Bicara Agama

A collection of articles discussing Islam, and religious belief and practice

Thursday, August 17, 2006

Haram cabut, binasa pokok di Tanah Haram

Soal Jawab Umrah dan Haji

ADAKAH orang dalam ihram diharamkan mencabut atau membinasakan pokok di Tanah Haram dan Tanah Halal.

Haram mencabut atau membinasakannya di Tanah Haram saja, tidak di Tanah Halal.

Seorang jemaah haji telah melakukan kerja umrah kecuali tahallul yang belum lagi dilaksanakan. Kemudian balik ke rumah memakai seluar dalam tanpa disedari. Apabila disedari lalu ditanggalkan dengan segera kemudian bertahallul.

Jika disegerakan menanggalkan seluar dalam apabila disedari ia tidak dikenakan dam.

Jemaah haji wanita menutup mulut dan hidung dengan tangannya kerana habuk/debu, adakah dikenakan dam.

Tidak dikenakan dam kerana menutup buat sementara untuk mengelakkan daripada debu berterbangan dan perbuatan itu diharuskan.

Membuka pakaian ihram dalam masa ihram adakah dikenakan dam atau tidak.

Tidak dikenakan dam jika membuka pakaian dalam masa ihram.

Bolehkah seorang suami memegang tangan isterinya ketika menyeberang jalan raya pada masa ihram.

Boleh bila seorang suami memegang tangan isteri dalam ihram.

Seorang pesakit dalam ihram dicukur rambutnya oleh doktor untuk pembedahan. Adakah dikenakan dam.

Pesakit dikenakan dam tetapi tidak berdosa. Damnya adalah dam Takhyir dan Taqdir.

Seorang jemaah haji lelaki belum bersai untuk umrahnya dia jatuh sakit dan masuk hospital selepas balik ke rumah dia memakai pakaian biasa. Adakah batal umrahnya.

Umrahnya tidak batal. Sekiranya dia memakai pakaian dengan sengaja maka dikenakan dam, tetapi jika dia terlupa/jahil/teringat/diberi ingat maka hendaklah segera memakai pakaian ihram dan mengerjakan sai serta bertahallul. Dia tidak dikenakan dam.

Apa hukum Ittibaa' dalam masa ihram.

Ittibaa' adalah sunat dalam masa tawaf yang diiringi sai dan juga dalam masa sai itu dan makruh pada masa yang lain.

Suami tawaf Umrah terlupa Ittibaa' hingga pusingan kelima barulah dia Ittibaa'. Apakah hukum tawafnya.

Sah tawafnya kerana Ittibaa 'ketika tawaf yang diringi dengan sai hukumnya sunat.

Tawaf dan sai ada bacaan yang dikhaskan untuk bahagian itu. Andainya ada antara jemaah haji tidak pandai membaca atau tidak dapat menghafaz ayat itu, bagaimana cara untuk mengatasi masalahnya.

Jika tidak dapat membaca atau tidak dapat menghafaz doa atau bacaan tertentu ketika tawaf dan sai, maka bacalah ayat al-Quran, zikir atau doa lain dan jika semuanya tidak boleh, maka tawaf dan sai tanpa apa-apa doa dan bacaan.

Jawapan disediakan Bahagian Bimbingan, Lembaga Urusan Haji.

Tertib

Tertib pada kebanyakan rukun bantu capai tahap haji mabrur

PADA minggu lalu, kita diterangkan sebahagian daripada rukun haji iaitu niat, wukuf dan tawaf. Dalam pada itu, kita juga perlu mengetahui mengenai jenis tawaf. Tawaf terbahagi kepada beberapa jenis iaitu:

1. Tawaf Qudum

Tawaf Qudum ialah Tawaf Selamat Datang yang disunatkan bagi mereka yang mengerjakan Haji Ifrad dan Haji Qiran atau sekadar menziarahi Makkah. Sunat dilakukan Tawaf Qudum setibanya di Makkah. Bagaimanapun, harus dilewatkan sehingga sebelum berwukuf.

2. Tawaf Umrah

Tawaf Umrah ialah Tawaf Rukun yang mesti dilakukan oleh orang yang mengerjakan umrah, sekiranya tidak dilakukan tidak sah umrahnya.


3. Tawaf Haji

Tawaf Haji disebut juga sebagai Tawaf Ifadhah atau Rukun. Tawaf ini mesti dilakukan oleh jemaah haji selepas masuk waktunya (bermula selepas separuh malam 10 Zulhijah), sekiranya tidak dilakukan sama ada sengaja atau tidak, maka tidak sempurnalah hajinya.


4. Tawaf Sunat

Tawaf Sunat ialah tawaf yang sunat dilakukan pada bila-bila masa.


5. Tawaf Nazar

Tawaf Nazar ialah tawaf yang mesti ditunaikan oleh seseorang apabila ia berniat nazar pada sesuatu yang dihajatinya.


6. Tawaf Tahallul

Tawaf Tahallul ialah tawaf yang dilakukan oleh jemaah haji yang luput wukuf di Arafah bagi melepaskan dirinya daripada larangan ihram. Selepas melakukan tawaf, diwajibkan mengerjakan sai sekiranya sai tidak dilakukan selepas Tawaf Qudum (bagi yang berihram Haji Ifrad atau Haji Qiran) dan bercukur atau bergunting.


7. Tawaf Wada'

Tawaf Wada' ialah Tawaf Selamat Tinggal yang wajib dilakukan bagi mereka yang hendak meninggalkan Makkah lebih daripada dua marhalah (lebih kurang 91 kilometer) dan lebih.



Hukum Tawaf Wada'

Tawaf Wada' adalah wajib bagi:

1 Orang yang akan bermusafir meninggalkan Makkah lebih dua marhalah (lebih kurang 91 kilometer) dan lebih.

2 Orang yang akan meninggalkan Makkah dan akan bermukim di luar Tanah Haram walaupun jaraknya kurang dua marhalah sama ada penduduk Makkah atau bukan.

Ada beberapa golongan yang dikecualikan daripada melaksanakan Tawaf Wada' iaitu:

1 Perempuan dalam keadaan haid, nifas atau mustahadhah.

1 Orang yang berpenyakit salisalbaul (kencing tidak tos) atau seumpamanya.

2 Orang yang luka, darahnya mengalir dan boleh menajiskan masjid.

3 Orang yang dipaksa meninggalkan tawaf.

4 Orang yang takut orang zalim menzaliminya.

5 Orang yang takut ditinggalkan rakan seperjalanan.

6 Orang yang takutkan keselamatan dirinya (penyakit yang tenat atau bahaya musuh), kehormatan dan harta bendanya terancam.

7 Orang yang tidak mempunyai air dan debu tanah untuk bersuci.

Setelah menunaikan Tawaf Wada' hendaklah bersegera meninggalkan Makkah dan tidak melengah-lengahkannya, kecuali dalam perkara yang berkaitan dengan perjalanan dan mendirikan solat.



Sai

Sai ialah berjalan ulang-alik di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah menurut syaratnya.

Syarat sah sai ialah:

1. Dilakukan sama ada selepas mengerjakan;

i- Tawaf Qudum untuk Haji Ifrad atau Haji Qiran.

ii- Tawaf Haji.

2. Bermula dari Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah.

3. Cukup tujuh kali berulang-alik dengan yakin dari Bukit Safa ke Bukit Marwah dikira sekali, dan dari Bukit Marwah ke Bukit Safa dikira kedua, sehingga seterusnya cukup tujuh kali dengan berakhir yang ketujuh di Bukit Marwah.

4. Hendaklah sampai ke penghujung tempat sai di Bukit Marwah dan kaki Bukit Safa setiap pusingan

5. Hendaklah melakukan sai di tempat yang ditetapkan.

6. Mengekalkan niat sai.

Sai juga sah dilakukan di tingkat atas Masjidil Haram seperti di kawasan sai tingkat atas yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.


Amalan sunat sa'ie iaitu:

1. Dalam keadaan wuduk.

2. Dilaksanakan sejurus selepas mengerjakan tawaf.

3. Keluar ke tempat sai melalui pintu Safa (Bab al-Safa).

4. Menaiki Bukit Safa dan Bukit Marwah.

5. Mengadap ke arah Kaabah sambil bertakbir dan bertahmid dan berdoa ketika berada di Bukit Safa dan Bukit Marwah.

6. Muwalat (berturutan)

7. Melakukan raml (berlari-lari anak) pada setiap pusingan apabila berada di kawasan yang bertanda lampu hijau bagi lelaki saja.

8. Berittiba' (memakai ihram dalam keadaan bahu kanan dibukakan) pada semua pusingan.

9. Berjalan kaki.

10. Berdoa, berzikir dan membaca al-Quran.



Bercukur atau Bergunting

Bercukur atau bergunting ialah menanggalkan sekurang-kurangnya tiga helai rambut di kepala. Waktu bercukur atau bergunting bermula selepas separuh malam 10 Zulhijah.

Amalan sunat ketika bercukur atau bergunting yang boleh dilaksanakan oleh jemaah haji ketika menyempurnakan ibadat itu iaitu:

1. Bagi lelaki, sebaiknya bercukur seluruh kepala.

2. Mulakan cukuran atau guntingan di bahagian kanan, kemudian di bahagian kiri dengan menghadap ke arah kiblat, diiringi dengan bacaan doa.

Bagi jemaah haji yang melaksanakan Haji Tamattu' atau umrah boleh bercukur atau bergunting selepas sai, manakala jemaah haji yang melaksanakan Haji Ifrad atau Haji Qiran tidak boleh bercukur atau bergunting sesudah sai yang dilakukan selepas Tawaf Qudum kerana belum masuk waktu bercukur atau bergunting.

Jemaah haji boleh mencukur atau menggunting rambut sendiri dan rambut orang lain. Jemaah yang belum bercukur atau bergunting boleh juga mencukur atau menggunting rambut orang lain.

Mencukur atau menggunting rambut boleh dilakukan di kediaman (maktab). Bagi jemaah haji wanita perlulah berhati-hati ketika bergunting kerana dibimbangi akan terdedah auratnya ketika bergunting.



Tertib pada kebanyakan rukun

Tertib pada kebanyakan rukun bermaksud rukun haji hendaklah dilakukan mengikut salah satu daripada susunan jadual berikut:

Cara 1

i. Niat

ii. Wukuf

iii. Tawaf haji

iv. Sai haji

v. Bercukur atau bergunting

Cara 2

i. Niat

ii. Wukuf

iii. Bercukur atau bergunting

iv. Tawaf haji

v. Sai haji

Nota: Bagi jemaah haji yang melaksanakan Haji Tamattu', begitu juga haji Ifrad dan Haji Qiran yang tidak melakukan sai haji selepas Tawaf Qudum

Cara 3

i. Niat

ii. Sai haji

iii. Wukuf

iv. Tawaf Haji

v. Bercukur atau Bergunting

Cara 4

i. Niat

ii. Sai haji

iii. Wukuf

iv. Bercukur atau bergunting

v. Tawaf haji

Nota: Bagi jemaah haji yang melaksanakan Haji Ifrad dan Haji Qiran yang terlebih dulu dilakukan Tawaf Qudum dan bersai haji.

Inilah yang dimaksudkan dengan tertib pada kebanyakan rukun.

Demikianlah susun atur dan disiplin dalam memahami dan menyempurnakan rukun haji. Insya-Allah dengan sempurna rukun haji dan perkara lain berhubung ibadat haji diharap ia diterima oleh Allah sebagai haji mabrur.

Penulis ialah Pengurus (Bimbingan), Lembaga Tabung Haji

Anak tak sah taraf berwalikan hakim

SOALAN:
1. Saya ada seorang sahabat yang dalam dilema tentang situasinya. Setelah berumur 21 tahun, baru dia mengetahui kedudukannya sebagai anak luar nikah setelah kematian bapanya.

a) Walaupun Siti (bukan nama sebenar) adalah dari benih Samsir (bukan nama sebenar) tetapi cuma di luar nikah, adakah wajar semasa hidup ini dia berbintikan dengan nama Samsir. Selepas mengetahui situasi sebenar adakah dia perlu membuat pendaftaran penukaran semula iaitu Siti binti Abdullah. Adakah berdosa sahabat saya itu dibintikan dengan Samsir sehingga akhir hayatnya.

b) Adakah adik-adiknya yang sesusu (saudara sesusu) dengan ibunya adalah mahram Marina.

c) Jika dia berkahwin siapakah walinya. Bolehkah saudara sesusunya menjadi wali.

JAWAPAN
Tafsiran ‘anak tak sah taraf’ dalam garis panduan terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerima pakai tafsiran yang diperuntukkan di dalam kebanyakan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri bahawa ‘anak tak sah taraf’ ialah seseorang anak yang dilahirkan di luar nikah iaitu sama ada akibat daripada zina atau dirogol atau anak yang dilahirkan kurang enam bulan dari tarikh akad nikah dan dia anak yang bukan daripada persetubuhan syubhah.

Dalam bab penamaan pula, garis panduan Jakim menyatakan; jika seseorang perempuan Melayu Islam bersekedudukan tanpa nikah, sama ada dengan lelaki Islam atau lelaki bukan Islam dan melahirkan anak, maka anak itu hendaklah dibin atau dibintikan Abdullah atau lain-lain nama “Asma al-Husna” berpangkalkan Abdul.

Seseorang anak tak sah taraf atau anak luar nikah tidak wajar dibin atau dibintikan kepada ibu anak tersebut kerana ini mungkin boleh menimbulkan masalah sosial dan kesan psikologi kepada kanak-kanak itu. Oleh yang demikian anak tersebut seelok-eloknya dibin atau dibintikan kepada Abdullah atau lain-lain nama “Asma al-Husna” berpangkalkan Abdul. (rujuk Garis Panduan Anak Tak Sah Taraf: Penamaan Pergaulan dan Hak-haknya, Jakim).

