Bicara Agama

A collection of articles discussing Islam, and religious belief and practice

Thursday, August 17, 2006

Jin tidak boleh ditangkap

Oleh ABDULLAH BUKHARI ABDUL HALIM

SEHARUSNYA umat Islam lebih berhati-hati apabila menerima setiap perkhabaran apatah lagi berkaitan jin dan syaitan.

Ini kerana kedua-duanya merupakan makhluk ghaib yang hanya dapat diketahui melalui perantaraan wahyu Allah iaitu al-Quran dan al-Sunah.

Sekadar pertanyaan, adakah manusia benar-benar mampu menangkap atau mengunci jin yang melakukan kekacauan lalu dimasukkan ke dalam botol untuk tujuan pameran?

Seharusnya kita semua meneliti firman Allah yang bermaksud: Dia (Nabi Sulaiman) berkata: Wahai Tuhanku ampunkanlah dosaku dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan (kekuasaan) yang tidak akan dapat dimiliki oleh seorang juapun sesudahku.

‘‘Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Memberi Anugerah. Maka kami tundukkan kepadanya angin yang berhembus dengan baik menurut ke mana sahaja yang dikehendakinya dan kami (tundukkan kepadanya) syaitan-syaitan semuanya (yang terdiri daripada) ahli pembina bangunan dan penyelam, dan syaitan yang lain (yang ingkar) yang terikat di dalam belenggu. (Surah Sad: 35-38).

Ayat tersebut menjelaskan bahawa kelebihan mengawal angin, mengawal, menangkap atau membelenggu jin-jin yang derhaka hanyalah mukjizat istimewa untuk Nabi Sulaiman.

Ia tidak mampu dimiliki orang lain walaupun Nabi Muhammad.

Ia dijelaskan oleh Imam al-Bukhari dengan hadis yang mentafsirkan ayat di atas, maksudnya: Rasulullah bersabda: Sesungguhnya jin Ifrit telah mengganggu solatku semalam akan tetapi Allah telah membantuku mengalahkannya.

Lalu aku ingin mengikatnya di salah satu tiang daripada tiang-tiang masjid supaya di waktu paginya kamu semua akan dapat melihat kepadanya.

Maka aku teringat akan doa saudaraku Sulaiman: Wahai Tuhanku ampunkanlah dosaku dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak akan dapat dimiliki oleh seorang jua pun sesudahku. (Lihat al-Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, Kitab Tafsir al-Quran, surah ke-38).

0 Comments:

Post a Comment

<< Home