Bicara Agama

A collection of articles discussing Islam, and religious belief and practice

Thursday, August 17, 2006

Pengajaran Israk, Mikraj

Oleh ZULKIFLEE BAKAR


SETIAP tahun pada bulan Rejab, umat Islam di seluruh dunia akan mengingati peristiwa bersejarah yang berlaku pada bulan berkenaan iaitu Israk dan Mikraj.

Seperti biasa pelbagai atur cara diadakan bagi memperingati peristiwa bersejarah itu yang dianggap mengandungi rahsia dan hikmah dalam usaha kita menjadi hamba Allah yang bertakwa.

Pengertian Israk bermaksud perjalanan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dengan menunggang ‘Buraq’ iaitu makhluk syurga, dari Masjidilharam di Mekah menuju ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis pada satu malam.

Peristiwa itu telah dijelaskan oleh Allah melalui firman-Nya dalam surah al-Isra’ ayat 1 yang bermaksud: Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada satu malam dari Masjidilaqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dialah Maha Mendengar Lagi Maha Melihat.

Mikraj pula bererti Baginda dinaikkan ke langit dari Baitulmaqdis menuju beberapa tingkat hingga langit yang ketujuh terus ke Sidratulmuntaha dan al-Mustawa.

Sepanjang perjalanan bersejarah itu, Allah s.w.t telah memperlihatkan kepada Rasulullah pelbagai peristiwa dan kejadian yang boleh dijadikan iktibar oleh umat Islam dalam mencari keredhaan-Nya.

Persoalannya sejauh manakah apa yang dipaparkan dalam peristiwa Israk dan Mikraj dijadikan iktibar oleh kita.

Renung, lihat dan kajilah bagaimana pembalasan yang diterima oleh manusia di akhirat terhadap perbuatan mereka seperti mana dilihat oleh Rasulullah masih berleluasa pada masa ini.

Dalam perjalanan itu, Baginda melihat sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka.

Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula, perbuatan itu dilakukan berulang kali.

Jibril memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

Atas sebab itulah Baginda pernah bersabda bahawa solat adalah tiang agama dan asas kepada ibadah lain, oleh itu sesiapa yang meninggalkannya dianggap melakukan dosa besar.

Solat

Tetapi berapa ramai di antara kita masih menganggap remeh soal solat ini, bukan sahaja ada antara kita jarang melakukannya malah ada antaranya langsung tidak pernah meringan tubuh untuk sujud kepada Allah Yang Maha Esa yang mengizinkannya bernafas di alam fana ini.

Sembahyang merupakan ibadat yang paling penting dan utama, malahan sembahyang merupakan ibadat yang mula-mula sekali dihisab di akhirat nanti.

Firman Allah dalam Surah al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud: Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar keutamaannya daripada ibadat-ibadat lain dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Begitu juga apabila Rasulullah diperlihatkan mengenai satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali.

Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibril: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

Satu kaum pula dilihat mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibril: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

Cuba kita perhatikan di sekeliling kita, tidakkah perbuatan memfitnah, caci mencaci, mengumpat dan menjatuhkan maruah orang lain masih berleluasa.

Malah fitnah dan mengumpat seolah-olah dianggap sudah sebati dengan sesetengah insan tanpa mereka mempedulikan balasan di akhirat kelak.

Golongan seumpama ini seolah-olah tidak pernah merasa berdosa atau bersalah apabila mereka mengumpat atau mengatakan mengenai hamba Allah yang lain.

Malah Rasulullah juga menyaksikan seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibril: Itulah orang yang bercakap besar (takbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

Sikap ini juga masih kita lihat dalam kalangan anggota masyarakat kita. Mereka ini bercakap tanpa memikirkan kesannya.

Apabila ada sesuatu isu mereka inilah kononnya akan ke hadapan menjadi wira atau pembela tanpa menyedari bahawa ada kalanya mereka dilihat terlalu takbur dengan kuasa dan kedudukan yang dimiliki.

Hakikatnya terlalu banyak peristiwa yang dipaparkan dalam Israk dan Mikraj supaya ia menjadi teladan kepada manusia untuk menjadi insan yang bertakwa.

Ini kerana dalam peristiwa itu juga Rasulullah melihat seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti.

Rasulullah tidak menghiraukannya. Kata Jibril: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sehingga tua.

Malah Israk dan Mikraj juga memaparkan ganjaran yang akan diterima oleh hamba Allah yang bertakwa ini termasuklah balasan kepada mereka yang berjihad di jalan Allah.

Sesungguhnya bagi mereka yang beriman dan beramal soleh, peristiwa berkenaan akan menimbulkan rasa keinsafan dan kesedaran serta menjauhkan mereka daripada perkara-perkara yang mungkar.

Bertaubat

Tetapi bagi sesetengah pula ia mungkin dianggap hanya satu sejarah atau sekadar peristiwa yang sama sekali tidak mahu difikirkan oleh mereka untuk bertaubat dan kembali ke jalan-Nya.

Namun begitu apa pun keadaannya selagi nyawa dikandung badan selagi itulah Allah membuka pintu taubat kepada hamba-Nya.

Rasulullah s.a.w bersabda, Sesungguhnya Allah menerima taubat hambaNya selama nyawa belum sampai di kerongkongan.

Justeru jadikanlah sambutan Israk dan Mikraj ini sebagai landasan untuk kita bermuhasabah bagi membolehkan kita menjadi hamba-Nya yang mampu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Jangan berpuas hati dengan ibadah yang kita lakukan setakat ini dan janganlah pula terus lalai dengan kemewahan di dunia sehingga kita terlupa beribadah kepada-Nya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home