Bicara Agama

A collection of articles discussing Islam, and religious belief and practice

Wednesday, August 16, 2006

Umat Islam umat pilihan

Oleh Dr. Zulkifli Mohamad Albakri

Ibn Jauzi berkata, ayat ini diturunkan kerana golongan Yahudi berkata: Kiblat kita merupakan kiblat nabi-nabi, dan kami paling adil dalam kalangan manusia, lantas Allah menurunkan ayat ini.

Imam al-Baghawi pula berkata: Diturunkan kepada pemimpin Yahudi yang berkata kepada Mu`az bin Jabal, Muhammad tidaklah meninggalkan kiblat kami kecuali semata-mata hasad dengki dan sesungguhnya kiblat kami adalah kiblat para nabi dan Muhammad telah mengetahui aku adalah dalam kalangan yang paling adil dalam kalangan manusia, maka lantas dijawab oleh Muaz: Aku di atas kebenaran dan keadilan lantas turunnya ayat ini.

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah), dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang akan menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah kami jadikan kiblat yang mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta siapa pula yang berpaling tadah (kembali kepada kekufuran). Dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat ( untuk diterima ) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah. Dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Nya kepada orang-orang (yang beriman). (al-Baqarah: 143)

Firman Allah s.w.t.: Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil, al-Samarqandi berkata: Maksud al-Wasat ialah yang terbaik dalam kalangan mereka dan yang paling adil. Sayid Qutb berkata: Iaitu umat Muslimin adalah umat yang adil yang menjadi saksi terhadap seluruh umat manusia dan menegakkan keadilan antara mereka, menetapkan neraca-neraca pertimbangan dan nilai-nilai. Memberi fikiran dan pandangan yang muktamad kepada mereka, menimbangkan nilai-nilai, pemikiran, kefahaman, adat-adat resam dan lambang-lambang mereka dan memberi keputusan-keputusan kepada mereka dengan mengatakan ini benar dan itu tidak benar. Bukannya fikiran-fikiran, nilai-nilai, neraca-neraca dan ukuran-ukuran yang diterima daripada manusia. Mereka menjadi saksi terhadap seluruh umat manusia dan mempunyai kedudukan sebagai hakim yang adil kepada mereka.

Dalam pada itu, umat Muslimin menjadi saksi terhadap umat manusia, maka Rasulullah s.a.w. pula menjadi saksi terhadap mereka, beliaulah yang menetapkan neraca-neraca, ukuran-ukuran dan nilai-nilai mereka dan beliaulah yang menilai amalan-amalan dan adat resam mereka dan menimbangkan segala perbuatan mereka yang terbit dari mereka dengan memberi kata-kata pemutus terhadapnya.

Dengan ini, hakikat dan fungsi umat Muslimin sentiasa diperbaharui agar hakikat dan fungsi ini diketahui mereka. Ia juga agar mereka sedar betapa besarnya tugas mereka, dan seterusnya agar mereka dapat menilai peranan mereka dengan penilaian sebenar dan membuat persediaan yang wajar untuknya.

Umat Muslimin adalah umat yang adil dalam segala erti keadilan sama ada keadilan dengan erti kebaikan dan kelebihan dan dengan erti kesederhanaan atau dengan erti fizikal iaitu duduk di tengah-tengah.

Mereka adalah satu umat yang adil dari segi kefahaman dan kepercayaan. Mereka tidak melampau-lampau dalam kemurnian rohaniah dan tidak pula melampau di dalam kejatuhan kebendaan, mereka mengikut fitrah semula jadi yang diwakili oleh roh yang disalut dengan jasad atau oleh jasad yang disalut oleh roh. Mereka memberi kepada diri mereka yang mempunyai dua tenaga itu haknya yang sempurna dengan bekalan masing-masing.

Mereka bekerja untuk memaju dan meningkatkan hayat dan kelanjutannya. Mereka melepaskan segala kegiatan di alam perasaan dan keinginan tanpa keterlaluan, malah secara sederhana dan selaras.