Berdasarkan pernyataan tadi, sekiranya saudari Siti yakin bahawa dia adalah anak tak sah taraf, maka perlulah dia membuat pertukaran nama ayahnya kepada Abdullah atau lain-lain nama “Asma al-Husna” berpangkalkan Abdul. Pemberitahuan ini sangat perlu kerana dikhuatiri akan berlaku masalah lebih besar di kemudian hari, terutama di ambang perkahwinan.

Mahram Siti ialah anak-anak ibunya dan saudara-mara sebelah ibunya sahaja. Adik-beradik sesusu dengan Marina juga termasuk mahramnya. Hak perwalian diri Marina sebenarnya terletak kepada ibunya. Walau bagaimanapun, wali perkahwinan seseorang anak tak sah taraf perempuan dipegang oleh wali hakim.

Ini kerana seseorang perempuan tidak sah menjadi wali di dalam apa jua perkahwinan. Adik beradik seibu dan sesusu Marina, ayah kepada Samsir dan saudara lelaki Samsir tidak boleh mewalikan Siti.

2. Apakah niat seorang anak menghadiahkan al-Fatihah atau ayat-ayat suci sama ada kepada arwah ibu atau bapa akan diterima Allah sedangkan mereka semasa hayatnya melakukan dosa. Adakah seksaan mereka diringankan sekiranya kita sebagai anak sentiasa mendoakan mereka di sana?

JAWAPAN
Menghadiahkan ayat-ayat suci kepada arwah ibu dan bapa diharuskan oleh syarak. Bahkan doa dan perbuatan baik si anak menjadi saham dan bekalan buat kedua ibu bapanya di alam kubur. Sabda Rasulullah s.a.w.: Apabila mati anak Adam, putuslah semua amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya. (Riwayat Bukhari, Tirmizi dan Nasaie)

Hadis ini menerangkan bahawa doa seorang anak memberi manfaat kepada kedua-dua ibu bapanya yang telah kembali selagi mereka mati di dalam iman. Doa anak yang soleh adalah berpanjangan dan tidak terputus. Anak soleh ibarat penyambung amal jariah setelah kematian orang tuanya.

Baginda s.a.w. menggalakkan umatnya supaya mengahwini perempuan-perempuan yang solehah, yang subur dan pandai mendidik anak-anaknya agar zuriat yang ditinggalkan akan menjadi penyambung amalan dan mendoakan mereka.

Bacaan al-Quran, doa-doa dan amalan soleh si anak dapat meringankan bebanan ibu bapa di akhirat dengan izin Allah. Penjelasan ini adalah bersandarkan beberapa firman Allah bermaksud: Ya Tuhan kami! Berilah keampunan kepadaku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (Hari Kiamat). (Ibrahim 14:41)

Dan orang-orang yang datang sesudah mereka itu akan berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman sebelum kami. (Al-Hasyr, 59:10)

Justeru, kepada mereka yang ketiadaan ibu atau bapa, adalah sangat digalakkan mendoakan dan membuat amal soleh untuk mereka. Ia tidak terhad kepada bacaan al-Quran bahkan ibadat-ibadat lain seperti sedekah dan haji.

Dari Aisyah berkata: Bahawasanya seorang lelaki datang kepada Nabi dan berkata: Wahai Rasulullah! Ibuku telah mati mendadak, sehingga dia tidak berkesempatan untuk berwasiat dan saya rasa andaikan ia mendapat kesempatan berkata tentu dia berwasiat (supaya bersedekah). Adakah ia mendapat pahala jika aku bersedekah untuknya? Baginda menjawab: “Ya”.

Kesimpulanya, syarak mengharuskan sesiapa sahaja yang mempunyai hubungan talian persaudaran untuk menyedekahkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Ini bermaksud setiap orang Islam yang telah meninggalkan kita lebih dahulu ke alam barzakh harus mendapat manfaat daripada yang masih hidup. Apatah lagi bila alam yang dihuni oleh para arwah adalah alam barzakh yang berbeza dengan alam duniawi.

Alam barzakh hanya menerima doa dan segala amalan yang berkaitan dengan pahala yang dapat disalurkan kepada ibu bapa dan sanak saudara yang beragama Islam.

Said al-Maghribi penyair dan ahli sejarah

IBNU Said al-Maghribi atau nama penuhnya, Abu al-Hasan Ali bin Muda bin Muhammad bin Abdul Malik bin Said al-Maghribi adalah seorang ahli geografi, sejarah dan ontologi. Namanya masyhur sebagai penyair Andalusia.

Beliau dilahirkan pada 610H/1231M berhampiran Granada dan berasal daripada sebuah keluarga keturunan Ammar bin Yassir. Keluarga tersebut semasa zaman Tawa’if membentuk keluarga diraja di Kal’a Banu Yahsuh.

Semasa muda, beliau banyak menetap di Seville. Pada 639H/1241M, Said al-Maghribi meninggalkan Sepanyol untuk melaksanakan ibadat haji bersama-sama ayahnya. Bagaimanapun, sewaktu dalam perjalanan, ayahnya meninggal dunia.

Di Kaherah, beliau menerima sambutan hangat daripada penduduk kota tersebut. Bukunya, Kitab al-Mughrih fi Hula al-Maghrib menaikkan namanya hingga dikenali ramai. Karya ini ternyata memendam sejarah yang cukup berkesan dan berliku-liku.

Pada 648H/1249M, Said al-Maghribi meninggalkan Mesir dan mengembara melalui Iraq dan Syria dengan tujuan mendapat lebih banyak maklumat dan pandangan ilmiah dalam menyelesaikan sebuah buku, Kitab al-Musyrik fi Hula al-Masyrik. Buku tersebut pada mulanya disusun oleh ayahnya. Tetapi, karya ini tidak pernah lengkap. Beberapa jilid antaranya dalam bentuk manuskrip dijumpai di Kaherah.

Sebagai ahli geografi, Said al-Maghribi banyak melakukan perjalanan-perjalanan yang jauh dan kemudiannya mengabadikan segala pengalamannya dalam buku. Setelah melalui Iraq dan Syria, untuk kedua kalinya beliau menunaikan fardu haji ke Mekah.

Hasil pengembaraan tersebut, beliau menulis buku bertajuk An-Nafha al-Miskiyyah fi ar-Rihla al-Makkiyyah. Ketika tiba di Tunisia pada 652H/1254M, Said al-Maghribi berkhidmat dengan Amir Muntasir. Pada 666H/1267M, beliau memulakan perjalanan menuju ke arah Timur hingga ke Iran.

Pada tahun-tahun menjelang akhir hayatnya, beliau kembali ke Tunisia sekitar 675H/1276M dan meninggal dunia 10 tahun kemudian.

Sepanjang tempoh pengembaraan yang cukup panjang itu, beliau turut menulis puisi yang berkaitan dengan pemikirannya dan nostalgia terhadap kampung halamannya di Andalusia. Namun, karya yang meningkatkan kemasyhuran namanya adalah sebuah ontologi berjudul Maghrib.

Antara karya terakhirnya yang masih ada dan dicetak ialah :

- Riwayat al-Mubarrizin wa Ghayat al-Mumayyizin. Ia telah diterjemahkan ke dalam bahasa Sepanyol oleh E.Garcia Gomez (Madrid, 1942) dan A.J. Arberry pula menterjemahkannya ke bahasa Inggeris (Cambridge, 1953).

- Unwan al-Murkisat wa al-Mutribat (edisi Kaherah, 1286M). Ini merupakan sebahagian daripada karya utamanya yang telah disunting dan diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis oleh A.Mahdad (Algiers, 1949).

- Al-Ghusun al-Yani’a fi Mahasin Syu’ara’ al-Mi’a as-Sabi’a yang disunting oleh Ibrahim Ibyari (Kaherah, 1955).

- Mukhtasar Jughrafiyah, disunting dan diterjemahkan sebahagiannya ke bahasa Sepanyol oleh J.Vernet pada 1953. Ia juga diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis oleh G.Potiran.

Kebanyakan karyanya mencakupi riwayat hidup para sarjana pada zamannya. Ia menyingkap tentang keluarga, perjalanannya ke Mekah, tentang geografi dan sebagainya. Pengalamannya digunakan oleh cendekiawan seterusnya iaitu al-Makkari atau al-Fida’ dan sebagainya.

Pengajaran Israk, Mikraj

Oleh ZULKIFLEE BAKAR


SETIAP tahun pada bulan Rejab, umat Islam di seluruh dunia akan mengingati peristiwa bersejarah yang berlaku pada bulan berkenaan iaitu Israk dan Mikraj.

Seperti biasa pelbagai atur cara diadakan bagi memperingati peristiwa bersejarah itu yang dianggap mengandungi rahsia dan hikmah dalam usaha kita menjadi hamba Allah yang bertakwa.

Pengertian Israk bermaksud perjalanan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dengan menunggang ‘Buraq’ iaitu makhluk syurga, dari Masjidilharam di Mekah menuju ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis pada satu malam.

Peristiwa itu telah dijelaskan oleh Allah melalui firman-Nya dalam surah al-Isra’ ayat 1 yang bermaksud: Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada satu malam dari Masjidilaqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dialah Maha Mendengar Lagi Maha Melihat.

Mikraj pula bererti Baginda dinaikkan ke langit dari Baitulmaqdis menuju beberapa tingkat hingga langit yang ketujuh terus ke Sidratulmuntaha dan al-Mustawa.

Sepanjang perjalanan bersejarah itu, Allah s.w.t telah memperlihatkan kepada Rasulullah pelbagai peristiwa dan kejadian yang boleh dijadikan iktibar oleh umat Islam dalam mencari keredhaan-Nya.

Persoalannya sejauh manakah apa yang dipaparkan dalam peristiwa Israk dan Mikraj dijadikan iktibar oleh kita.

Renung, lihat dan kajilah bagaimana pembalasan yang diterima oleh manusia di akhirat terhadap perbuatan mereka seperti mana dilihat oleh Rasulullah masih berleluasa pada masa ini.

Dalam perjalanan itu, Baginda melihat sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka.

Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula, perbuatan itu dilakukan berulang kali.

Jibril memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

Atas sebab itulah Baginda pernah bersabda bahawa solat adalah tiang agama dan asas kepada ibadah lain, oleh itu sesiapa yang meninggalkannya dianggap melakukan dosa besar.

Solat

Tetapi berapa ramai di antara kita masih menganggap remeh soal solat ini, bukan sahaja ada antara kita jarang melakukannya malah ada antaranya langsung tidak pernah meringan tubuh untuk sujud kepada Allah Yang Maha Esa yang mengizinkannya bernafas di alam fana ini.

Sembahyang merupakan ibadat yang paling penting dan utama, malahan sembahyang merupakan ibadat yang mula-mula sekali dihisab di akhirat nanti.

Firman Allah dalam Surah al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud: Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar keutamaannya daripada ibadat-ibadat lain dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Begitu juga apabila Rasulullah diperlihatkan mengenai satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali.

Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibril: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

Satu kaum pula dilihat mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibril: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

Cuba kita perhatikan di sekeliling kita, tidakkah perbuatan memfitnah, caci mencaci, mengumpat dan menjatuhkan maruah orang lain masih berleluasa.

Malah fitnah dan mengumpat seolah-olah dianggap sudah sebati dengan sesetengah insan tanpa mereka mempedulikan balasan di akhirat kelak.

Golongan seumpama ini seolah-olah tidak pernah merasa berdosa atau bersalah apabila mereka mengumpat atau mengatakan mengenai hamba Allah yang lain.

Malah Rasulullah juga menyaksikan seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibril: Itulah orang yang bercakap besar (takbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

Sikap ini juga masih kita lihat dalam kalangan anggota masyarakat kita. Mereka ini bercakap tanpa memikirkan kesannya.

Apabila ada sesuatu isu mereka inilah kononnya akan ke hadapan menjadi wira atau pembela tanpa menyedari bahawa ada kalanya mereka dilihat terlalu takbur dengan kuasa dan kedudukan yang dimiliki.

Hakikatnya terlalu banyak peristiwa yang dipaparkan dalam Israk dan Mikraj supaya ia menjadi teladan kepada manusia untuk menjadi insan yang bertakwa.

Ini kerana dalam peristiwa itu juga Rasulullah melihat seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti.

Rasulullah tidak menghiraukannya. Kata Jibril: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sehingga tua.

Malah Israk dan Mikraj juga memaparkan ganjaran yang akan diterima oleh hamba Allah yang bertakwa ini termasuklah balasan kepada mereka yang berjihad di jalan Allah.

Sesungguhnya bagi mereka yang beriman dan beramal soleh, peristiwa berkenaan akan menimbulkan rasa keinsafan dan kesedaran serta menjauhkan mereka daripada perkara-perkara yang mungkar.

Bertaubat

Tetapi bagi sesetengah pula ia mungkin dianggap hanya satu sejarah atau sekadar peristiwa yang sama sekali tidak mahu difikirkan oleh mereka untuk bertaubat dan kembali ke jalan-Nya.

Namun begitu apa pun keadaannya selagi nyawa dikandung badan selagi itulah Allah membuka pintu taubat kepada hamba-Nya.

Rasulullah s.a.w bersabda, Sesungguhnya Allah menerima taubat hambaNya selama nyawa belum sampai di kerongkongan.

Justeru jadikanlah sambutan Israk dan Mikraj ini sebagai landasan untuk kita bermuhasabah bagi membolehkan kita menjadi hamba-Nya yang mampu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Jangan berpuas hati dengan ibadah yang kita lakukan setakat ini dan janganlah pula terus lalai dengan kemewahan di dunia sehingga kita terlupa beribadah kepada-Nya.

Peringati Israk, Mikraj untuk teguhkan iman

Oleh A. MOHD. RAHIMIN SIHAT


SEBAGAI Muslim, marilah kita menyingkap kembali perkara-perkara yang berlaku dalam kehidupan awal Baginda Rasulullah s.a.w. Kita melihat bahawa usaha baginda untuk menyebarkan panji-panji keimanan telah mendapat tentangan hebat kaum Quraisy.

