Bicara Agama

A collection of articles discussing Islam, and religious belief and practice

Thursday, August 17, 2006

Tertib

Tertib pada kebanyakan rukun bantu capai tahap haji mabrur

PADA minggu lalu, kita diterangkan sebahagian daripada rukun haji iaitu niat, wukuf dan tawaf. Dalam pada itu, kita juga perlu mengetahui mengenai jenis tawaf. Tawaf terbahagi kepada beberapa jenis iaitu:

1. Tawaf Qudum

Tawaf Qudum ialah Tawaf Selamat Datang yang disunatkan bagi mereka yang mengerjakan Haji Ifrad dan Haji Qiran atau sekadar menziarahi Makkah. Sunat dilakukan Tawaf Qudum setibanya di Makkah. Bagaimanapun, harus dilewatkan sehingga sebelum berwukuf.

2. Tawaf Umrah

Tawaf Umrah ialah Tawaf Rukun yang mesti dilakukan oleh orang yang mengerjakan umrah, sekiranya tidak dilakukan tidak sah umrahnya.


3. Tawaf Haji

Tawaf Haji disebut juga sebagai Tawaf Ifadhah atau Rukun. Tawaf ini mesti dilakukan oleh jemaah haji selepas masuk waktunya (bermula selepas separuh malam 10 Zulhijah), sekiranya tidak dilakukan sama ada sengaja atau tidak, maka tidak sempurnalah hajinya.


4. Tawaf Sunat

Tawaf Sunat ialah tawaf yang sunat dilakukan pada bila-bila masa.


5. Tawaf Nazar

Tawaf Nazar ialah tawaf yang mesti ditunaikan oleh seseorang apabila ia berniat nazar pada sesuatu yang dihajatinya.


6. Tawaf Tahallul

Tawaf Tahallul ialah tawaf yang dilakukan oleh jemaah haji yang luput wukuf di Arafah bagi melepaskan dirinya daripada larangan ihram. Selepas melakukan tawaf, diwajibkan mengerjakan sai sekiranya sai tidak dilakukan selepas Tawaf Qudum (bagi yang berihram Haji Ifrad atau Haji Qiran) dan bercukur atau bergunting.


7. Tawaf Wada'

Tawaf Wada' ialah Tawaf Selamat Tinggal yang wajib dilakukan bagi mereka yang hendak meninggalkan Makkah lebih daripada dua marhalah (lebih kurang 91 kilometer) dan lebih.



Hukum Tawaf Wada'

Tawaf Wada' adalah wajib bagi:

1 Orang yang akan bermusafir meninggalkan Makkah lebih dua marhalah (lebih kurang 91 kilometer) dan lebih.

2 Orang yang akan meninggalkan Makkah dan akan bermukim di luar Tanah Haram walaupun jaraknya kurang dua marhalah sama ada penduduk Makkah atau bukan.

Ada beberapa golongan yang dikecualikan daripada melaksanakan Tawaf Wada' iaitu:

1 Perempuan dalam keadaan haid, nifas atau mustahadhah.

1 Orang yang berpenyakit salisalbaul (kencing tidak tos) atau seumpamanya.

2 Orang yang luka, darahnya mengalir dan boleh menajiskan masjid.

3 Orang yang dipaksa meninggalkan tawaf.

4 Orang yang takut orang zalim menzaliminya.

5 Orang yang takut ditinggalkan rakan seperjalanan.

6 Orang yang takutkan keselamatan dirinya (penyakit yang tenat atau bahaya musuh), kehormatan dan harta bendanya terancam.

7 Orang yang tidak mempunyai air dan debu tanah untuk bersuci.

Setelah menunaikan Tawaf Wada' hendaklah bersegera meninggalkan Makkah dan tidak melengah-lengahkannya, kecuali dalam perkara yang berkaitan dengan perjalanan dan mendirikan solat.



Sai

Sai ialah berjalan ulang-alik di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah menurut syaratnya.

Syarat sah sai ialah:

1. Dilakukan sama ada selepas mengerjakan;

i- Tawaf Qudum untuk Haji Ifrad atau Haji Qiran.

ii- Tawaf Haji.

2. Bermula dari Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah.

3. Cukup tujuh kali berulang-alik dengan yakin dari Bukit Safa ke Bukit Marwah dikira sekali, dan dari Bukit Marwah ke Bukit Safa dikira kedua, sehingga seterusnya cukup tujuh kali dengan berakhir yang ketujuh di Bukit Marwah.

