Bicara Agama

A collection of articles discussing Islam, and religious belief and practice

Sunday, September 17, 2006

Islam galak umat kaya harta benda

Tajdid Iman

SUATU hari Abdullah bin Abbas memakai pakaian paling indah dan mahal berharga 10,000 dirham.

Beliau bermaksud mengadakan dialog dengan kaum Khawarij yang memberontak.

Orang Khawarij adalah golongan yang kuat beribadat tetapi mengetepikan ilmu dan tidak mahu mempelajari al-Quran, fiqh dan hadis Rasulullah SAW.

Mereka terkenal sebagai kaum yang degil, berpuak-puak dan membenci sesiapa saja yang tidak sefahaman dengan mereka.

Abdullah bin Abbas mandi dan memakai wangian paling harum, menyikat rambutnya serta mengenakan pakaian indah dan bersih.

Beliau akan berhadapan dengan orang-orang degil yang memakai baju bertampal-tampal, muka yang berdebu dan kusut masai.

Mereka berkata, “Kamu adalah anak bapa saudara Rasulullah SAW. Mengapa kamu memakai pakaian seperti ini? Abdullah bin Abbas menjawab, “Apakah kalian lebih tahu mengenai Rasulullah SAW berbanding saya?.

Mereka berkata, “Tentulah kamu yang lebih tahu.” Abdullah berkata lagi, “Demi Allah yang jiwaku dalam genggaman-Nya, sesungguhnya aku telah melihat Rasulullah SAW berpakaian dengan mengenakan perhiasan berwarna merah dan itu adalah sebaik-baik perhiasan.”

Aisyah pada suatu ketika melihat sekumpulan pemuda berjalan dalam keadaan lemah, pucat dan kelihatan malas. Beliau bertanya, “Siapakah mereka itu?” Sahabat menjawab, “Mereka itu adalah kumpulan ahli ibadat.”

Kemudian Aisyah berkata, “Demi Allah, yang tiada Tuhan selain-Nya. Sesungguhnya Umar bin al-Khattab adalah orang yang lebih bertakwa dan lebih takut kepada Allah berbanding mereka itu.

Kalau beliau berjalan, beliau berjalan dengan cepat dan tangkas.

Apabila bercakap, beliau dalam keadaan berwibawa, jelas kedengaran percakapannya dan apabila beliau memukul, pukulannya terasa sakit.”

Hal ini semua berlaku adalah akibat memahami ilmu secara kurang menyeluruh, memberatkan hal ibadat yang sebenarnya mudah, sampai ke tahap berlebih-lebihan dan menyusahkan diri.

Begitulah keadaan sebahagian umat Islam yang lupa kepada wasiat Rasulullah SAW yang disampaikan kepada sahabatnya, Muaz bin Jabal ketika beliau dikirim menjadi Duta dakwah ke negeri Yaman. Kata Baginda yang maksudnya: "Wahai Muaz, mudahkanlah setiap urusan, jangan memberat-beratkannya."

Apakah agama Islam mengajar untuk membenci dunia? Kalau begitu, mengapa Abu Bakar al-Siddiq boleh berbangga dengan harta kekayaannya untuk membela agama Allah? Begitu juga dengan Abdul Rahman bin Auf dan Uthman bin 'Affan yang mengeluarkan perbelanjaan membiayai gerombolan tentera Allah dengan wang daripada poket mereka sendiri.

Adakah Rasulullah SAW melarang mereka bekerja bersungguh-sungguh untuk meraih keuntungan duniawi?

Bahkan di dalam al-Quran, Allah menegaskan bagi sesiapa yang menolong agama Allah mereka wajib mempunyai bekalan. Firman-Nya yang bermaksud: "Dan sediakanlah untuk menentang mereka dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan daripada pasukan-pasukan berkuda yang lengkap untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh-musuhmu." (Surah al-Anfal, ayat 60)

Bagaimanakah Islam akan menang jika umatnya adalah mereka yang berada dalam skala Negara Dunia Ketiga? Negara miskin dan terkebelakang serta dikuasai oleh musuhnya.

Apabila mereka hendak membeli makanan, mereka terpaksa meminta belas ihsan orang kafir.

Apakah zuhud itu bererti membiarkan dunia dimiliki dan dikuasai oleh musuh Allah? Sedangkan Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah berkata: "Apabila emas seberat gunung diamanahkan kepadaku, aku tidak akan tidur selagi ia tidak habis dimanfaatkan untuk umat Islam."

Sebagai panduan bersama, ingatlah pandangan Shaikhul Islam al-Imam Ibnu Taimiyah.

Beliau berkata: "Zuhud itu adalah kamu meninggalkan perbuatan yang tidak berfaedah untuk akhiratmu."

Harta yang halal hendaklah dipastikan dikeluarkan pada tempat yang halal.

Jangan mencari di lubuk yang halal saja tetapi membelanjakannya pada jalan maksiat.

Atau kebalikannya, mengambil daripada sarang penyamun dan membelanjakannya untuk ibadat.

Itu semua bertentangan dengan perintah Allah.

Orang beriman percaya harta adalah titipan dan amanah Allah, pinjaman sementara dan bila-bila saja Dia mahukannya, akan lenyaplah ia daripada tangan kita.

Cukuplah ia berada dalam genggaman tangan, jangan masuk menguasai hati nurani.

Al-Imam Ahmad bin Hanbal apabila ditanya mengenai seorang lelaki yang memiliki harta kekayaan sebanyak 100,000 dinar wang emas.

Bolehkan dia dikatakan sebagai seorang yang zahid? Beliau menjawab: "Lelaki itu dikatakan zuhud apabila ada dua sifat:

l Tidak terlalu bergembira ketika hartanya bertambah.

l Tidak terlalu berduka cita apabila hartanya berkurangan."

Nikmatilah dunia dan segala kesenangannya tetapi pastikan harta yang dimiliki tidak menahan langkah di akhirat kelak dan melambatkan perjalanan ke pintu syurga.

Ia kerana semakin banyak harta, maka pasti semakin rumit hisab perhitungan yang dilakukan, kecuali harta yang halal yang dibelanjakan untuk keredaan Allah.

Jika pegawai Badan Pencegah Rasuah datang menyiasat harta dan ia adalah suatu yang menggerunkan, maka bagaimana dengan penyiasatan mahkamah Allah nanti, yang pasti memiliki segala bukti?

0 Comments:

Post a Comment

<< Home