Namun, Baginda masih lagi dapat meneruskan perjuangannya, dengan bantuan Allah dan dengan dorongan dan sokongan isteri tercinta, Saidatina Khadijah dan bapa saudara Baginda, Abu Talib yang telah banyak memberikan perlindungan kepada Rasulullah daripada ancaman kaum Quraisy.

Namun demikian, Allah telah menentukan pada tahun ke-11 dari kerasulan Baginda bahawa itulah tahun pemergian kedua-dua insan istimewa ini. Isteri Baginda wafat pada tahun tersebut, diikuti pemergian Abu Talib.

Rasulullah hilang sumber sokongan dan dorongan sehingga Baginda begitu sedih bahkan tahun itu disebut sebagai Aamul Huzn atau tahun sedih.

Pergerakan dakwah di Mekah semakin sukar dan Rasulullah berusaha ke Taif, namun di situ Baginda juga mendapat tentangan yang lebih hebat, di mana Rasulullah dicaci dan dihina.

Dengan dirundung kesedihan dan kehampaan, maka Allah dengan segala kebijaksanaannya mengatur langkah dan strategi untuk menghiburkan hati Nabi Muhammad dan mengukuhkan keimanan Baginda. Langkah tersebut adalah dengan penganugerahan perjalanan Israk dan Mikraj pada satu malam.

Peristiwa Israk dan Mikraj ini berlaku mengikut beberapa riwayat pada malam 27 Rejab tahun ke-11 kerasulan Baginda.

Peristiwa ini bersabit dengan firman Allah dalam Surah Al-Isra’ ayat yang pertama:

Maksudnya: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Dalam perjalanan yang begitu istimewa ini, terlalu banyak yang dilihat oleh Baginda Rasulullah dan begitu banyak pelajaran yang dapat kita peroleh.

Di antara pelajaran-pelajaran yang harus kita renungkan bersama adalah:

1. Manusia harus sentiasa memerhatikan hubungannya dengan Allah, dan sentiasa menilai kembali dan berusaha memperelokkan hubungan tersebut. Hubungan dengan Allah ini mestilah wujud tatkala ditimpa kesusahan dan ujian mahupun di kala mendapat kesenangan dan kemudahan.

Ini kerana hanya Allah sahajalah yang berkuasa dan mampu memberikan pertolongan, menghilangkan segala kesedihan, dukacita dan kesusahan pada diri kita.

Caranya ialah kita sentiasa beristiqamah, terus menerus melaksanakan semua perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya dan bukan menjadi orang yang taat hanya pada waktu susah dan melupakan Allah pada waktu senang.

2. Kehidupan kita yang ingin berjuang untuk kebaikan pasti akan dipenuhi dengan cabaran dan dugaan. Ia tidak akan sentiasa mudah tetapi kita akan berhadapan dengan kesusahan terlebih dahulu.

Namun, semua yang berlaku itu demi untuk mengukur dan menilai keimanan kita di dalam hati.

Adakah kita sanggup menghadapinya dengan penuh ketabahan dan kesabaran atau kita tergolong dalam golongan yang mudah berputus harapan?

Firman Allah dalam Surah al-Insyirah ayat 5 & 6, ertinya: Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu bahawa) sesungguhnya tiap-tiap kesukaran ada disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran ada disertai kemudahan.

Seperti yang ditunjukkan Allah kepada Nabi-Nya yang tercinta, bahawa Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya yang ikhlas dan benar berjuang keseorangan. Ia akan dibantu Allah. Ia akan diberikan kegembiraan oleh Allah. Bahkan Allah akan mengangkat darjat dan kedudukannya.

3. Menjauhi perkara mungkar dan maksiat. Semasa peristiwa Israk dan Mikraj, baginda Rasulullah telah ditunjukkan keadaan neraka dan ahlinya.

Baginda melihat berbagai bentuk penyeksaan dahsyat yang sedang dialami oleh berbagai kaum sebagai akibat daripada segala macam bentuk kejahatan yang pernah mereka lakukan.

Misalnya Nabi diperlihatkan kepada satu kaum yang memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu besar, setelah pecah ia kembali seperti sediakala.

Nabi juga melihat seksaan bagi pemakan riba, penzina, pengumpat, yang suka memfitnah dan lain-lain lagi.

Ini semua memberi iktibar kepada kita yang hidup di dunia ini agar tidak melakukan segala perbuatan yang mungkar dan tercela, tidak kira apa bentuknya sekalipun kerana seksaan yang disediakan Allah amatlah dahsyat.

4. Perintah solat merupakan suatu bentuk ibadah yang begitu penting di dalam kehidupan seseorang hamba Allah. Kewajipan solat begitu istimewa dibandingkan dengan kewajipan yang lain seperti puasa, zakat dan haji.

Ini kerana kewajipan solat diterima langsung oleh Nabi daripada Allah sewaktu bertemu Allah pada malam Mikraj tanpa perantaraan malaikat Jibril. Ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan solat berbanding ibadah-ibadah lain, dan solat juga amalan yang paling awal dihisab di akhirat kelak.

Dengan solat, kita berpeluang untuk berhubung langsung dengan Allah, sebagaimana yang dijelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud: Sesungguhnnya Akulah Allah tidak ada Tuhan selain Ku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Ku.

Oleh yang demikian, mestilah kita mendatangi ibadah ini dengan penuh perhatian dan khusyuk, bermula daripada mengambil wuduk lagi, dan bukan menunaikannya dengan sambil lewa dan hanya kerana ia wajib dilaksanakan.

5. Mengakui dan tunduk kepada kebesaran Allah sebagai pencipta agar keyakinan terhadap kekuasaan-Nya benar-benar bersemi di jiwa manusia. Ini kerana sewaktu Israk dan Mikraj, Allah memperlihatkan kepada Nabi keagungan dan berbagai keajaiban ciptaan-Nya seperti Sidratul Muntaha, syurga dan lain-lain lagi.

6. Anjuran memberi salam. Di sepanjang perjalanan Mikraj, Nabi tidak pernah lupa mengucapkan salam kepada rasul-rasul lain yang baginda temui.

Ini mengingatkan kita kepada keutamaan memberi salam dan galakan supaya selalu memberi salam kepada saudara sesama Islam untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara kita.

7. Mengingatkan usia dunia yang sudah tua yang mana dibayangkan melalui pertemuan Nabi dengan seorang nenek tua. Ia memberi gambaran kepada kita yang umur dunia sudah lanjut dan hampir kepada penghujungnya.

Hakikat ini memperingatkan setiap Muslim bahawa segala kemewahan dan kesenangan dunia hanyalah bersifat sementara.

Hanya ketakwaan dan amal soleh menjadi bekalan untuk ke akhirat.

8. Berwaspada dengan rayuan dan tipu daya iblis, kerana sewaktu Israk, pada awal perjalanan lagi jin Afrit telah mengejar Baginda dengan membawa obor untuk menghalang perjalanan Nabi dan berusaha memperdayakan baginda.

Peristiwa ini memperingatkan kita bahawa syaitan dan iblis tidak akan jemu-jemu untuk menyesat dan memperdayakan umat manusia dengan pelbagai cara. Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan mukjizat teragung yang dianugerahkan khas oleh Allah kepada Rasulullah.

Justeru pelbagai pengajaran di dalamnya hendaklah direnung dan dihayati supaya ia dapat membantu memberikan nilai tambah dalam kehidupan, baik dalam usaha meningkatkan ketakwaan dan prestasi ibadah kepada Allah mahupun untuk peningkatan ilmu pengetahuan, terutama dalam menghadapi cabaran era globalisasi masa kini.

Jin tidak boleh ditangkap

Oleh ABDULLAH BUKHARI ABDUL HALIM

SEHARUSNYA umat Islam lebih berhati-hati apabila menerima setiap perkhabaran apatah lagi berkaitan jin dan syaitan.

Ini kerana kedua-duanya merupakan makhluk ghaib yang hanya dapat diketahui melalui perantaraan wahyu Allah iaitu al-Quran dan al-Sunah.

Sekadar pertanyaan, adakah manusia benar-benar mampu menangkap atau mengunci jin yang melakukan kekacauan lalu dimasukkan ke dalam botol untuk tujuan pameran?

Seharusnya kita semua meneliti firman Allah yang bermaksud: Dia (Nabi Sulaiman) berkata: Wahai Tuhanku ampunkanlah dosaku dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan (kekuasaan) yang tidak akan dapat dimiliki oleh seorang juapun sesudahku.

‘‘Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Memberi Anugerah. Maka kami tundukkan kepadanya angin yang berhembus dengan baik menurut ke mana sahaja yang dikehendakinya dan kami (tundukkan kepadanya) syaitan-syaitan semuanya (yang terdiri daripada) ahli pembina bangunan dan penyelam, dan syaitan yang lain (yang ingkar) yang terikat di dalam belenggu. (Surah Sad: 35-38).

Ayat tersebut menjelaskan bahawa kelebihan mengawal angin, mengawal, menangkap atau membelenggu jin-jin yang derhaka hanyalah mukjizat istimewa untuk Nabi Sulaiman.

Ia tidak mampu dimiliki orang lain walaupun Nabi Muhammad.

Ia dijelaskan oleh Imam al-Bukhari dengan hadis yang mentafsirkan ayat di atas, maksudnya: Rasulullah bersabda: Sesungguhnya jin Ifrit telah mengganggu solatku semalam akan tetapi Allah telah membantuku mengalahkannya.

Lalu aku ingin mengikatnya di salah satu tiang daripada tiang-tiang masjid supaya di waktu paginya kamu semua akan dapat melihat kepadanya.

Maka aku teringat akan doa saudaraku Sulaiman: Wahai Tuhanku ampunkanlah dosaku dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak akan dapat dimiliki oleh seorang jua pun sesudahku. (Lihat al-Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, Kitab Tafsir al-Quran, surah ke-38).

Wednesday, August 16, 2006

Umat Islam umat pilihan

Oleh Dr. Zulkifli Mohamad Albakri

Ibn Jauzi berkata, ayat ini diturunkan kerana golongan Yahudi berkata: Kiblat kita merupakan kiblat nabi-nabi, dan kami paling adil dalam kalangan manusia, lantas Allah menurunkan ayat ini.

Imam al-Baghawi pula berkata: Diturunkan kepada pemimpin Yahudi yang berkata kepada Mu`az bin Jabal, Muhammad tidaklah meninggalkan kiblat kami kecuali semata-mata hasad dengki dan sesungguhnya kiblat kami adalah kiblat para nabi dan Muhammad telah mengetahui aku adalah dalam kalangan yang paling adil dalam kalangan manusia, maka lantas dijawab oleh Muaz: Aku di atas kebenaran dan keadilan lantas turunnya ayat ini.

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah), dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang akan menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah kami jadikan kiblat yang mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta siapa pula yang berpaling tadah (kembali kepada kekufuran). Dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat ( untuk diterima ) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah. Dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Nya kepada orang-orang (yang beriman). (al-Baqarah: 143)

Firman Allah s.w.t.: Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil, al-Samarqandi berkata: Maksud al-Wasat ialah yang terbaik dalam kalangan mereka dan yang paling adil. Sayid Qutb berkata: Iaitu umat Muslimin adalah umat yang adil yang menjadi saksi terhadap seluruh umat manusia dan menegakkan keadilan antara mereka, menetapkan neraca-neraca pertimbangan dan nilai-nilai. Memberi fikiran dan pandangan yang muktamad kepada mereka, menimbangkan nilai-nilai, pemikiran, kefahaman, adat-adat resam dan lambang-lambang mereka dan memberi keputusan-keputusan kepada mereka dengan mengatakan ini benar dan itu tidak benar. Bukannya fikiran-fikiran, nilai-nilai, neraca-neraca dan ukuran-ukuran yang diterima daripada manusia. Mereka menjadi saksi terhadap seluruh umat manusia dan mempunyai kedudukan sebagai hakim yang adil kepada mereka.

Dalam pada itu, umat Muslimin menjadi saksi terhadap umat manusia, maka Rasulullah s.a.w. pula menjadi saksi terhadap mereka, beliaulah yang menetapkan neraca-neraca, ukuran-ukuran dan nilai-nilai mereka dan beliaulah yang menilai amalan-amalan dan adat resam mereka dan menimbangkan segala perbuatan mereka yang terbit dari mereka dengan memberi kata-kata pemutus terhadapnya.

Dengan ini, hakikat dan fungsi umat Muslimin sentiasa diperbaharui agar hakikat dan fungsi ini diketahui mereka. Ia juga agar mereka sedar betapa besarnya tugas mereka, dan seterusnya agar mereka dapat menilai peranan mereka dengan penilaian sebenar dan membuat persediaan yang wajar untuknya.

Umat Muslimin adalah umat yang adil dalam segala erti keadilan sama ada keadilan dengan erti kebaikan dan kelebihan dan dengan erti kesederhanaan atau dengan erti fizikal iaitu duduk di tengah-tengah.

Mereka adalah satu umat yang adil dari segi kefahaman dan kepercayaan. Mereka tidak melampau-lampau dalam kemurnian rohaniah dan tidak pula melampau di dalam kejatuhan kebendaan, mereka mengikut fitrah semula jadi yang diwakili oleh roh yang disalut dengan jasad atau oleh jasad yang disalut oleh roh. Mereka memberi kepada diri mereka yang mempunyai dua tenaga itu haknya yang sempurna dengan bekalan masing-masing.

Mereka bekerja untuk memaju dan meningkatkan hayat dan kelanjutannya. Mereka melepaskan segala kegiatan di alam perasaan dan keinginan tanpa keterlaluan, malah secara sederhana dan selaras.

Mereka adalah satu umat yang adil dari segi pemikiran dan perasaan. Mereka tidak membeku dengan pengetahuan yang diketahui mereka dan menutup segala pintu ujian dan ilmu pengetahuan yang lain. Mereka tidak terikut-ikut kepada setiap penyeru dan meniru orang lain seperti beruk yang lucu malah mereka berpegang teguh dengan kefahaman-kefahaman, cara-cara dan dasar-dasar berfikir yang ada pada mereka. Mereka mengkaji dengan teliti segala hasil pemikiran dan ujian. Cogan kata mereka yang kekal ialah ‘hakikat itu barang hilang orang mukmin, di mana sahaja mereka temui hakikat itu mereka akan mengambilnya dengan penuh keyakinan.’