4. Hendaklah sampai ke penghujung tempat sai di Bukit Marwah dan kaki Bukit Safa setiap pusingan

5. Hendaklah melakukan sai di tempat yang ditetapkan.

6. Mengekalkan niat sai.

Sai juga sah dilakukan di tingkat atas Masjidil Haram seperti di kawasan sai tingkat atas yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.


Amalan sunat sa'ie iaitu:

1. Dalam keadaan wuduk.

2. Dilaksanakan sejurus selepas mengerjakan tawaf.

3. Keluar ke tempat sai melalui pintu Safa (Bab al-Safa).

4. Menaiki Bukit Safa dan Bukit Marwah.

5. Mengadap ke arah Kaabah sambil bertakbir dan bertahmid dan berdoa ketika berada di Bukit Safa dan Bukit Marwah.

6. Muwalat (berturutan)

7. Melakukan raml (berlari-lari anak) pada setiap pusingan apabila berada di kawasan yang bertanda lampu hijau bagi lelaki saja.

8. Berittiba' (memakai ihram dalam keadaan bahu kanan dibukakan) pada semua pusingan.

9. Berjalan kaki.

10. Berdoa, berzikir dan membaca al-Quran.



Bercukur atau Bergunting

Bercukur atau bergunting ialah menanggalkan sekurang-kurangnya tiga helai rambut di kepala. Waktu bercukur atau bergunting bermula selepas separuh malam 10 Zulhijah.

Amalan sunat ketika bercukur atau bergunting yang boleh dilaksanakan oleh jemaah haji ketika menyempurnakan ibadat itu iaitu:

1. Bagi lelaki, sebaiknya bercukur seluruh kepala.

2. Mulakan cukuran atau guntingan di bahagian kanan, kemudian di bahagian kiri dengan menghadap ke arah kiblat, diiringi dengan bacaan doa.

Bagi jemaah haji yang melaksanakan Haji Tamattu' atau umrah boleh bercukur atau bergunting selepas sai, manakala jemaah haji yang melaksanakan Haji Ifrad atau Haji Qiran tidak boleh bercukur atau bergunting sesudah sai yang dilakukan selepas Tawaf Qudum kerana belum masuk waktu bercukur atau bergunting.

Jemaah haji boleh mencukur atau menggunting rambut sendiri dan rambut orang lain. Jemaah yang belum bercukur atau bergunting boleh juga mencukur atau menggunting rambut orang lain.

Mencukur atau menggunting rambut boleh dilakukan di kediaman (maktab). Bagi jemaah haji wanita perlulah berhati-hati ketika bergunting kerana dibimbangi akan terdedah auratnya ketika bergunting.



Tertib pada kebanyakan rukun

Tertib pada kebanyakan rukun bermaksud rukun haji hendaklah dilakukan mengikut salah satu daripada susunan jadual berikut:

Cara 1

i. Niat

ii. Wukuf

iii. Tawaf haji

iv. Sai haji

v. Bercukur atau bergunting

Cara 2

i. Niat

ii. Wukuf

iii. Bercukur atau bergunting

iv. Tawaf haji

v. Sai haji

Nota: Bagi jemaah haji yang melaksanakan Haji Tamattu', begitu juga haji Ifrad dan Haji Qiran yang tidak melakukan sai haji selepas Tawaf Qudum

Cara 3

i. Niat

ii. Sai haji

iii. Wukuf

iv. Tawaf Haji

v. Bercukur atau Bergunting

Cara 4

i. Niat

ii. Sai haji

iii. Wukuf

iv. Bercukur atau bergunting

v. Tawaf haji

Nota: Bagi jemaah haji yang melaksanakan Haji Ifrad dan Haji Qiran yang terlebih dulu dilakukan Tawaf Qudum dan bersai haji.

Inilah yang dimaksudkan dengan tertib pada kebanyakan rukun.

Demikianlah susun atur dan disiplin dalam memahami dan menyempurnakan rukun haji. Insya-Allah dengan sempurna rukun haji dan perkara lain berhubung ibadat haji diharap ia diterima oleh Allah sebagai haji mabrur.

Penulis ialah Pengurus (Bimbingan), Lembaga Tabung Haji

0 Comments:

Post a Comment

<< Home