Bicara Agama

A collection of articles discussing Islam, and religious belief and practice

Monday, September 11, 2006

Belajar Bahasa Al-Quran

Program tersusun belajar bahasa Al-Quran

Pada minggu ini dikemukakan sembilan program pembelajaran alternatif untuk kita mengambil manfaat daripadanya. Ia boleh diaplikasikan untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa al-Quran (bahasa Arab) dalam kalangan pencinta bahasa Al-Quran terutama umat Islam, masyarakat awam, golongan profesional dan para pelajar sekolah mahupun universiti.

Sebahagian besar pendekatan alternatif ini telah diuji keberkesanannya dengan membuat suatu perbandingan dengan pendekatan tradisional terhadap pencapaian pelajar dalam penguasaan bahasa Arab. Usaha membangunkan beberapa pendekatan alternatif tersebut diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak-pihak yang terlibat secara khusus berlandaskan keupayaan dan bidang kuasa masing-masing.

Sempena Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), berikut dinyatakan sembilan program alternatif yang boleh dijadikan panduan dan dilaksanakan di pelbagai peringkat untuk meningkatkan pembelajaran bahasa Arab.

Program 1: Merujuk kepada al-Quran untuk meningkatkan tahap kerjaya profesional.

Golongan sasaran ialah doktor, peguam, jurutera, akauntan, pengurus, pendidik, juruukur, peniaga dan lain-lain. Tujuannya adalah untuk membolehkan mereka merujuk al-Quran untuk menyelesaikan masalah dalam bidang berkaitan.

Objektifnya antara lain agar mereka boleh melakukan kajian dalam bidang yang diceburi dengan mengaitkan ayat tertentu. Boleh merujuk Kamus Fihris al-Quran dan mampu menganalisis bilangan perkataan dalam al-Quran.

Masa yang dicadangkan adalah antara 24 hingga 72 jam pembelajaran manakala kaedahnya memfokus kepada ayat yang berkaitan dengan bidang yang diceburi

Pendekatannya pula adalah dengan cara menganalisis bilangan perkataan dalam al-Quran dan membina konsep baru berdasarkan perkataan, frasa, ayat dan struktur ayat al-Quran.

Ibnu Sina, al-Khawarizmi, Al-Gebra dan lain-lain adalah golongan profesional yang menjadikan al-Quran sebagai rujukan utama dalam bidang yang diceburi. Bagaimana dengan profesional di Malaysia sekarang? Mampukah mereka merujuk al-Quran sebagai panduan dalam bidang yang mereka ceburi? Jika tidak, ayuh ikuti program ini.

Program 2: Belajar bahasa Arab untuk memahami al-Quran. Ia disasarkan kepada muslim dan muslimat yang boleh membaca al-Quran dan menulis Jawi.

Tujuannya supaya mereka boleh memahami makna al-Quran secara umum. Objektifnya pula agar mereka boleh menterjemah makna ayat secara umum, boleh merujuk Kamus Fihris al-Quran dan boleh menganalisis bilangan perkataan dalam al-Quran.

Masa yang dicadangkan adalah antara 24 hingga 72 jam pembelajaran. Kaedahnya: hanya perkataan yang terdapat dalam al-Quran diberi perhatian terlebih dahulu. Ia dimulakan dengan perkataan yang mudah terlebih dahulu, contohnya nama Allah, zikrullah, nama manusia (Muhammad, Musa, Isa, Maryam dan Firaun). Perkataan kata pinjaman daripada bahasa Arab seperti malaikat, syaitan, kursi, kitab, qalam, Sabtu dan Ramadan.

Ia turut menggunakan pendekatan analisis bilangan perkataan dalam al-Quran selain membina ayat mudah berdasarkan perkataan daripada al-Quran.

Kaedah Quranic Arabic ini diperkenalkan oleh seorang pakar bahasa Arab keturunan Pakistan dan dipraktikkan di Britain. Ia diubahsuai mengikut corak pembelajaran rakyat Malaysia oleh penulis dan dipraktikkan di beberapa daerah di Negeri Sembilan.