Mereka adalah satu umat yang adil dari segi penyusunan dan penyelarasan. Mereka tidak membiarkan seluruh hidup ini kepada perasaan dan hati manusia sahaja dan tidak pula membiarkannya kepada kuasa undang-undang dan hukuman sahaja malah mereka meningkatkan hati nurani manusia dengan bimbingan dan pendidikan dan menjaga kesejahteraan masyarakat dengan undang-undang.

Mereka tidak menyerahkan manusia kepada kekuasaan dan hukuman pemerintah dan tidak pula menyerah mereka kepada ilham hati nurani semata-mata malah mereka mencampurkan di antara kedua-duanya supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang akan menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) supaya Muhammad menjadi saksi kepada sekalian ummah pada Hari Kiamat.

Imam al-Nasafi menaqalkan pendapat Sheikh Abu Mansur yang berkata: Ayat ini menunjukkan ijma' (iaitu kesepakatan ulama dalam kalangan umat Muhammad dalam perkara agama pada salah satu masa selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.) sebagai hujah kerana Allah sifatkan umat ini dengan keadilan dan orang yang adil sahaja yang berhak untuk menjadi saksi dan diterimanya apabila mereka bersepakat atas sesuatu dan menjadi saksi dengannya, maka wajiblah diterimanya. Terdapat tiga pandangan tentang penyaksian.

i. Dengan amalan mereka. Inilah pendapat Ibn `Abbas, Abu Sa`id al-Khudri dan Ibn Zaid.

ii. Dengan menyampaikan risalah mereka. Inilah pendapat Qatadah dan Muqatil.

iii. Dengan iman mereka. Inilah pendapat Abu al-`Aliyah.

Dan tiadalah kami jadikan kiblat yang mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), iaitu sekali-kali kami tidak perintah kamu tawajjuh dengan Bait al-Maqdis, kemudian Kami palingkan kamu ke Kaabah.

Melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta siapa pula yang berpaling tadah (kembali kepada kekufuran). Ini semata-mata kerana ujian.

Dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah. Iman di sini dengan makna solat.

Dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Nya kepada orang-orang (yang beriman). Sebagai sebab bagi hukum yang Allah taala amat besar rahmatnya kepada hambanya apabila mereka melakukan amalan soleh. Sebab turunnya ayat ini ialah kerana orang-orang Islam bertanya: Hai Rasulullah! Apa pandanganmu terhadap sahabat kita yang meninggal dunia sedangkan mereka hanya solat ke Bait al-Maqdis? Lantas turunnya ayat ini. Dimaksudkan iman di sini ialah solat mengikut pendapat ramai ahli tafsir, kerana ia mengandungi ucapan niat dan amal.

Antara pengajaran ayat:

i. Allah sentiasa menguji hamba-Nya supaya dapat dibezakan antara yang mengikut Rasul atau sebaliknya.

ii. Kiblat merupakan milik Allah justeru kita sewajarnya mengikut apa yang diperintahkan, seperti menghadap ke Baitullah ketika solat. Antara sebab memilih kiblat ke arah Masjid al-Aqsa dalam tempoh yang tertentu ialah untuk membersihkan jiwa dari keladak jahiliah dan segala sesuatu yang ada hubungan dengan jahiliah seterusnya dapat mengikut Rasulullah tanpa sebarang tujuan kecuali dengan penuh taat, patuh, yakin, reda dan menyerah diri.

iii. Kalimah umat wasatan antara lain memberi maksud sebaik-baik perkara adalah pertengahan. Lebih dari yang dituntut adalah melampau dan kurang daripadanya merupakan kecuaian. Kedua-duanya adalah keji dan hina. Inilah juga yang ditegaskan oleh Ibn Jarir al-Tabari supaya umat Islam sentiasa bersikap wasatan dalam agamanya.

Jihad bukti kesungguhan, keteguhan iman

JIHAD adalah satu istilah yang cukup mulia dan agung dalam Islam. Allah dan rasul-Nya sering menghubungkaitkan kalimah jihad dengan istilah iman dan hijrah. Dalam erti kata lain, salah satu petunjuk utama kekuatan iman seseorang terletak pada kesediaannya untuk berjihad dan berhijrah meninggalkan segala perbuatan yang dilarang Allah.


Sehubungan itu, Allah berfirman bermaksud: ?Sesungguhnya orang yang beriman dan orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihiani.? (Surah al-Baqarah, ayat 218)

Rasulullah SAW juga pernah bersabda bermaksud: ?Sesiapa yang meninggal tanpa berjuang dan tidak pernah bercita-cita untuk berjuang, maka dia mati dalam sifat kemunafikan.? (Hadis riwayat Muslim)

Jelas di sini bahawa jihad amat penting dalam kehidupan seorang Muslim yang beriman kepada Allah. Lebih-lebih lagi, ada lebih 70 ayat yang membicarakan mengenai jihad pada jalan Allah. Ini adalah petanda yang mengisyaratkan kepentingan jihad dan keutamaannya di sisi Islam sebagai salah satu paksi utama yang menegakkan Islam. Dengan jihad, tiang agama Allah dapat ditegakkan.

Jihad dari sudut etimologi syariah bermaksud berjuang dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mempersembahkan yang terbaik ketika melaksanakan perintah Allah demi mencapai sesuatu matlamat yang disasarkan dan untuk menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini. Berdasarkan definisi itu, jihad amat memerlukan pengorbanan sebagai bukti kepada keteguhan imannya dan kesungguhannya untuk merealisasikan cita-cita Islam.

Jihad dalam bidang ekonomi, misalnya, melaksanakan segala kegiatan ekonomi seperti pengeluaran produk baru, pengedaran dan jual beli yang bebas daripada unsur penipuan. Ia juga bermaksud bebas daripada riba, perlakuan zalim serta memanfaatkan institusi zakat dan wakaf sebagai saluran utama untuk memaksimumkan pelaksanaan zakat, infaq, sedekah dan wakaf ke arah menjana ekonomi umat Islam.

Jihad dalam bidang pendidikan pula menuntut kesungguhan untuk membina generasi ulul albab yang memiliki minda kelas pertama, berakhlak mulia dan berupaya memberikan sumbangan yang bermakna kepada agama, bangsa dan negara. Demikianlah pula jihad dalam bidang lain yang mampu memartabatkan kembali umat Islam sebagai umat terbaik.

Malah, berbuat baik kepada ibu bapa juga dinilai oleh Rasulullah sebagai salah satu jenis jihad yang amat dituntut kepada umatnya.

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, Ketua Program Ijazah Sekolah Pengajian Islam Universiti Darul Iman Malaysia, kampus Kusza Gong Badak, Terengganu.

Uthman takluk jajahan Rom, Parsi, Turki

Kisah Sahabat

KEPERIBADIAN dan Perjalanan Hidup Saidina Uthman adalah seorang yang bertakwa, warak dan menghabiskan waktu malam dengan beribadat seperti mengaji al-Quran manakala setiap tahun menunaikan ibadat haji.


Bila sedang berzikir air matnya mengalir. Dia selalu bersegera dalam segala amal kebajikan dan kepentingan umat. Dia juga dermawan dan penuh belas kasih. Dia melakukan hijrah sebanyak dua kali, pertama ke Habsyah dan yang kedua ke Madinah.

Laknat dan kutukan Allah bagi siapa saja yang membenci Uthman.

# Uthman dan perluasan Dakwah Islamiah

Pada masa khalifah Uthman perluasan wilayah dakwah Islamiah mengalami zaman keemasan. Pada tahun ke 24 Hijrah, Uthman mengirim pasukan tentera yang berada di bawah pimpinan Al-Walid bin Aqobah menuju Azerbaijan dan Armenia kerana kedua negeri itu membatalkan perjanjian yang dibuat dengan kaum muslimin pada masa khalifah Umar. Penduduk Azerbaijan dan Armenia yakin mereka akan dikalahkan pasukan tentera Uthman. Oleh itu, mereka kembali sepakat akan memenuhi perjanjian yang dibuat oleh Huzaifah Ibnul Yaman sehingga tentera kaum muslimin pulang tanpa melakukan pertempuran.

Pada 25 Hijrah penduduk Iskandariah membatalkan perjanjian kerana mereka dijanjikan mendapat bantuan daripada kerajaan Romawi. Namun, negeri ini segera tunduk dan kembali dikuasai dengan damai oleh kaum muslimin selepas pasukannya menyerbu negeri ini.

Pada tahun 26 Hijrah panglima tentera muslimin yang terdiri daripada 3,300 orang di bawah pimpinan. Uthman bin Abil Aash dapat menguasai Sabur dengan damai. Lalu pada 27 Hijrah. Uthman menguasakan Abdullah bin Saad bin Abbi Abi Sarah (Gabenor Mesir menggantikan Amru Ibnul Aash) untuk menyerbu Afrika. Tentera muslimin seramai 20,000 orang (termasuk Abdullah bin Umar dan Abdullah Ibjnu Azzubair) berhadapan dengan kaum Barbar seramai 120,000 orang. Mereka di bawah pimpinan rajanya sendiri, yang bernama Jarjir.

Abdullah Ibnu Azzubair berhadapan dengan Jarjir. Dalam peperangan itu, Jarjir dipenggal kepalanya oleh Azzubair dan dibawa dengan hujung tombak daam suatu pertempuran dahsyat di suatu tempat yang bernama Sabithalah (dekat kairawah). Selepas itu mereka menuju Andalusia (Sepanyol).

Pada 28 Hijrah tentera muslimin berada di bawah pimpinan Mu?awiyah bin Abi Sufyan dapat menguasai Pulau Siprus. Pada 29 Hijrah tentera muslimin yang berada di bawah pimpinan Abdullah bin Amir menguasai seluruh wilayah Parsi. Pada 30 Hijrah tentera muslimin yang dipimpin Said Ibnul Aash menguasai Tibristan dan pada 31 Hijrah terjadi peperangan Dzatish-Shawari yang terkenal dahsyat. Pada 32 Hijrah, Muawiyah bin Abi Sufyan menyerbu wilayah jajahan Romawi sampai ke Konstantinopel.

Pada tahun sama tentera yang dipimpin Ibnu Aamir menguasai Marwarrauz, Thaliqon, Fariab, Jauzjan dan Thakharstan.

Ahli sejarah menganggap masa Uthman sebagai zaman kemenangan kaum muslimin dan zaman penaklukan kekuatan Romawi, Parsi dan Turki.

# Fitnah Besar dan terbunuhnya Uthman

Pada akhir tahun 34 Hijrah, daulah Islam mulai dilanda fitnah yang menjadi sasarannya adalah Uthman sampai mengakibatkan beliau terbunuh pada tahun berikutnya.

Fitnah keji datang dari Mesir, iaitu tuduhan palsu dibawa oleh orang yang datang hendak mengerjakan umrah pada bulan Rejab.

Ali bin Abi Thalib mati-matian membela Uthman dan menyangkal tuduhan mereka. Ali juga menanyakan keluhan dan tuduhan mereka, tetapi mereka menjawab, ?Uthman membakar mushaf, solat penuh (tidak qasar) di Makkah, mengkhususkan sumber air untuk kepentingan dirinya sendiri dan mengangkat pegawai daripada golongan muda. Ia juga mengutamakan segala kepentingan untuk Bani Umayyah (golongannya) melebihi orang lain.?

Pada Jumaat, Uthman berkhutbah dan mengangkat tangannya seraya berkata, ?Ya, Allah aku beristighfar dan bertaubat kepada-Mu. Aku bertaubat atas perbuatanku.? Saidina Ali menjawab, ?Mushaf yang dibakar ialah mengandungi perselisihan dan yang ada sekarang ini adalah disepakati bersama kesahannya. Adapun solat penuh (qasar) yang dilakukannya di Makkah adalah kerana dia berkeluarga di Makkah dan dia berniat tinggal di sana.

Oleh kerana itulah solatnya tidak di qasar. Sumber air yang dikhususkan itu adalah untuk ternak sedekah sampai mereka besar, bukan untuk ternak unta dan kambing miliknya sendiri. Umar juga pernah melakukan ini sebelumnya.

Uthman mengangkat pegawai daripada golongan muda kerana orang itu memang sudah sepantas jika dilihat daripada kemampuan dan sifat yang dimilikinya.

Kemudian Ali menyarankan kepada Uthman agar ia berbicara di hadapan rakyat untuk meminta maaf atas perbuatannya dalam mengutamakan kedudukan bagi keluarganya dengan mengemukakan alasan.

Uthman menangis tersedu-sedu sehingga seluruh yang hadir pun ikut menangis. Sesudah itu rakyat sangat bersimpati kepada imam mereka, Uthman berjanji akan memperbaiki kesalahan yang lalu. Setelah itu dia turun dari mimbar dan memimpin solat, lalu dia pun pulang.

Rakyat pulang dengan rasa puas, tetapi peniup api fitnah terus melangsungkan rencana jahatnya. Antara mereka ada yang menyebarkan tulisan dengan tandatangan palsu daripada sahabat terkemuka yang menjelekkan Uthman. Mereka juga menuntut Uthman supaya dibunuh.

Uthman masih tetap mengimamkan solat dan ketika sedang berkhutbah Jumaat, dia dipaksa turun dari atas mimbar. Lalu dia dianiaya sampai beberapa tulangnya patah dan kepalanya retak, maka dia segera diangkat ke rumahnya.

Keadaan semakin parah dan Uthman dikepung di rumahnya lebih dari sebulan. Dia hanya boleh berdiam diri di rumah dan tidak pergi ke masjid.

