Bicara Agama

A collection of articles discussing Islam, and religious belief and practice

Thursday, August 17, 2006

Said al-Maghribi penyair dan ahli sejarah

IBNU Said al-Maghribi atau nama penuhnya, Abu al-Hasan Ali bin Muda bin Muhammad bin Abdul Malik bin Said al-Maghribi adalah seorang ahli geografi, sejarah dan ontologi. Namanya masyhur sebagai penyair Andalusia.

Beliau dilahirkan pada 610H/1231M berhampiran Granada dan berasal daripada sebuah keluarga keturunan Ammar bin Yassir. Keluarga tersebut semasa zaman Tawa’if membentuk keluarga diraja di Kal’a Banu Yahsuh.

Semasa muda, beliau banyak menetap di Seville. Pada 639H/1241M, Said al-Maghribi meninggalkan Sepanyol untuk melaksanakan ibadat haji bersama-sama ayahnya. Bagaimanapun, sewaktu dalam perjalanan, ayahnya meninggal dunia.

Di Kaherah, beliau menerima sambutan hangat daripada penduduk kota tersebut. Bukunya, Kitab al-Mughrih fi Hula al-Maghrib menaikkan namanya hingga dikenali ramai. Karya ini ternyata memendam sejarah yang cukup berkesan dan berliku-liku.

Pada 648H/1249M, Said al-Maghribi meninggalkan Mesir dan mengembara melalui Iraq dan Syria dengan tujuan mendapat lebih banyak maklumat dan pandangan ilmiah dalam menyelesaikan sebuah buku, Kitab al-Musyrik fi Hula al-Masyrik. Buku tersebut pada mulanya disusun oleh ayahnya. Tetapi, karya ini tidak pernah lengkap. Beberapa jilid antaranya dalam bentuk manuskrip dijumpai di Kaherah.

Sebagai ahli geografi, Said al-Maghribi banyak melakukan perjalanan-perjalanan yang jauh dan kemudiannya mengabadikan segala pengalamannya dalam buku. Setelah melalui Iraq dan Syria, untuk kedua kalinya beliau menunaikan fardu haji ke Mekah.

Hasil pengembaraan tersebut, beliau menulis buku bertajuk An-Nafha al-Miskiyyah fi ar-Rihla al-Makkiyyah. Ketika tiba di Tunisia pada 652H/1254M, Said al-Maghribi berkhidmat dengan Amir Muntasir. Pada 666H/1267M, beliau memulakan perjalanan menuju ke arah Timur hingga ke Iran.

Pada tahun-tahun menjelang akhir hayatnya, beliau kembali ke Tunisia sekitar 675H/1276M dan meninggal dunia 10 tahun kemudian.

Sepanjang tempoh pengembaraan yang cukup panjang itu, beliau turut menulis puisi yang berkaitan dengan pemikirannya dan nostalgia terhadap kampung halamannya di Andalusia. Namun, karya yang meningkatkan kemasyhuran namanya adalah sebuah ontologi berjudul Maghrib.

Antara karya terakhirnya yang masih ada dan dicetak ialah :

- Riwayat al-Mubarrizin wa Ghayat al-Mumayyizin. Ia telah diterjemahkan ke dalam bahasa Sepanyol oleh E.Garcia Gomez (Madrid, 1942) dan A.J. Arberry pula menterjemahkannya ke bahasa Inggeris (Cambridge, 1953).

- Unwan al-Murkisat wa al-Mutribat (edisi Kaherah, 1286M). Ini merupakan sebahagian daripada karya utamanya yang telah disunting dan diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis oleh A.Mahdad (Algiers, 1949).

- Al-Ghusun al-Yani’a fi Mahasin Syu’ara’ al-Mi’a as-Sabi’a yang disunting oleh Ibrahim Ibyari (Kaherah, 1955).

- Mukhtasar Jughrafiyah, disunting dan diterjemahkan sebahagiannya ke bahasa Sepanyol oleh J.Vernet pada 1953. Ia juga diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis oleh G.Potiran.

Kebanyakan karyanya mencakupi riwayat hidup para sarjana pada zamannya. Ia menyingkap tentang keluarga, perjalanannya ke Mekah, tentang geografi dan sebagainya. Pengalamannya digunakan oleh cendekiawan seterusnya iaitu al-Makkari atau al-Fida’ dan sebagainya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home