Program 3: Berbicara menggunakan ayat al-Quran. Program ini disasarkan kepada hafiz dan hafizah al-Quran. Tujuannya adalah bagi membolehkan mereka menjawab apa jua persoalan, pertanyaan (dalam pelbagai bahasa) menggunakan frasa atau potongan ayat al-Quran.

Objektifnya: boleh menjawab pertanyaan dengan menggunakan frasa atau potongan ayat al-Quran dan boleh membezakan antara ayat yang umum dan ayat khusus tentang sesuatu perkara.

Masa cadangan adalah antara 24 hingga 72 jam pembelajaran. Kaedahnya mengaitkan potongan, frasa atau ayat al-Quran dengan suasana kehidupan seharian. Pendekatannya ialah setiap persoalan ada jawapan dalam al-Quran serta banyak frasa ayat boleh digunakan untuk menjawab soalan seharian.

Latar belakang kaedah: anda sedang membaca al-Quran di rumah (hablum minallah). Rakan anda datang berziarah (hablum minan nas). Anda ada tiga pilihan iaitu:

a. Anda tutup mashaf al-Quran dan layan rakan anda berbual.

b. Anda teruskan membaca al-Quran dan tidak melayan rakan anda berbual.

c. Anda tutup mashaf al-Quran dan layan rakan anda berbual tetapi menjawabnya dengan menggunakan frasa al-Quran.

Program 4: Belajar bahasa Arab untuk kelihatan arif berkomunikasi. Ia disasarkan kepada masyarakat Malaysia yang berminat menjadi seorang yang arif berkomunikasi dalam bahasa Arab. Tujuannya supaya kelihatan arif berkomunikasi dalam bahasa Arab walaupun sebenarnya tidak pandai.

Objektifnya adalah untuk memperlihatkan seseorang arif berkomunikasi dalam bahasa Arab serta meningkatkan penampilan berkomunikasi. Masa cadangan adalah antara 24 hingga 72 jam pembelajaran.

Kaedahnya: memfokus terhadap penggunaan bahasa badan yang maksimum menggunakan pendekatan berikut:

- Pendekatan 1 - Menggunakan kekuatan yang ada:

al-Quran, hadis, 1,700 kata pinjaman Arab, doa, wirid, solat dan zikrullah.

- Pendekatan 2 - Konsep: Konsep iman (al-amal bil jawarih), Konsep MSC (Mudah Sahih Cepat), Konsep satu perkataan 1,000 penggunaan iaitu berbeza dengan konsep biasa iaitu 1,000 perkataan satu penggunaan.

Latar belakang kaedah: mengapa filem Mr. Bean berjaya dipasarkan ke seluruh pelosok dunia? Salah satu sebab kerana ia menggunakan konsep iman (amal bil jawarih). Kita boleh mengambil konsep iman sebagai asas untuk program ini.

Program 5: Kenali bahasa al-Quran melalui akhbar. Sudah pasti sasarannya ialah pembaca Utusan Malaysia yang berminat mengenali bahasa al-Quran. Tujuannya supaya mereka mengenali ciri-ciri bahasa Arab dan berkomunikasi dalam bahasa tersebut secara santai.

Objektifnya: boleh mengenali ciri-ciri bahasa Al-Quran dan boleh berkomunikasi dalam bahasa Arab. Masanya adalah seminggu dua kali iaitu Khamis (Teori Bahasa Arab) dan Jumaat (Praktikal Bahasa Arab).

Kaedahnya: hanya perkataan yang terdapat dalam al-Quran diberi perhatian terlebih dahulu

Pendekatan Khamis: Teori Bahasa Arab yang mengandungi artikel motivasi, ciri-ciri bahasa Arab dan kamus kata pinjaman.

Jumaat: Praktikal Bahasa Arab yang mengandungi kamus bergambar, perbualan, pembinaan ayat, istilah atau frasa.

Ruangan Kenali Bahasa al-Quran ini dikendalikan oleh penulis setiap Khamis dan Jumaat mulai 27 Januari 2006.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home