Pada suatu hari golongan pembangkang dan penderhaka menyerbu rumahnya lalu membunuhnya. Mereka tidak menaruh sedikitpun belas kasihan kepada Uthman.

Uthman memangku jawatan khalifah selama 11 tahun 11 bulan dan 14 hari. Ia meninggalkan seramai 16 orang anak iaitu sembilan lelaki dan tujuh perempuan.

Pendekatan ibu bapa didik anak pengaruhi pembentukan peribadi

Bersama Prof Dr Sidek Baba

Kemahiran urus masalah, tekanan wajar jadi unsur ketrampilan utama


KAEDAH membimbing dan mendidik adalah sesuatu yang amat fitrah dalam binaan watak dan peribadi anak. Mereka belajar daripada tidak tahu kepada tahu. Anak mengenal sesuatu daripada yang dekat kepada yang jauh, daripada yang konkrit kepada yang abstrak.

Mereka mengalami pertumbuhan minda, perkembangan emosi dan aktif jasmani. Potensi ini perlu dibimbing supaya ia subur dalam keadaan seimbang.

Pembimbing tentu orang yang lebih dewasa, tahu dan berpengalaman mengenai sesuatu. Pembimbing awal anak ialah ibu bapa. Mereka yang mempunyai ilmu dan pengalaman keibubapaan yang tinggi bakal membimbing anaknya dengan baik.

Kualiti keibubapaan mesti ada untuk menjadi pembimbing yang baik. Ibu bapa mesti berilmu dan peka terhadap perubahan.

Kaedah membimbing mengambil pendekatan psikologi yang serasi dengan jiwa anak. Ia mesti bermula sejak dari perut ibu, anak lahir ke dunia, sehingga akil baligh adalah tempoh kritikal bagi membimbing anak. Tempoh ini anak menempuh proses bimbingan awal yang memerlukan perhatian, jagaan rapi, belaian dan kasih sayang serta tunjuk ajar yang membina. Pada waktu ini juga memberikan input asas kepada anak kerana naluri ingin tahunya berkembang, perasaan mencuba tinggi, rasa ingin dibelai dan disayangi subur serta kecenderungan mencontohi selalunya aktif.

Oleh itu, memberi bimbingan terhadap bahasa badan menerusi agahan dan bisikan positif, timangan, pelukan dan kelekan erat adalah corak bimbingan yang amat berkesan membina kasih sayang dan rasa kepercayaan. Anak kemudiannya memerlukan bimbingan untuk bersuara, bercakap, mengenal sesuatu, berkomunikasi dan bersosialisasi secara sihat.

Pembimbing harus tahu mengenai proses bertatih, mencuba, jatuh dan bangun. Mereka juga perlu tahu kaedah menghargai kejayaan anak dan memberi ?pembetulan? mendidik apabila berlaku kesilapan. Hal ini supaya bimbingan yang diberi membolehkan proses pembelajaran anak berlaku secara bersahaja dan fitrah. Anak jangan dipaksa melakukan sesuatu kerana paksaan bukan jalan bimbingan.

Anak perlu diberi peluang melakukan sesuatu, kesilapannya diperbetulkan dengan bijaksana, kejayaannya walaupun sedikit dihargai dengan rangsangan yang baik. Bakatnya terus digilap supaya nilai positif sentiasa menjadi pedoman dalam perubahan dirinya.

Pendekatan psikologi bukan bermakna kita memberikan rasa mua dan manja sehingga anak tidak ditegur mahupun diberi peringatan.

Kaedah Rasulullah SAW dalam mendidik mengambil pendekatan wa bisyira wanazeera ? memberi khabar gembira dan peringatan. Khabar gembira dalam erti kata yang luas ialah bimbingan yang memberi celik akal, keceriaan serta merangsang minda dan emosi supaya sentiasa segar dan gembira, riang dan tenang.

Ada ketikanya anak melakukan kesalahan dan kesilapan. Di sinilah perlunya bimbingan dengan jiwa mendidik tinggi yang tentunya menuntut kesabaran, kebijaksanaan dan contoh baik supaya proses belajar anak sentiasa membawa perkembangan positif.

Kaedah mendidik adalah satu aspek lain yang amat perlu bagi anak. Mendidik tidak sama dengan mengajar. Mendidik adalah kaedah bagaimana sesuatu yang baik, berfaedah, memberi kesan positif, membangun nilai mulia, menyuburkan akhlak dan adab mulia menjadi pedoman.

Anak mungkin belajar sesuatu dari televisyen atau contoh tidak baik daripada seseorang yang menyebabkan kesan negatif terhadap minda dan emosinya.

Kaedah mendidik mendedahkan anak kepada benda atau pengalaman baru yang memberi kesan minda dan emosi, tetapi sifatnya membentuk sesuatu yang positif. Contohnya, pembentukan tabiat, gelagat, tingkah laku, kebiasaan dan kelaziman adalah asas yang amat penting. Ia juga selalu dirujuk kepada contoh terdekat iaitu ibu bapa.

Jiwa mendidik dan pendekatan mendidik ibu bapa amat diperlukan pada tahap ini supaya proses pembangunan minda, emosi dan gelagat anak berada dalam pendedahan yang fitrah.

Cara ibu bapa berbahasa, bersuara, berkomunikasi, melakukan sesuatu, ketawa dan marah, ceria dan riang amat memberi kesan kepada anak. Keinsafan bahawa ibu bapa adalah pendidik, maka cara berbahasa ibu bapa haruslah santun, lembut serta memberi keceriaan dan rangsangan terhadap yang mendengar.

Perlakuan ibu bapa adalah contoh kerana anak adalah pemerhati yang amat teliti dan tekun serta mudah dipengaruhi. Ketawa dan marah mestilah berpada-pada supaya unsur melampau tidak dirasakan. Ceria dan riang adalah sesuatu yang menjadi amalan dan pancaran hidup ibu bapa kerana ia tentunya amat menyumbang kepada keceriaan dan keriangan anak.

Masalah dan tekanan pada ibu bapa jangan ditampilkan di hadapan anak. Kemahiran mengurus masalah dan tekanan seharusnya menjadi ketrampilan yang wajib. Ia supaya ibu bapa tidak membawa suasana masalah dan tekanan di rumah yang menyebabkan ketegangan, kemurungan, konflik atau suasana yang tidak kondusif bagi anak.

Bimbingan dan mendidik adalah suatu pendekatan fitrah dan penting dalam mendidik anak kerana mereka ibarat tepung yang perlu diuli dan diolah dengan lembut serta bijaksana supaya acuan yang dibina bakal menghasilkan kuih yang enak dan sedap rasanya.


INTI PATI:

# Ibu bapa mesti berilmu dan peka terhadap perubahan. Kaedah membimbing perlu mengambil pendekatan psikologi yang serasi dengan jiwa anak.

# Memberi bimbingan terhadap bahasa badan adalah corak bimbingan yang berkesan membina kasih sayang dan rasa kepercayaan.

# Anak perlu diberi peluang melakukan sesuatu, kesilapannya diperbetulkan dengan bijaksana, kejayaannya walaupun sedikit dihargai.

# Perlakuan ibu bapa adalah contoh kerana anak adalah pemerhati yang teliti dan tekun.

# Bimbingan dan mendidik adalah suatu pendekatan fitrah dan penting dalam mendidik anak.

Ali lahir dalam Kaabah, tidak sujud kepada berhala

Kisah Sahabat

Al Imam Ali Karramallahu Wajhahu.


DIA adalah khalifah pertama daripada keluarga Hasyim. Ayah ibunya berasal daripada keturunan bani Hasyim. Oleh itu, dalam dirinya tertumpu sifat inti keluarga Hasyim yang dikenal sebagai keluarga mulia, iaitu sifat kebangsawanan, kekuatan, keberanian, kecerdasan dan kepahlawanan.

Bapanya adalah Abu Thalib bin Abdul Muttalib bin Hasyim bin Abdi Manaf dan ibunya, Fatimah binti Asad bin Hasyim bin Abdi Manaf. Ibunya memberikan nama kepadanya Heydrah mirip dengan erti nama bapanya Asad, bererti ‘singa’. Tapi bapanya memberinya nama Ali.

Kelahiran

Ali dilahirkan dalam Kaabah dan Allah, memuliakan wajahnya (karramallahu wajhahu) untuk tidak bersujud kepada berhala yang ada di Kaabah dan sekitarnya. Kehadirannya seolah-olah menandakan zaman baru bagi Kaabah dan penyembahan Allah di sana.

Prof Abbas Mahmud Al’aqqad menyatakan: “Ali hampir dilahirkan sebagai Muslim. Bahkan dapat dikatakan dia dilahirkan Muslim bila dipandang dari segi akidah dan kejiwaan. Ketika membuka mata kesedaran pada pertama kalinya, dia melihat Islam dan tidak mengenali sedikitpun penyembahan berhala.

“Dia diasuh dan dididik di rumah yang menjadi pusat dakwah Islamiah. Sebelum mengerti ibadat ibu bapanya sendiri, terlebih dulu sudah mengenal ibadah daripada solat Nabi dan isterinya, Khadijah.

Ali adalah misan (sepupu) dan anak asuh yang dibesarkan di rumah Rasulullah. Dia benar-benar menikmati cinta, kasih sayang dan bijak. Antara Ali dengan Rasulullah terjalin kekeluargaan ganda dan cinta kasih yang amat kukuh melebihi cinta yang diikat tali kekeluargaan. Ali masuk Islam ketika berusia 10 tahun kerana pada usia itulah diumumkannya dakwah Islamiah.

Kepahlawanan pada usia muda

Dalam sejarah, umat kita banyak mencontohi tokoh pahlawan yang lahir pada usia muda. Antaranya adalah Ali bin Abi Thalib.

Diriwayatkan bahawa penyebab keislamannya ialah ketika dia melihat Rasulullah SAW bersama Khadijah solat secara sembunyi-sembunyi. Ali bertanya apa yang dilakukan Rasulullah SAW dan Khadijah. Lalu Nabi SAW menjawab:

“Ini adalah agama Allah yang di pilih sendiri dan mengutus rasul-Nya. Aku mengajak kamu kepada (penyembahan) Allah yang Satu, Esa, Tunggal, tiada sekutu bagi-Nya dan beribadat kepada-Nya dan mengkuturi Allaata dan Aluzza.”

Ali menjawab, ini perihal yang belum pernah aku dengar. Oleh kerana itu aku tidak akan memutuskan sesuatu sebelum membicarakannya dengan Aba Thalib (ayahnya).

Mendengar jawapan Ali, Nabi SAW termangu-mangu. Dia tidak ingin persoalan itu tersebar, maka dia berkata kepada Ali, “Kalau kamu tidak mahu masuk Islam, perihal ini harus kamu rahsiakan.”

Semalaman Ali tidak dapat tidur. Dia berfikir dan berfikir ajakan Nabi SAW. Ternyata Allah memberi hidayah kepadanya, keesokan harinya dia menghadap Rasulullah SAW untuk menyatakan keislamannya.

Dakwah sampai kepada Abu Thalib

Ali, seorang anak remaja, kini sering pergi bersama Rasulullah ke lembah Kota Makkah untuk melakukan solat dan beribadah.

Pada suatu hari Abu Thalib melihat perbuatan anak dan anak saudaranya di suatu tempat di Nakhlah. Abu Thalib hairan dan bertanya kepada Nabi SAW, “Hai, anak saudaraku, agama apa yang sedang kamu kerjakan ini?”

Nabi SAW menjawab, “Ini agama Allah, agama malaikat dan rasul-Nya, dan agama Ibrahim. Allah mengutusku kepada seluruh hamba-Nya dan engkaulah yang paling utama menerima nasihat dan dakwahku kepada petunjuk Allah. Engkaulah yang paling utama menyambut seruan Allah dan engkau pula yang membela ku untuk memperjuangkannya.”

Abu Thalib menjawab. “Aku tidak dapat meninggalkan agama nenek moyang dan tradisi mereka.” Namun penolakan Abu Thalib tidak menghalangi Ali untuk meneruskan perjalanan keimanannya bersama Nabi SAW, sebab Ali sudah yakin benar Nabi SAW adalah penyeru kepada yang hak, keadilan, kehormatan serta kepada martabat manusia.

Pada suatu pagi, Rasulullah berseru dan mengumpulkan orang di Kaabah dan berkata kepada mereka, “Seorang pemimpin (penunjuk jalan) tidak akan mendustai keluarganya. Demi Allah, kalau aku mendustai semua orang. Aku tidak akan mendustai kalian dan kalau aku menipu semua orang tidak akan menipu kalian, demi Allah yang tiada Tuhan kecuali Dia. Aku ini adalah utusan Allah kepada kalian, khususnya dan kepada segenap manusia,”

“Demi Allah, kalian akan mati seperti kalian tidur dan kalian akan dibangkitkan kembali seperti kalian bangun tidur. Kalian akan dihisab mengenai apa yang kalian lakukan.

Kebaikan dibalas dengan kebaikan dan kejahatan dibalas dengan kejahatan. Kelak kalian mendapat syurga selama-lamanya atau sebaliknya (neraka). Demi Allah aku tidak mengetahui orang sebelum aku membawa sesuatu lebih utama dari yang aku bawa untuk kalian. Aku membawa untuk kalian kebaikan dunia dan akhirat.

Kemudian Nabi melanjutkan sabdanya: “Selamatkan diri kalian daripada seksa neraka. Sesungguhnya aku tidak boleh menolong kalian daripada seksa Allah. Sesungguhnya aku adalah hanya seorang pemberi peringatan nyata bagi kamu dari seksa pedih.

Abu Lahab, bapa saudaranya Rasulullah pada ketika itu hadir berseru dengan berang, “Binasalah kamu Muhammad, apakah untuk itu kamu mengumpulkan kami?”

Tetapi Nabi SAW tidak putus asa. Dengan tenang dan penuh sabar dia menahan diri dan berkata, “ Aku mengajak kalian kepada dua kalimat ringan diucapkan lidah dan berat dalam timbangan.

