Bicara Agama

A collection of articles discussing Islam, and religious belief and practice

Thursday, August 17, 2006

Anak tak sah taraf berwalikan hakim

SOALAN:
1. Saya ada seorang sahabat yang dalam dilema tentang situasinya. Setelah berumur 21 tahun, baru dia mengetahui kedudukannya sebagai anak luar nikah setelah kematian bapanya.

a) Walaupun Siti (bukan nama sebenar) adalah dari benih Samsir (bukan nama sebenar) tetapi cuma di luar nikah, adakah wajar semasa hidup ini dia berbintikan dengan nama Samsir. Selepas mengetahui situasi sebenar adakah dia perlu membuat pendaftaran penukaran semula iaitu Siti binti Abdullah. Adakah berdosa sahabat saya itu dibintikan dengan Samsir sehingga akhir hayatnya.

b) Adakah adik-adiknya yang sesusu (saudara sesusu) dengan ibunya adalah mahram Marina.

c) Jika dia berkahwin siapakah walinya. Bolehkah saudara sesusunya menjadi wali.

JAWAPAN
Tafsiran ‘anak tak sah taraf’ dalam garis panduan terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerima pakai tafsiran yang diperuntukkan di dalam kebanyakan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri bahawa ‘anak tak sah taraf’ ialah seseorang anak yang dilahirkan di luar nikah iaitu sama ada akibat daripada zina atau dirogol atau anak yang dilahirkan kurang enam bulan dari tarikh akad nikah dan dia anak yang bukan daripada persetubuhan syubhah.

Dalam bab penamaan pula, garis panduan Jakim menyatakan; jika seseorang perempuan Melayu Islam bersekedudukan tanpa nikah, sama ada dengan lelaki Islam atau lelaki bukan Islam dan melahirkan anak, maka anak itu hendaklah dibin atau dibintikan Abdullah atau lain-lain nama “Asma al-Husna” berpangkalkan Abdul.

Seseorang anak tak sah taraf atau anak luar nikah tidak wajar dibin atau dibintikan kepada ibu anak tersebut kerana ini mungkin boleh menimbulkan masalah sosial dan kesan psikologi kepada kanak-kanak itu. Oleh yang demikian anak tersebut seelok-eloknya dibin atau dibintikan kepada Abdullah atau lain-lain nama “Asma al-Husna” berpangkalkan Abdul. (rujuk Garis Panduan Anak Tak Sah Taraf: Penamaan Pergaulan dan Hak-haknya, Jakim).

Berdasarkan pernyataan tadi, sekiranya saudari Siti yakin bahawa dia adalah anak tak sah taraf, maka perlulah dia membuat pertukaran nama ayahnya kepada Abdullah atau lain-lain nama “Asma al-Husna” berpangkalkan Abdul. Pemberitahuan ini sangat perlu kerana dikhuatiri akan berlaku masalah lebih besar di kemudian hari, terutama di ambang perkahwinan.

Mahram Siti ialah anak-anak ibunya dan saudara-mara sebelah ibunya sahaja. Adik-beradik sesusu dengan Marina juga termasuk mahramnya. Hak perwalian diri Marina sebenarnya terletak kepada ibunya. Walau bagaimanapun, wali perkahwinan seseorang anak tak sah taraf perempuan dipegang oleh wali hakim.

Ini kerana seseorang perempuan tidak sah menjadi wali di dalam apa jua perkahwinan. Adik beradik seibu dan sesusu Marina, ayah kepada Samsir dan saudara lelaki Samsir tidak boleh mewalikan Siti.

2. Apakah niat seorang anak menghadiahkan al-Fatihah atau ayat-ayat suci sama ada kepada arwah ibu atau bapa akan diterima Allah sedangkan mereka semasa hayatnya melakukan dosa. Adakah seksaan mereka diringankan sekiranya kita sebagai anak sentiasa mendoakan mereka di sana?

JAWAPAN
Menghadiahkan ayat-ayat suci kepada arwah ibu dan bapa diharuskan oleh syarak. Bahkan doa dan perbuatan baik si anak menjadi saham dan bekalan buat kedua ibu bapanya di alam kubur. Sabda Rasulullah s.a.w.: Apabila mati anak Adam, putuslah semua amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya. (Riwayat Bukhari, Tirmizi dan Nasaie)

Hadis ini menerangkan bahawa doa seorang anak memberi manfaat kepada kedua-dua ibu bapanya yang telah kembali selagi mereka mati di dalam iman. Doa anak yang soleh adalah berpanjangan dan tidak terputus. Anak soleh ibarat penyambung amal jariah setelah kematian orang tuanya.

Baginda s.a.w. menggalakkan umatnya supaya mengahwini perempuan-perempuan yang solehah, yang subur dan pandai mendidik anak-anaknya agar zuriat yang ditinggalkan akan menjadi penyambung amalan dan mendoakan mereka.

Bacaan al-Quran, doa-doa dan amalan soleh si anak dapat meringankan bebanan ibu bapa di akhirat dengan izin Allah. Penjelasan ini adalah bersandarkan beberapa firman Allah bermaksud: Ya Tuhan kami! Berilah keampunan kepadaku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (Hari Kiamat). (Ibrahim 14:41)

Dan orang-orang yang datang sesudah mereka itu akan berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman sebelum kami. (Al-Hasyr, 59:10)

Justeru, kepada mereka yang ketiadaan ibu atau bapa, adalah sangat digalakkan mendoakan dan membuat amal soleh untuk mereka. Ia tidak terhad kepada bacaan al-Quran bahkan ibadat-ibadat lain seperti sedekah dan haji.

Dari Aisyah berkata: Bahawasanya seorang lelaki datang kepada Nabi dan berkata: Wahai Rasulullah! Ibuku telah mati mendadak, sehingga dia tidak berkesempatan untuk berwasiat dan saya rasa andaikan ia mendapat kesempatan berkata tentu dia berwasiat (supaya bersedekah). Adakah ia mendapat pahala jika aku bersedekah untuknya? Baginda menjawab: “Ya”.

Kesimpulanya, syarak mengharuskan sesiapa sahaja yang mempunyai hubungan talian persaudaran untuk menyedekahkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Ini bermaksud setiap orang Islam yang telah meninggalkan kita lebih dahulu ke alam barzakh harus mendapat manfaat daripada yang masih hidup. Apatah lagi bila alam yang dihuni oleh para arwah adalah alam barzakh yang berbeza dengan alam duniawi.

Alam barzakh hanya menerima doa dan segala amalan yang berkaitan dengan pahala yang dapat disalurkan kepada ibu bapa dan sanak saudara yang beragama Islam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home