Bicara Agama

A collection of articles discussing Islam, and religious belief and practice

Thursday, August 17, 2006

Peringati Israk, Mikraj untuk teguhkan iman

Oleh A. MOHD. RAHIMIN SIHAT


SEBAGAI Muslim, marilah kita menyingkap kembali perkara-perkara yang berlaku dalam kehidupan awal Baginda Rasulullah s.a.w. Kita melihat bahawa usaha baginda untuk menyebarkan panji-panji keimanan telah mendapat tentangan hebat kaum Quraisy.

Namun, Baginda masih lagi dapat meneruskan perjuangannya, dengan bantuan Allah dan dengan dorongan dan sokongan isteri tercinta, Saidatina Khadijah dan bapa saudara Baginda, Abu Talib yang telah banyak memberikan perlindungan kepada Rasulullah daripada ancaman kaum Quraisy.

Namun demikian, Allah telah menentukan pada tahun ke-11 dari kerasulan Baginda bahawa itulah tahun pemergian kedua-dua insan istimewa ini. Isteri Baginda wafat pada tahun tersebut, diikuti pemergian Abu Talib.

Rasulullah hilang sumber sokongan dan dorongan sehingga Baginda begitu sedih bahkan tahun itu disebut sebagai Aamul Huzn atau tahun sedih.

Pergerakan dakwah di Mekah semakin sukar dan Rasulullah berusaha ke Taif, namun di situ Baginda juga mendapat tentangan yang lebih hebat, di mana Rasulullah dicaci dan dihina.

Dengan dirundung kesedihan dan kehampaan, maka Allah dengan segala kebijaksanaannya mengatur langkah dan strategi untuk menghiburkan hati Nabi Muhammad dan mengukuhkan keimanan Baginda. Langkah tersebut adalah dengan penganugerahan perjalanan Israk dan Mikraj pada satu malam.

Peristiwa Israk dan Mikraj ini berlaku mengikut beberapa riwayat pada malam 27 Rejab tahun ke-11 kerasulan Baginda.

Peristiwa ini bersabit dengan firman Allah dalam Surah Al-Isra’ ayat yang pertama:

Maksudnya: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Dalam perjalanan yang begitu istimewa ini, terlalu banyak yang dilihat oleh Baginda Rasulullah dan begitu banyak pelajaran yang dapat kita peroleh.

Di antara pelajaran-pelajaran yang harus kita renungkan bersama adalah:

1. Manusia harus sentiasa memerhatikan hubungannya dengan Allah, dan sentiasa menilai kembali dan berusaha memperelokkan hubungan tersebut. Hubungan dengan Allah ini mestilah wujud tatkala ditimpa kesusahan dan ujian mahupun di kala mendapat kesenangan dan kemudahan.

Ini kerana hanya Allah sahajalah yang berkuasa dan mampu memberikan pertolongan, menghilangkan segala kesedihan, dukacita dan kesusahan pada diri kita.

Caranya ialah kita sentiasa beristiqamah, terus menerus melaksanakan semua perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya dan bukan menjadi orang yang taat hanya pada waktu susah dan melupakan Allah pada waktu senang.

2. Kehidupan kita yang ingin berjuang untuk kebaikan pasti akan dipenuhi dengan cabaran dan dugaan. Ia tidak akan sentiasa mudah tetapi kita akan berhadapan dengan kesusahan terlebih dahulu.

Namun, semua yang berlaku itu demi untuk mengukur dan menilai keimanan kita di dalam hati.

Adakah kita sanggup menghadapinya dengan penuh ketabahan dan kesabaran atau kita tergolong dalam golongan yang mudah berputus harapan?

Firman Allah dalam Surah al-Insyirah ayat 5 & 6, ertinya: Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu bahawa) sesungguhnya tiap-tiap kesukaran ada disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran ada disertai kemudahan.

Seperti yang ditunjukkan Allah kepada Nabi-Nya yang tercinta, bahawa Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya yang ikhlas dan benar berjuang keseorangan. Ia akan dibantu Allah. Ia akan diberikan kegembiraan oleh Allah. Bahkan Allah akan mengangkat darjat dan kedudukannya.