Tidak seorang daripada yang hadir menerima ajakan Nabi SAW kecuali Ali. Dia orang pertama yang bersedia berkorban untuk Rasulullah ketika tidur di tempat Nabi, pada waktu rumah beliau dikepung dan akan dibunuh menjelang hijrah ke Madinah.

Wanita, anak melalaikan jika suami tak kuat iman

DALAM kehidupan berumah tangga, disedari atau tidak, ada isteri dan anak yang menjadi musuh suami. Pengesahan ini diungkapkan oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Wahai orang beriman, sesungguhnya antara isteri kamu dan anak kamu ada yang menjadi musuh bagi kamu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka.” (Surah at-Taghabun, ayat 14).


Menurut Ibn Abbas, ayat di atas turun berikutan kisah di kalangan orang Islam yang menyatakan dirinya memeluk Islam dari kota Makkah. Mereka hendak bertemu Rasulullah SAW untuk mendalami ilmu. Namun, isteri dan anak mereka tidak membenarkannya. Selepas mereka sampai kepada Rasulullah SAW, mereka melihat orang ramai mendalami ilmu agama.

Sayyid Qutb (1327-1386 H) menjelaskan, isteri dan anak kadang-kadang menjadi sebab yang melalaikan seseorang daripada mengingati Allah dan mencuaikan tanggungjawab keimanan.

Seseorang itu mungkin mampu menanggung kesusahan, tetapi tidak sanggup melihat anak dan isterinya menanggung kesusahan. Inilah yang menyebabkan dia menjadi bakhil dan pengecut supaya anak dan isterinya aman dan tenang supaya mereka hidup senang dan cukup mempunyai harta benda. Dengan demikian mereka menjadi musuhnya kerana menjadi penghalang daripada kebaikan dan demi merealisasikan matlamat kewujudan insaniah yang tinggi.

Mereka adalah penghalang untuk suami melakukan kebaikan agama dan mengembangkannya kepada manusia. Malah, lebih teruk lagi, mereka adalah orang yang sentiasa mengajak keluarganya kepada perkara yang bertentangan dengan roh Islamiah.

Bagi suami yang tidak mampu menahan diri daripada cubaan ini akan bersama hanyut dalam dunia keasyikan yang melalaikan. Lalainya suami terhadap isteri kerana mereka adalah objek menarik yang diciptakan oleh Allah yang mampu untuk melalaikan suami terhadap perintah Allah sekiranya tidak diurus sebaik mungkin.

Allah menggambarkan tabiat manusia yang amat cinta dan mengagumi benda yang indah dan menarik. Sesuatu yang paling menarik perhatian lelaki ialah wanita. Ia dijelaskan dalam firman Allah bermaksud: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia; kesukaan kepada benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak berpikul-pikul daripada emas dan perak, kuda peliharaan yang tangkas lagi terlatih dan binatang ternak serta kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga). “ (Surah Ali Imran, ayat 14).

Menerusi ayat di atas, al-Qurtubi menyatakan, wanita adalah fitnah dan ujian paling berbahaya bagi lelaki berbanding ujian lain. Wanita yang menjadi fitnah. Ujian kepada lelaki ialah wanita yang tidak mematuhi batas syarak yang ditetapkan Allah ke atas mereka. Sebaliknya, wanita solehah adalah sebaik-baik perhiasan di dunia ini.

Golongan lelaki juga hendaklah mengetahui bahawa Allah mengurniakan harta dan anak untuk menguji hamba-Nya.

Oleh itu, adalah yang terbaik bagi suami, memberikan ilmu pengetahuan agama kepada isteri dan anak mereka. Dengan ilmu itu mereka sekeluarga akan memahami suruhan dan tegahan Allah. Pemahaman ini penting supaya ada rasa tanggungjawab bersama untuk membela agama Allah.

Kegagalan memberikan ilmu dan mengamalkannya, boleh menyebabkan mereka sekeluarga terjerumus ke dalam perkara dilarang, sekali gus boleh menyebabkan mereka dimasukkan ke dalam neraka.

Sebagai orang beriman, Allah mengingatkan bahawa mereka perlu menjaga kaum keluarga daripada terjerumus ke dalam neraka. Ingatan ini dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Wahai orang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” (Surah at-Tahrim, ayat 6).

Oleh Ahmad Redzuwan Mohd Yunus, pensyarah di Jabatan Pengajian Dakwah & Kepimpinan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Nabi Muhammad utusan Allah

KATAKANLAH (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu; diwahikan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Satu; maka hendaklah kamu tetap teguh di atas jalan yang betul lurus (yang membawa kepada mencapai keredaan-Nya) serta pohonlah kepada-Nya mengampuni (dosa-dosa kamu yang telah lalu). Dan (ingatlah), kecelakaan besar bagi orang-orang yang mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu yang lain).” (Fussilat: 6).

HURAIAN

Nabi Muhammad merupakan rasul terakhir yang diutuskan oleh Allah s.w.t. kepada seluruh umat manusia di muka bumi ini bertujuan menyebarkan ajaran Islam dengan menyeru mereka mengesakan Allah s.w.t., tiada tuhan yang layak disembah melainkan-Nya. Manusia diseru supaya mematuhi segala suruhan-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang oleh-Nya.

Sebagaimana nabi-nabi dan rasul-rasul yang diutuskan sebelum ini, baginda juga adalah dalam kalangan manusia. Walaupun baginda seorang yang ummi (tidak tahu membaca) tetapi baginda dapat mempelajari dan mendalami al-Quran dengan sebaiknya dengan dibantu oleh malaikat Jibril a.s.

Baginda juga terkenal dengan akhlak terpuji dan budi pekerti yang tinggi sehingga menjadi idola dan contoh tauladan kepada manusia sejagat di sepanjang zaman.

Setelah melalui pelbagai rintangan ketika mengembangkan agama Allah s.w.t., baginda dapat melembutkan hati-hati yang keras agar memeluk Islam dengan menggesa mereka agar bertaubat terhadap kesalahan dan dosa yang lampau. Mereka juga diberi peringatan bahawa sesiapa yang mempersekutukan Allah s.w.t. dengan sesuatu yang lain akan mendapat balasan azab di akhirat kelak. Akhirnya, jadilah mereka orang yang sanggup berkorban dan mempertahankan Islam hingga ke titisan darah yang terakhir.

KESIMPULAN

Kejayaan Rasulullah s.a.w. menyebarkan agama Allah s.w.t. sungguh mengkagumkan. Sehingga kini kita masih mampu merasai kemanisan iman yang dibawa oleh baginda. Sebagai generasi Islam masa kini, kita hendaklah meneruskan dakwah Islamiah bagi memperjuang dan menyambung usaha baginda dalam menegak dan mengembangkan syiar Islam di serata dunia.

- Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Mengapa belajar bahasa Arab?

HARI ini, kalau kita membeli kereta baru, komputer, televisyen, mesin basuh, peti ais dan lain-lain yang baru pasti kita akan dibekalkan sebuah buku panduan. Dalam buku panduan, dinyatakan berbagai nama komponen tertentu, fungsi dan cara menggunakan alatan tersebut dengan betul. Biasanya buku panduan ditulis menggunakan bahasa utama pengeluar alatan itu. Ini diikuti dengan terjemahan dalam bahasa-bahasa lain.

Persoalannya, bagaimana kita dapat menggunakan dan memperbaiki alatan tersebut jika kita tidak dapat memahami bahasa yang digunakan. Umpamanya, buku panduan tentang penggunaan enjin kereta dalam bahasa Jepun yang menggunakan 100 peratus tulisan Jepun? Sudah tentu seseorang yang tidak memahami bahasa Jepun tidak akan dapat membaiki enjin dengan betul. Yang mungkin difahami cuma bahagian yang melibatkan gambar sahaja.

Jadi, marilah kita renungkan bersama secara mendalam pula senario yang lebih besar daripada itu. Allah s.w.t. menjadikan muka bumi ini sebagai kegunaan khalifah-Nya iaitu makhluk bergelar manusia. Persoalannya, adakah Allah bekalkan buku panduan bagaimana menggunakan bumi dan prasarana alam yang terbentang luas ini?

Jawapannya sudah tentu ‘ya’. Panduan itu tidak lain dan tidak bukan ialah al-Quran. Di dalamnya terdapat pelbagai panduan dalam semua bidang kehidupan sama ada akidah, ekonomi, pengurusan, kemasyarakatan, keilmuan, kebudayaan, kemajuan dan sebagainya.

Pokok perbincangan ialah bagaimana kita dapat mengadaptasi apa yang terkandung dalam al-Quran jika kita tidak dapat memahami bahasa yang digunakan. Oleh kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, sama ada mahu atau tidak, kita perlu belajar bahasa Arab.

Sehubungan itu, sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berusaha dengan segala kekuatan yang ada di samping prasarana yang semakin hari semakin canggih untuk sama-sama menguasai bahasa antarabangsa yang penting ini.

Marilah kita fikirkan ungkapan ringkas ini, “kalau kita menguasai bahasa Melayu kita boleh mendapat segulung ijazah. Kalau kita menguasai bahasa Inggeris kita boleh bersaing dengan negara maju. Kalau kita menguasai bahasa Arab (mampu menterjemahkan dan mengadaptasi ilmu-ilmu al-Quran dalam kehidupan) kita boleh mengatasi negara maju.”

Ungkapan ringkas ini bukan bermaksud untuk memperkecil-kecilkan bahasa ibunda kita iaitu bahasa Melayu. Bahasa Melayu tetap bahasa rasmi negara kita. Ungkapan ini sebenarnya satu motivasi yang dijangka dapat menyuntik semangat kepada kita untuk menguasai sekurang-kurang tiga bahasa tersebut sebagai asas permulaan.

Kalau kita menguasai Bahasa Melayu kita mungkin mampu mendapat segulung ijazah yang kita inginkan. Ini kerana kursus-kursus peringkat ijazah sarjana muda yang ditawarkan di beberapa universiti di negara ini menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Justeru itu, kalau kita tidak dapat menguasai bahasa lain seperti bahasa Inggeris, maka kita masih mampu mendapatkan segulung ijazah tersebut.

Walau bagaimanapun, berbekalkan segulung ijazah tersebut belum memadai untuk kita memperoleh kerjaya yang diingini. Ini kerana kita perlu bersaing dengan ribuan siswazah lain yang turut memiliki segulung ijazah yang setaraf dengan kita. Oleh itu kemahiran menguasai bahasa Inggeris amat diperlukan.

Sehubungan itu dalam arus globalisasi ini, kalau kita menguasai bahasa Inggeris kita boleh bersaing dengan negara maju. Tahukah kita apakah yang dimaksudkan dengan boleh bersaing? Itupun berapa orang di kalangan rakyat Malaysia yang betul-betul boleh menguasai bahasa Inggeris? Kalau pun boleh, kita masih lagi hanya bersaing!

Bersaing maknanya masih seiring. Kalau lumba lari acara pecut 100 meter, kita hanya boleh bersaing dan tidak ketinggalan jauh ke belakang berbanding pelumba pertama. Namun kita masih lagi belum boleh menjadi pelumba yang pertama.

Persoalannya, bagaimana kalau kita mampu menguasai bahasa Arab? Adakah kita boleh mengatasi negara maju? Jawapannya sudah tentu ‘ya’ tetapi dengan satu syarat. Syaratnya, kita menguasai bahasa Arab supaya mampu menterjemahkan dan mengadaptasi ilmu-ilmu al-Quran dan dapat mempraktikkannya dalam kehidupan kita.

Maksudnya di sini, kita boleh membawa al-Quran ke kilang-kilang bukan sekadar membawa mashafnya untuk dibaca tetapi lebih daripada itu. Kita sepatutnya menjadikan al-Quran sebagai rujukan utama untuk meningkatkan produktiviti kilang. Bagaimana caranya? Sudah tentulah memerlukan penyelidikan yang berterusan.

Untuk menafsir al-Quran dalam bidang yang diceburi sangat memerlukan penguasaan pelbagai ilmu pengetahuan. Salah satu ilmu yang merupakan kuncinya miftahul ilmi ialah ilmu bahasa Arab.

Jadi, menguasai bahasa Arab dengan baik adalah salah satu syarat yang diperlukan untuk kita menterjemah al-Quran dalam bidang yang kita ceburi. Tanpa penguasaan yang baik sudah pasti hasil yang diperoleh juga kurang memberangsangkan. Untuk menguasainya sudah tentu memerlukan perancangan dan persiapan rapi.

Oleh itu mahu atau tidak, kita terpaksa belajar menguasai bahasa Arab. Seterusnya, belajar bagaimana menguasai bahasa tersebut dan menggunakan kepakaran itu untuk meneroka ilmu Allah yang Maha Luas ini.

Akhirnya, renungkanlah dan sahutlah cabaran kata-kata ini. “Hari ini kebanyakan orang Islam masih lagi belajar membaca ketika orang Barat sudah jauh ke hadapan iaitu membaca untuk belajar.”

Berfikir Qurani

Oleh DR. SIDEK BABA


AL-QURAN adalah sumber ilmu dan hikmah. Daripadanya terdapat kisah-kisah untuk dijadikan ibrah atau teladan, terdapat prinsip untuk dijadikan sumber ikutan, pedoman-pedoman untuk dijadikan sumber amalan.

Ia juga terdapat anjuran ulul albab iaitu mengajak manusia berfikir tentang diri, alam, kejadian dan kehidupan. Al-Quran mengajak manusia berfikir.

Berfikir Qurani bermaksud bagaimana sumber-sumber al-Quran dijadikan pedoman berfikir tentang sesuatu. Jiwa tadabbur iaitu jiwa mengkaji dan menyelidik juga membawa seseorang berfikir. Berfikir menerusi jendela al-Quran adalah asas kepada berfikir Qurani.

Membaca dan menghafaz al-Quran adalah sesuatu yang amat baik. Setiap kalimah yang dibaca diberi pahala oleh Allah. Lebih dari itu al-Quran terkandung ilmu yang amat berharga untuk manusia. Ilmuan Islam terdahulu menjadikan al-Quran sebagai sumber berfikir.