Mereka adalah satu umat yang adil dari segi pemikiran dan perasaan. Mereka tidak membeku dengan pengetahuan yang diketahui mereka dan menutup segala pintu ujian dan ilmu pengetahuan yang lain. Mereka tidak terikut-ikut kepada setiap penyeru dan meniru orang lain seperti beruk yang lucu malah mereka berpegang teguh dengan kefahaman-kefahaman, cara-cara dan dasar-dasar berfikir yang ada pada mereka. Mereka mengkaji dengan teliti segala hasil pemikiran dan ujian. Cogan kata mereka yang kekal ialah ‘hakikat itu barang hilang orang mukmin, di mana sahaja mereka temui hakikat itu mereka akan mengambilnya dengan penuh keyakinan.’

Mereka adalah satu umat yang adil dari segi penyusunan dan penyelarasan. Mereka tidak membiarkan seluruh hidup ini kepada perasaan dan hati manusia sahaja dan tidak pula membiarkannya kepada kuasa undang-undang dan hukuman sahaja malah mereka meningkatkan hati nurani manusia dengan bimbingan dan pendidikan dan menjaga kesejahteraan masyarakat dengan undang-undang.

Mereka tidak menyerahkan manusia kepada kekuasaan dan hukuman pemerintah dan tidak pula menyerah mereka kepada ilham hati nurani semata-mata malah mereka mencampurkan di antara kedua-duanya supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang akan menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) supaya Muhammad menjadi saksi kepada sekalian ummah pada Hari Kiamat.

Imam al-Nasafi menaqalkan pendapat Sheikh Abu Mansur yang berkata: Ayat ini menunjukkan ijma' (iaitu kesepakatan ulama dalam kalangan umat Muhammad dalam perkara agama pada salah satu masa selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.) sebagai hujah kerana Allah sifatkan umat ini dengan keadilan dan orang yang adil sahaja yang berhak untuk menjadi saksi dan diterimanya apabila mereka bersepakat atas sesuatu dan menjadi saksi dengannya, maka wajiblah diterimanya. Terdapat tiga pandangan tentang penyaksian.

i. Dengan amalan mereka. Inilah pendapat Ibn `Abbas, Abu Sa`id al-Khudri dan Ibn Zaid.

ii. Dengan menyampaikan risalah mereka. Inilah pendapat Qatadah dan Muqatil.

iii. Dengan iman mereka. Inilah pendapat Abu al-`Aliyah.

Dan tiadalah kami jadikan kiblat yang mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), iaitu sekali-kali kami tidak perintah kamu tawajjuh dengan Bait al-Maqdis, kemudian Kami palingkan kamu ke Kaabah.

Melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta siapa pula yang berpaling tadah (kembali kepada kekufuran). Ini semata-mata kerana ujian.

Dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah. Iman di sini dengan makna solat.

Dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Nya kepada orang-orang (yang beriman). Sebagai sebab bagi hukum yang Allah taala amat besar rahmatnya kepada hambanya apabila mereka melakukan amalan soleh. Sebab turunnya ayat ini ialah kerana orang-orang Islam bertanya: Hai Rasulullah! Apa pandanganmu terhadap sahabat kita yang meninggal dunia sedangkan mereka hanya solat ke Bait al-Maqdis? Lantas turunnya ayat ini. Dimaksudkan iman di sini ialah solat mengikut pendapat ramai ahli tafsir, kerana ia mengandungi ucapan niat dan amal.

Antara pengajaran ayat:

i. Allah sentiasa menguji hamba-Nya supaya dapat dibezakan antara yang mengikut Rasul atau sebaliknya.

ii. Kiblat merupakan milik Allah justeru kita sewajarnya mengikut apa yang diperintahkan, seperti menghadap ke Baitullah ketika solat. Antara sebab memilih kiblat ke arah Masjid al-Aqsa dalam tempoh yang tertentu ialah untuk membersihkan jiwa dari keladak jahiliah dan segala sesuatu yang ada hubungan dengan jahiliah seterusnya dapat mengikut Rasulullah tanpa sebarang tujuan kecuali dengan penuh taat, patuh, yakin, reda dan menyerah diri.

iii. Kalimah umat wasatan antara lain memberi maksud sebaik-baik perkara adalah pertengahan. Lebih dari yang dituntut adalah melampau dan kurang daripadanya merupakan kecuaian. Kedua-duanya adalah keji dan hina. Inilah juga yang ditegaskan oleh Ibn Jarir al-Tabari supaya umat Islam sentiasa bersikap wasatan dalam agamanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home