3. Menjauhi perkara mungkar dan maksiat. Semasa peristiwa Israk dan Mikraj, baginda Rasulullah telah ditunjukkan keadaan neraka dan ahlinya.

Baginda melihat berbagai bentuk penyeksaan dahsyat yang sedang dialami oleh berbagai kaum sebagai akibat daripada segala macam bentuk kejahatan yang pernah mereka lakukan.

Misalnya Nabi diperlihatkan kepada satu kaum yang memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu besar, setelah pecah ia kembali seperti sediakala.

Nabi juga melihat seksaan bagi pemakan riba, penzina, pengumpat, yang suka memfitnah dan lain-lain lagi.

Ini semua memberi iktibar kepada kita yang hidup di dunia ini agar tidak melakukan segala perbuatan yang mungkar dan tercela, tidak kira apa bentuknya sekalipun kerana seksaan yang disediakan Allah amatlah dahsyat.

4. Perintah solat merupakan suatu bentuk ibadah yang begitu penting di dalam kehidupan seseorang hamba Allah. Kewajipan solat begitu istimewa dibandingkan dengan kewajipan yang lain seperti puasa, zakat dan haji.

Ini kerana kewajipan solat diterima langsung oleh Nabi daripada Allah sewaktu bertemu Allah pada malam Mikraj tanpa perantaraan malaikat Jibril. Ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan solat berbanding ibadah-ibadah lain, dan solat juga amalan yang paling awal dihisab di akhirat kelak.

Dengan solat, kita berpeluang untuk berhubung langsung dengan Allah, sebagaimana yang dijelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud: Sesungguhnnya Akulah Allah tidak ada Tuhan selain Ku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Ku.

Oleh yang demikian, mestilah kita mendatangi ibadah ini dengan penuh perhatian dan khusyuk, bermula daripada mengambil wuduk lagi, dan bukan menunaikannya dengan sambil lewa dan hanya kerana ia wajib dilaksanakan.

5. Mengakui dan tunduk kepada kebesaran Allah sebagai pencipta agar keyakinan terhadap kekuasaan-Nya benar-benar bersemi di jiwa manusia. Ini kerana sewaktu Israk dan Mikraj, Allah memperlihatkan kepada Nabi keagungan dan berbagai keajaiban ciptaan-Nya seperti Sidratul Muntaha, syurga dan lain-lain lagi.

6. Anjuran memberi salam. Di sepanjang perjalanan Mikraj, Nabi tidak pernah lupa mengucapkan salam kepada rasul-rasul lain yang baginda temui.

Ini mengingatkan kita kepada keutamaan memberi salam dan galakan supaya selalu memberi salam kepada saudara sesama Islam untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara kita.

7. Mengingatkan usia dunia yang sudah tua yang mana dibayangkan melalui pertemuan Nabi dengan seorang nenek tua. Ia memberi gambaran kepada kita yang umur dunia sudah lanjut dan hampir kepada penghujungnya.

Hakikat ini memperingatkan setiap Muslim bahawa segala kemewahan dan kesenangan dunia hanyalah bersifat sementara.

Hanya ketakwaan dan amal soleh menjadi bekalan untuk ke akhirat.

8. Berwaspada dengan rayuan dan tipu daya iblis, kerana sewaktu Israk, pada awal perjalanan lagi jin Afrit telah mengejar Baginda dengan membawa obor untuk menghalang perjalanan Nabi dan berusaha memperdayakan baginda.

Peristiwa ini memperingatkan kita bahawa syaitan dan iblis tidak akan jemu-jemu untuk menyesat dan memperdayakan umat manusia dengan pelbagai cara. Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan mukjizat teragung yang dianugerahkan khas oleh Allah kepada Rasulullah.

Justeru pelbagai pengajaran di dalamnya hendaklah direnung dan dihayati supaya ia dapat membantu memberikan nilai tambah dalam kehidupan, baik dalam usaha meningkatkan ketakwaan dan prestasi ibadah kepada Allah mahupun untuk peningkatan ilmu pengetahuan, terutama dalam menghadapi cabaran era globalisasi masa kini.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home