Tradisi taawil dan tafasir dalam kalangan ulama Islam menjadikan ilmu Islam berkembang. Darinya terbina ilmu tentang akidah, ibadah, akhlak, syariah dan fikah dan ia mampu membentuk peribadi manusia yang Islami. Al-Quran terdapat sumber ilmu tentang sains, kemasyarakatan, kekeluargaan, alam dan persekitaran, psikologi, perubatan dan pendidikan. Prinsip dan pedoman al-Quran membimbing manusia berfikir, mencari jawapan dan petunjuk tentang sesuatu.

Para remaja perlu mendekati al-Quran tidak saja untuk dibaca, dihafaz tetapi menjadikan al-Quran sebagai sumber ilmu dan sumber berfikir. Ayat-ayat Allah adalah sesuatu yang hidup dalam kehidupan.

Kisah-kisah yang dirakamkan oleh al-Quran ribuan tahun lalu bukan hanya merakamkan apa yang pernah berlaku pada masa yang lalu tetapi berulang kembali pada masakini dan boleh terjadi semula pada masa depan.

Para remaja yang mencari pedoman untuk hidup, maju dan berubah tentu memerlukan pedoman tentang gelagat manusia pada masa yang lalu dan kesannya terhadap kehidupan.

Kisah Nabi Lut a.s umpamanya adalah peristiwa menarik untuk mengajak remaja berfikir. Peristiwa itu mengisahkan bagaimana Nabi Lut a.s berdepan dengan gelagat kaumnya yang enggan kembali kepada hidup yang fitrah.

Mereka memilih pasangan yang sejenis sebagai teman hidup dan tidak memilih yang berlainan jenis seperti yang sepatutnya. Allah amat membenci perbuatan itu lalu diturunnya musibah gempa bumi dan menghancurkan kehidupan itu.

Pada hari ini gelagat yang sama timbul semula. Masyarakat Barat memilih jalan gay dan lesbian sebagai asas perkongsian hidup. Asas keluarga luas sudah mula runtuh dan asas keluarga kecil sudah semakin menggugat. Bayangkan kehidupan tanpa asas kekeluargaan dan zuriat ia bakal meruntuhkan sistem dan tamadun.

Kehidupan yang lepas bebas dan melampaui batas menyebabkan kerosakan pada tabiat dan nilai-nilai kemasyarakatan dan kemanusiaan. Hari ini lahir musibah di Barat dan di Timur iaitu musibah AIDS/HIV yang amat menakutkan. Perlakuan seks bebas, pergaulan yang melampaui batas dikuti dengan salahguna dadah dan nilai hidup yang pupus menyebabkan musibah itu sedang berkembang ibarat api yang sedang meratah daun-daun kering di musim kemarau.

Punca segala masalah yang berbangkit kembali kepada akhlak manusia. Tanpa pedoman akhlak manusia akan menghadapi masalah dalam kehidupannya. Sebab itu al-Quran memberikan pedoman tentang pergaulan, kekeluargaan dan pendidikan supaya kekuatan akhlak menjadi tunjang dalam pembinaan diri, keluarga dan masyarakat. Malah Nabi Muhammad dihantar kepada manusia pun bertujuan untuk menyempurnakan akhlak manusia. Nabi Muhammad dibentuk oleh Allah s.w.t. dengan peribadi contoh untuk menjadi sumber teladan kepada manusia.

Sumber

Berfikir Qurani bagi remaja menjadikan al-Quran sebagai sumber. Bagi mencari ilmu umpamanya tidak salah akal dijadikan alat penting untuk berfikir. Tetapi akal remaja dan manusia tidak segala-gala. Jangkauan akal dan pancaindera manusia terbatas. Terdapat alam lepas yang seluas-luasnya untuk dikaji.

Terdapat faktor-faktor ghaibiyyat yang memerlukan kefahaman remaja sebagai asas rukun iman. Sekiranya remaja tidak berfikir dengan merujuk sumber ilmu dari al-Quran, remaja akan kehilangan pedoman dan pertunjuk. Akal manusia memerlukan pertunjuk. Tanpa hikmah (al-Quran) remaja tidak akan memiliki kekuatan untuk memahami kehidupan dan realiti.

Al-Quran memberi pedoman kepada manusia bagaimana untuk bergaul. Al-Quran juga mengaturkan para remaja bagaimana untuk menuntut ilmu. Al-Quran juga membimbing remaja bagaimana memahami makna kemajuan dan perubahan. Malah al-Quran memberi pedoman kepada remaja tentang sains dan teknologi.

Al-Quran tidak menyekat remaja bergaul walaupun dalam kalangan yang berlainan jenis. Tetapi remaja mestilah patuh dengan hukum syarak. Hukum syarak tidak membenarkan pergaulan yang melampaui batas sehingga timbul fitnah. Pada diri remaja ada nafsu dan keinginan. Al-Quran memberikan batasan supaya keinginan dan nafsu dapat dikawal. Sekiranya pergaulan itu berlaku untuk maksud ilmu pengetahuan umpamanya, Islam mengharuskannya.

Al-Quran tidak menghalang remaja menuntut ilmu. llmu adalah sesuatu yang amat penting bagi remaja. Tanpa ilmu, remaja akan hilang pedoman dan arah. Tetapi Islam menganjurkan kepentingan ilmu fardu ain kepada remaja ilmu tentang akidah, ibadah, akhlak dan syariahnya mantap.

Apabila remaja mengembangkan bakat dan minat dalam bidang ilmu fardu kifayah, asas binaan akhlak menjadikan penguasaan ilmu fardu kifayah lebih bermakna.

Al-Quran juga memberi pedoman kepada remaja bagaimana untuk maju dan membangun. Pembangunan dan kemajuan mengikut perspektif al-Quran merujuk kepada pembangunan manusia atau rijal. Sebab itu al-Quran turun kepada manusia bernama Muhammad, tidak pada gunung-ganang, batu-batan atau pokok-pokok.

Pada manusia ada akal dan mempunyai potensi berfikir. Pada manusia ada hati dan kalbu membolehkan manusia merasa dan menimbang akan baik-buruknya sesuatu. Apabila al-Quran membangunkan sahsiah dan watak Nabi, peribadi Nabi dikatakan sebagai ‘peribadi al-Quran’ iaitu bagaimana sumber-sumber al-Quran menghidupkan watak Nabi baik dalam kata-kata, perbuatan dan amalan. Apabila peribadi Quran menjadi contoh kepada manusia lain maka kehidupan manusia akan menjadi baik dan lebih bermakna.

Sekiranya manusia menjadi baik, pengurusan diri, keluarga dan persekitaran juga akan jadi baik. Asas inilah yang perlu ada kepada remaja supaya kehidupan dewasanya terbimbing dan terpedoman dengan nilai-nilai yang Qurani. Kelemahan umat Islam hari ini antara sebabnya tidak menjadikan al-Quran sebagai sumber berfikir, sumber ilmu dan sumber pedoman.

Ramai umat Islam yang terpaut dengan berfikir cara Barat dan menolak kepentingan agama dan al-Quran yang menyebabkan maksud maju dan membangun menghakis nilai-nilai kemanusiaan. Manusia semakin bersikap individualistik, kebendaan dan nafsu nafsi.

Al-Quran tidak menolak kepentingan benda dan individu mahu pun nafsu. Al-Quran menyatakan benda itu sebagai sumber dan kejadian Allah. Yang ditentang oleh Islam ialah berfahaman kebendaan sehingga faktor benda mengatasi segala-gala.

Malah benda menjadi barang pujaan dan sembahan. Al-Quran juga tidak menolak kepentingan individu atau fardhi tetapi al-Quran menganjurkan sikap jemaah supaya manusia mempunyai hubungan dengan orang lain dan timbul sifat muafakat dan kebersamaan.

Al-Quran tidak menolak kepentingan nafsu. Tanpa nafsu manusia tidak mempunyai daya dan keinginan. Yang mendorong manusia belajar, bekerja, berkeluarga ialah nafsu kerana nafsu itu adalah sesuatu yang fitrah. Namun, apabila nafsu menjadi matlamat bukan alat, manusia akan dikuasai oleh nafsu tanpa batasan nilai baik-buruk. Akhirnya nafsu merosakkan manusia .

Berfikir Qurani boleh memandu dan membimbing remaja bagaimana kehidupan harus diolah berasaskan pertunjuk Allah untuk kesejahteraan manusia

- PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.

Al-Quran ubah keluarga Yousef al-Khattab


Susunan SITI AINIZA KAMSARI

SAAT ini tidak tergambar betapa bencinya perasaan terhadap golongan yang bernama Yahudi. Apatah lagi yang menghuni di sebuah negara haram, Israel!

Ini kerana mereka mempunyai satu gerakan yang cukup zalim dan kejam tanpa mempunyai nilai-nilai ketamadunan manusia kecuali bernafsukan binatang. Rejim Israel menjadikan manusia yang lain umpama binatang buruan yang kemudiannya dibunuh dengan kejam. Tanpa ada sebarang peraturan dan undang-undang yang membataskan kecuali berpaksi kepada undang-undang rimba!

Walaupun mendakwa mereka mempunyai agama yang suci sebagai pegangan hidup. Istilah seperti Yahudi mabuk misalnya, merujuk kepada mereka yang hidup tiada pedoman dan sebagainya menggambarkan lagi betapa buruknya bangsa ini di pandangan masyarakat antarabangsa.

Namun masih ada Yahudi yang waras akalnya. Malah sanggup meninggalkan segala macam doktrin dan dogma Yahudi dan akhirnya mengakui kebenaran Islam dan memeluk agama itu tanpa sebarang halangan dan prejudis. Antaranya, Yousef al-Khattab yang seisi keluarga memeluk Islam dengan seikhlas hati sekali gus membuktikan Islam agama sejagat.

“Saya dilahirkan dalam keluarga Yahudi tetapi lebih bersifat sekular, iaitu kami tidak begitu taksub terhadap ajaran Taurat dalam setiap aspek kehidupan.

“Bagi kami, ruang lingkup agama adalah ibadat dan bukan untuk dijadikan cara hidup” katanya.

Ketika usianya mencecah 18 tahun, Yousef ingin melihat lebih jauh ke dalam agamanya sendiri, terutama dalam mempercayai kewujudan tuhan. Lantas memilih pengajian Rabbinical Orthodox Judaism ketika belajar di sekolah Yahudi.

Pada 1988, Yousef kemudiannya menyambung pengajian peringkat tinggi, iaitu yang dikenali sebagai Yeshiva dan memulakan perjalanan hidupnya dengan mengikuti secara kultus atau mengamalkan ajaran yang selama ini dipelajari secara teori.

Pada 1991, Yousef mengahwini seorang wanita berketurunan Yahudi, bernama Luna Mellul yang kemudiannya dikenali Qamar al-Khattab setelah memeluk Islam.

“Isteri saya berasal dari sebuah bandar yang dikenali sebagai Tetouan di Maghribi dan mendapat pendidikan di sebuah sekolah Yahudi untuk kanak-kanak perempuan, Sampson Raphael Bet Yaakov atau Bais Yakov setelah berpindah ke Manhattan Amerika Syarikat,” kata Yousef.

Mereka dikurniakan Rachamin Cohen (kini dikenali sebagai Abdel Rahman) setahun kemudian. Perkahwinan yang dibina pada masa itu, penuh bahagia tanpa sebarang konflik.

Selepas kelahiran Rachamin, pasangan Yahudi ini kemudiannya menetap di sebuah komuniti Yahudi yang dikenali sebagai Satmar Hasidic di Williamsburg, Brooklyn Amerika Syarikat.

Ketika menetap di situ, Yousef mula mendapati ada sesuatu yang tidak kena apabila ajaran Yahudi tidak menjadi satu amalan agama yang baik malah penuh dengan pembohongan dan penipuan.

“Mereka menggunakan institusi seperti kuil Yahudi, synagogue dan institusi kewangan Yahudi, Bank Yeshiva untuk menggelapkan wang-wang sumbangan sehingga menjadikan kehidupan masyarakat Yahudi di situ agak teruk dan pengotor.

“Ini menyebabkan saya berasa tidak lagi sesuai menetap dengan komuniti di situ. Apa lagi untuk membesarkan anak-anak” katanya.

Sehingga 1998, pasangan ini dikurniakan tiga anak lagi iaitu Hesibeh, Abdul Aziz (dahulunya Ezra) dan Abdullah (dahulunya Ovadia).

“Sehingga ke saat itu saya masih mempercayai bahawa agama Yahudi merupakan satu ajaran yang benar” katanya.

Begitupun kata Yousef, beliau sebenarnya masih tidak begitu memahami ajaran sebenar agama itu kerana untuk memahami Judaisme ia terpaksa melalui tiga cara atau peringkat termasuk ‘peringkat yang tersembunyi’.

Peringkat-peringkat itu sebenarnya menjadi sebahagian daripada teka-teki yang mengelirukan bagi mereka yang mengamalkan atau kultus Rabbinical.

“Anda tidak akan dapat belajar sehingga habis teks-teks Rabbinic kerana ada kalanya anda hanya perlu tunduk dan patuh kepada ketua agama yang dikenali sebagai rabbi (atau Elders of Zion) yang menentukan tahap-tahap tertentu untuk seseorang itu mempelajari agama Yahudi.

“Mereka inilah yang menterjemahkan agama Yahudi untuk anda dengan cara mereka yang tersendiri” kata Yousef.

Tetapi apabila rabbi dapat mengesan Yousef mula mempertikaikan ajaran Yahudi menyebabkan dirinya sentiasa diperhatikan.

“Rabbi hendak tahu ke mana kita hendak pergi dan dengan siapa kita berkawan, sehingga begitu sekali mereka mengawal penganut-penganutnya.

“Tidak cukup setakat itu, malah atas nasihat Rabbi, mereka meminta kami sekeluarga supaya berpindah untuk menetap di Palestin dan menjadi sebahagian penduduk dalam kerajaan Israel,” katanya.

