Lowell Travelling Poets Scholarship. Semua karya puisinya dihimpun dan diterbitkan dalam tiga volum sejak beberapa tahun lalu.

Di samping itu, beliau menyampaikan syarahan di beberapa universiti seperti Harvard, Georgetown, Standorf, SUNY Buffalo dan Princeton. Beliau mengajar Penulisan dan Bahasa Inggeris di Philips Exeter and Philips Andover Academies, California State Summer School for the Arts dan Universiti California, Santa Cruz.

Wolfe yang berkelulusan sarjana muda Seni Klasik daripada Universiti Wesleyan merupakan penerbit Tombouctou Books di Bolinas, California.

Beliau telah menghasilkan tiga buah buku berkaitan Islam iaitu The Hadj yang diterbitkan pada 1993 dan One Thousand Roads to Mecca (1997). Selepas tragedi 11 September 2001, beliau mengedit koleksi esei oleh penulis Amerika beragama Islam dalam buku bertajuk Taking Back Islam: American Muslims Reclaim Their Faith terbitan Rodale Press. Buku ini memenangi Anugerah Wilbur pada 2003 bagi kategori buku agama terbaik.

Kini, beliau menyiapkan novel Just Look At You Now dan menterjemahkan himpunan epitaf daripada Antologi Greek. Wolfe baru sahaja menyiapkan volum keempat yang menghimpunkan karya puisinya bertajuk Digging Up Russia.

Pada 1997, Wolfe muncul hos program pengembaraan menunaikan haji dari Mekah untuk Ted Koppel’s Nightline untuk siaran ABC. Program tersebut memenangi anugerah media daripada Muslim Public Affair Council. Pada Februari 2003, beliau bekerjasama dengan wartawan sistem televisyen antarabangsa CNN, Zain Verjee, untuk menghasilkan dokumentari berkenaan haji.

Pada 1999, Wolfe bersama-sama dengan rakannya, Alex Kronemer, menubuhkan yayasan pendidikan media iaitu Unity Productions Foundation (UPF). Kolaborasi Wolfe dan Alex menerusi UPF berjaya menghasilkan dokumentari dengan tempoh masa dua jam mengenai perjalanan kisah hidup Nabi Muhammad bertajuk Muhammad: Legacy of a Prophet. Program ini turut menerima Anugerah Khas Juri bagi kategori Dokumentari Profesional Terbaik (Masyarakat dan Negara).

0 Comments:

Post a Comment

<< Home