Ini kononnya agar pegangan Yousef terhadap ajaran Yahudi semakin kukuh kerana hidup dalam lingkungan agama dan penganut yang lebih kuat pegangan mereka terhadap agama Yahudi.

Pada September 1998, mereka sekeluarga menuju ke Tebing Barat Gaza dan menetap di sebuah penempatan Yahudi iaitu Gush Qatif di situ.

Walaupun diberi pelbagai kemudahan ketika di situ tetapi peristiwa anaknya, Rachamin) ditipu oleh gurunya menyebabkan Yousef semakin tidak mempercayai agamanya sendiri.

Rachamin ketika itu pulang dari sekolah dan sambil termengah-mengah kerana berlari beliau memberitahu bahawa guru yang mengajarnya di sekolah tidak menutup rambutnya dengan betul malah berpakaian menjolok mata.

“Anak saya dan para pelajar yang lain tidak diajar mengenai Taurat kerana sebahagian besar masa mereka dihabiskan dengan hanya bermain dan menyanyi” kata Yousef.

Peristiwa itu menyebabkan Yousef tekad berpindah walaupun ketika itu beliau sendiri berada dalam kesempitan wang dan harta.

Malah menurut Qamar, beliau tidak menyenangi keadaan dan corak kehidupan pendatang Yahudi di situ.

“Barulah saya mengenali siapa sebenarnya Yahudi. Antara lain sejak kecil anak-anak Yahudi yang hampir satu juta ramainya itu diajar supaya membenci dan menghina bangsa lain yang dianggap tidak layak mendiami bumi ini kecuali bangsa Yahudi.

“Ini merupakan sifat pentingkan diri sendiri yang paling teruk pernah saya jumpa. Walaupun kami Yahudi, kami menentang sikap-sikap bongkak seperti itu,” kata Qamar.

Yousef kemudiannya memilih menetap di Netivot, iaitu sebuah penempatan yang telah dirampas hak miliknya daripada rakyat Palestin pada 1948. Sebuah pertubuhan parti politik yang bercirikan agama, Shas kemudiannya membantu Yousef memulakan kehidupan.

Mereka diberi sebuah rumah dan anak-anak Yousef dihantar ke sebuah sekolah persendirian sehingga anaknya berjaya menguasai bahasa Hebrew.

“Tetapi ketika menetap di situ saya berkenalan dengan seorang Arab Islam yang berasal dari Arab Saudi dan selama dua tahun perkenalan itu, kami sering menghabiskan masa bertukar-tukar pandangan mengenai agama masing-masing.

“Beliau sering bertanyakan kepada saya mengenai soal akidah dalam agama Yahudi untuk beliau bandingkan dengan tauhid uluhiah sebagai sebahagian daripada kepercayaan kepada monotheism dalam Islam” katanya.

Oleh kerana Yousef tidak mampu menjawab dengan baik mengenai pertanyaan kawannya itu, beliau merujuk kepada rabbi-rabbi Yahudi bagi mendapatkan jawapan yang lebih pasti, tepat, jelas dan logik.

Yousef begitu terperanjat apabila diberi hampir 1,001 jawapan yang berbeza-beza dan mengelirukan.

“Malah Rabbi tidak dapat menunjukkan kepada saya di mana perkataan atau nama tuhan (Yahweh) ada disebut dalam teks ajaran dan kitab Taurat.

“Ini menyebabkan saya semakin keliru terhadap pegangan saya selama ini. Lalu saya menuju ke penempatan Arab Palestin bagi mendapatkan senaskhah al-Quran yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Buat sekian kalinya, Yousef mengalami kejutan apabila mendapati kitab al-Quran itu mampu memberikan jawapan yang beliau cari selama ini.

“Malah al-Quran bukan sahaja menjelaskan kedudukan dan siapa sebenarnya bangsa Yahudi tetapi Allah masih dengan begitu belas dan mengasihi mengajak orang Yahudi kembali ke ajaran Islam,” kata Yousef yang begitu bersyukur memiliki al-Quran dan tidak sanggup melepaskannya.

Beliau sanggup menghabiskan masa membaca keseluruhan al-Quran yang menyebabkan beliau tidak teragak-agak meninggalkan agama Yahudi.

“Saya memeluk Islam kerana saya tidak mampu menolak sebuah ajaran yang di dalamnya penuh dengan kebenaran dan menjawab pelbagai persoalan terutama soal ketuhanan.

“Malah saya amat gembira kerana dua minggu selepas memeluk Islam, isteri saya pula memeluk Islam setelah beliau juga seperti saya mengkaji dan mendalami serba sedikit mengenai Islam terutama melalui al-Quran. Ini diikuti oleh anak-anak kami kemudiannya,” katanya.

Akui Qamar, beliau terkejut dengan tindakan suaminya memeluk Islam kerana telah menjadi sebahagian dari ajaran agama Yahudi supaya membenci agama lain terutama Islam.

“Tetapi Yousef tidak memaksa saya mengikut jejak langkahnya kerana dalam Islam dibenarkan seorang lelaki Islam mengahwini wanita dari golongan ahli kitab.

“Tetapi saya juga ingin mengetahui apa yang Islam lakukan sehinggakan suami saya sanggup memeluk agama itu dengan saya sendiri cuba mengkaji mengenai Islam,” jelas beliau.

Hasilnya, Qamar bangga mengakui kebenaran Islam. Kini Yousef sekeluarga menetap di Maghribi. Mereka gemar mendalami ajaran Islam dan bahasa Arab bagi mewujudkan keluarga Muslim yang sejati.

“Walaupun berdarah Yahudi namun Islam membuatkan bangsa ini tiada bezanya seperti bangsa-bangsa yang lain kecuali iman dan takwa sahajalah yang menentukan kedudukan masing-masing di sisi Allah, tuhan yang satu, tuhan yang wajib disembah,” katanya.

Monday, August 14, 2006

Jangan tamak harta

SERTA kamu pula sayangkan harta secara tamak haloba. (al-Fajr: 20)

Huraian
Harta benda dan wang ringgit merupakan asas bagi segala urusan hidup di dunia ini. Justeru, Islam menggalakkan umatnya berusaha mengumpul harta sebaik mungkin di samping melarang umatnya bersikap meminta-minta.

Walau bagaimanapun, dalam pada bertungkus lumus mencari kekayaan itu mereka perlu mengikut lunas-lunas yang ditetapkan oleh syarak. Mereka dilarang mengamalkan riba, menipu, mendapat hasil yang haram dan sebagainya.

Golongan fakir dan miskin yang memerlukan bantuan juga tidak boleh diabaikan. Golongan kaya hendaklah membantu mereka dan dilarang bersikap tamak dan kedekut kerana dalam harta mereka itu ada hak orang miskin yang perlu diagihkan (zakat yang wajib dikeluarkan). Sikap takbur dan sombong hendaklah dikikis. Harta kekayaan yang dimiliki hanya bersifat sementara dan boleh ditarik semula oleh Allah s.w.t. pada bila-bila masa yang dikehendaki-Nya.

Seseorang yang kaya harta tetapi miskin budi pekerti juga tidak dipandang tinggi dalam masyarakat. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Bukanlah kekayaan itu kerana mempunyai banyak harta, tetapi kekayaan yang sebenarnya ialah kaya jiwa.

Kesimpulan

Umat Islam dilarang bersikap tamak, takbur dan bakhil dengan harta kekayaan yang dimiliki. Sesungguhnya harta dunia tidak akan kekal dan tidak dibawa mati. Oleh itu, belanjakanlah harta tersebut sebaik mungkin agar mendapat keredaan daripada Allah s.w.t. ketika hidup di dunia mahupun di akhirat kelak.

- Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Al-Quran haram dijadikan tangkal

AL-QURAN ialah kitab suci yang diwahyukan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk memberi petunjuk dan hidayah kepada manusia. Dalam masa yang sama, al-Quran juga diturunkan sebagai penyembuh kepada pelbagai penyakit manusia sebagaimana firman Allah, Dan kami turunkan dengan beransur-ansur daripada al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penyembuh dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim melainkan kerugian jua. (al-Isra’: 82)

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai hal ini, wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto Nazeri Abu Bakar menemu bual Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz.

Apakah maksud syifa’ dalam ayat 82 surah al-Isra’ itu?

ABU HASSAN: Kebanyakan ulama menafsir syifa’ sebagai penyembuh walaupun ada yang kadang-kadang menafsirnya sebagai penawar.

Menurut para ulama, al-Quran sebagai kitab suci ini antara lainnya diturunkan bagi menyembuhkan penyakit zahir dan batin.

Penyakit zahir termasuklah sakit jantung, kayap dan sebagainya manakala penyakit batin adalah seperti hasad, dengki, sombong dan lain-lain.

Ia diperkukuhkan lagi dengan sabda Rasulullah s.a.w., “Hendaklah kamu menggunakan dua perkara untuk penyembuh iaitu al-Quran dan madu lebah.”

Adakah semua ayat al-Quran itu boleh digunakan sebagai penyembuh?

Bukan semua ayat Allah itu menjadi penyembuh tetapi pernyataan itu adalah secara umum. Bagi mereka yang mempunyai penyakit was-was dan resah gelisah, mungkin dengan membaca al-Quran ia boleh hilang.

Bagaimanapun, ada ayat khusus untuk penyakit yang khusus. Ini boleh diketahui jika mendalami atau kita mengkaji tentang penggunaan ayat-ayat al-Quran dalam perubatan Islam.

Bagaimanapun, bagi tujuan perubatan, kita mestilah yakin apabila mengamalkan bacaan ayat tertentu. Ia pula perlu dilakukan berulang-ulang dan istiqamah, bukannya baca sekali dua sahaja. Melalui cara ini, insya-Allah penyakit itu akan sembuh.

Apakah contoh ayat yang boleh dijadikan penyembuh penyakit manusia?

Ada pandangan sesetengah ulama bahawa ayat 1-6 surah Taha adalah ayat pelembut hati.

Ini berdasarkan kisah Saidina Umar al-Khattab yang terkenal dengan sifat garang dan bengis beriman kepada Allah dengan hanya mendengar adiknya membaca ayat ini secara sepintas lalu.

Bagaimanapun, jangan salahkan ayat-ayat al-Quran ini jika usaha kita tidak berjaya.

Begitu juga ada ulama yang berkata, untuk menambahkan kasih suami kepada isteri boleh diamalkan membaca ayat 23 daripada surah Yusuf.

Menurut Ahmad at Tabrani daripada Kaab bin Malik, Nabi bersabda, “Apabila salah seorang kamu berasa sakit maka hendaklah ia meletak tangannya di tempat yang berasa sakit dan membaca doa, aku minta berlindung dengan kemuliaan Allah dan kekuasaan-Nya di atas segala apa kesakitan yang aku rasai.”

Setiap kita amat berharap semua permohonan kepada Allah itu dimakbulkan tetapi apakah syarat-syarat untuk sesuatu doa itu diterima?

Antara syarat sesuatu doa atau permohonan itu diterima ialah kita perlu mengikhlaskan diri bermunajat kepada Allah. Kita juga perlu melakukannya secara berterusan dan bukan sekali-sekala atau apabila ditimpa bencana, penyakit atau kesusahan baru kita berdoa kepada Allah.

Ia juga mesti dibaca dengan elok iaitu bertepatan dengan hukum tajwidnya serta menjauhkan diri daripada perbuatan maksiat.

Al-Quran ialah kitab suci, maka dengan sendirinya ia tidak boleh dipersenda atau dihina. Sebab itu dalam Mazhab Shafie, kita tidak boleh menyentuh al-Quran tanpa wuduk. Ia juga bukan hanya dibeli untuk dijadikan perhiasan.

Apakah kelebihan orang yang sentiasa membasahkan lidahnya dengan al-Quran dan juga golongan para hafiz?

Para ulama sangat menggalakkan kita membaca al-Quran. Galakan ini bukan sahaja setakat membaca tetapi memahami dan mengamalkannya.

Mereka yang sentiasa membaca al-Quran ini dengan sendirinya ada pertahanan dalaman di mana syaitan dan iblis sukar menghampiri mereka. Ia juga boleh mengelakkan kita daripada perbuatan khianat, insya-Allah.

Dalam aspek yang lain, menurut Matan Syatibi, mereka yang qari iaitu yang menjadikan al-Quran sebagai amalan hidup, hafiz atau hammalatul Quran ini di akhirat kelak akan dihiasi dengan mahkota yang penuh intan berlian. Bayangkan pula penghormatan kepada ibu bapa mereka, sudah tentu lebih lagi.

Selain itu, golongan ulama mujtahid seperti Imam Shafie dan Ibnu Taimiah mereka ini bukan sahaja hafiz al-Quran tetapi turut menghafaz beribu-ribu hadis. Golongan ini jasad mereka mungkin tidak hancur dimakan bumi.

Bagaimana pula dengan perbuatan sesetengah orang yang menjadikan ayat al-Quran sebagai tangkal?

Perbuatan seperti ini adalah salah dan berdosa. Al-Quran hendaklah dibaca dan bukannya dipakai pada mana-mana bahagian anggota badan manusia.

Rasulullah pernah memberi amaran melalui hadisnya, “Sesungguhnya jampi serapah, tangkal dan tiwalah itu adalah syirik. Lalu sahabat bertanya, apakah tiwalah itu, Baginda menjawab ia adalah apa-apa yang dilakukan oleh isteri supaya suami kasih kepada mereka.” Ini termasuklah nasi tangas atau nasi kangkang.

Bagaimanapun, amalan menggunakan ayat-ayat Allah dalam perubatan Islam sama ada secara terus kepada pesakit atau dihembus pada air adalah harus kerana banyak ayat al-Quran mempunyai unsur penyembuhan.

Bomoh tradisi pula berbeza kerana walaupun ada yang menggunakan ayat al-Quran tetapi ia dicampur dengan jampi serapah atau perbuatan menurun. Inilah yang dilarang oleh agama.